Kejayaan Pemasaran Internet Anda Bergantung Pada Senarai Ini

Oleh Azleen Abdul Rahim

DUA petang yang lepas, saya telah berjumpa dengan seorang rakan lama untuk sesi teh tarik. Berbual sambil menikmati teh tarik yang sedap memang tidak dapat dinafikan lagi hebatnya. Dia berkata pada saya yang dia sebenarnya agak pelik bila mendapat tahu yang syarikat saya menyediakan perkhidmatan pemasaran digital dan mempunyai beberapa organisasi korporat sebagai pelanggan.

Dia berkata: “Susah sangat ke pemasaran Internet ini Leen? Sampai terpaksa panggil orang sosial media macam engkau.”

Jawapan saya mudah sahaja: “Tidak susah pun. Kalau ada kepakaran dan pengalaman hampir 20 tahun dalam aspek pemasaran tradisional dan digital, pengetahuan dan minat yang amat mendalam dalam media sosial, psikologi dan sikap manusia serta teknologi juga, barulah tak susah.” Itu jawapan ringkas saya sambil tersenyum.

Kriteria-kriteria amat pelik ini sememangnya tidak ramai yang ada. Organisasi-organisasi ini tidak mempunyai kepakaran dalaman yang seperti ini. Jadi, dengan kekangan inilah yang membuatkan organisasi-organisasi ini amat memerlukan khidmat kepakaran agensi-agensi media sosial dan pemasaran Internet luaran. Perkara yang paling penting bagi seseorang pemasar Internet ialah senarai semak atau checklist. Hari ini saya ingin berkongsi tentang satu senarai yang saya mesti bina untuk merealisasikan strategi keseluruhan pemasaran Internet yang dirancang. Saya biasanya akan memulakan langkah pertama dengan senarai semak laman web atau blog seperti di bawah.

1. Adakah kita mempunyai laman web atau blog untuk kita muatkan informasi syarikat kita?

2. Adakah nama domain laman web atau blog anda masuk akal dengan perniagaan yang kita lakukan?

3. Adakah nama domain laman web atau blog kita senang diingati?

4. Yang mana satu pengakhiran domain laman web atau blog kita yang sesuai, adakah .com atau .com.my atau .my atau lain-lain?

5. Adakah reka bentuk laman web atau blog kita memudahkan para pengunjung memahami kita, objektif perniagaan kita, apa yang kita lakukan, bagaimana cara terbaik untuk menghubungi kita dan sebagainya?

6. Adakah laman web atau blog kita ini akan membuatkan para pengunjung percayakan kita dan jenama kita?

7. Adakah laman web atau blog kita akan membuatkan para pengunjung jatuh hati dengan kita dalam 15 saat yang pertama?

8. Adakah ia mempunyai seksyen untuk Newsletter untuk para pengunjung kita berdaftar sebagai pelanggan kita?

Apabila bahagian ini selesai, seterusnya saya akan memberikan tumpuan di bahagian blog. Ia penting kerana di sini blog yang akan menjadi tarikan minat para pengunjung untuk kekal lama di laman web kita.

1. Adakah anda bersedia untuk menjadi tukang karut atau penulis artikel yang menyediakan penulisan yang menarik?

2. Bagaimanakah kita hendak membuat artikel, cerita atau infografik yang membantu kita menjual produk atau perkhidmatan yang kita sediakan tanpa kelihatan terdesak untuk menjual?

3. Adakah anda komited untuk sediakan 2-3 cerita seminggu untuk menarik perhatian para pengunjung?

Selesai sahaja seksyen blog ini selesai, saya akan terus ke bahagian media sosial yang soalan-soalannya seperti di bawah.

1. Apakah kesemua saluran media sosial yang sesuai untuk kita siarkan kepada orang ramai ataupun memadai dengan hanya Facebook dan Instagram sahaja?

2. Adakah kita komited untuk membuat 4-5 kemas kini status sehari setiap hari sampai bila-bila dan tidak kurang dari itu?

3. Berapa banyak RM yang kita mesti sediakan secara komited sebagai bajet untuk membuat boost bagi setiap posting yang penting agar kita dapat kembangkan kesedaran kita kepada yang bukan rakan-rakan kita?

Peringkat yang terakhir ini yang paling penting, iaitu di bahagian Interaksi secara dalam talian atau Online Collaboration dengan para pengunjung, Bahagian ini amat penting untuk memastikan para pengunjung akan lebih percayakan jenama kita, yang mana kita perlu berkomunikasi dengan mereka secara dalam talian.

1. Adakah kita bersedia untuk siapkan pemberitahuan (notification) di telefon pintar kita bagi setiap aplikasi media sosial?

2. Adakah kita bersedia untuk menjawab setiap pertanyaan, pujian dan sebagainya dalam masa tidak lebih 15 minit setelah menerima pemberitahuan tadi?

3. Adakah kita mampu berbahasa Inggeris dengan baik sekiranya bakal pembeli kita dari luar negara?

Contoh-contoh ini hanyalah sedikit. Senarai semak yang mempunyai soalan-soalan yang lebih mendalam dan lebih banyak lagi, akan membantu kita mempunyai strategi pemasaran digital yang lebih kuat dan mantap di samping dapat mengurangkan kesilapan kita di masa akan datang.