Cara Paling Efektif Untuk Dapatkan Pekerjaan Setelah Graduasi

Oleh Azleen Abdul Rahim

Baru-baru ini saya telah dijemput untuk menjayakan satu forum di Universiti Perguruan Sultan Idris atau UPSI. Perjalanan yang selama sejam ke Tanjung Malim tidak sia-sia apabila saya melihat begitu ramai sekali para pelajar dan tenaga pengajar yang hadir di auditorium. Rupa-rupanya forum ini diadakan sempena hari penutupan projek tahun akhir mereka, yang melibatkan para pelajar tahun akhir jurusan Diploma Sains Komputer, Kreatif dan Permainan dan Teknologi Maklumat. Saya mati-mati ingatkan UPSi ini hanya menawarkan kursus-kursus perguruan sahaja. Ternyata saya salah apabila saya mendapat tahu yang UPSI sebenarnya menawarkan kursus-kursus diploma yang sama dengan apa yang ditawarkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi tempatan yang lain.

Di dalam forum ini, saya bersama-sama wakil dari industri permainan, wakil dari syarikat teknologi maklumat terkemuka Dasar Jati Sdn Bhd dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dijemput untuk menjawab beberapa persoalan kritikal berkaitan tentang pencarian pekerjaan. Di sini saya sertakan satu soalan cepumas di antara banyak soalan-soalan cepumas yang dikemukakan sepanjang sesi tersebut, dan jawapan yang disediakan secara spontan.

Ini satu soalan yang amat baik, dan saya ingin menjawabnya atas kapasiti saya secara peribadi dan suka saya mengingatkan anda yang pendapat ini mungkin berbeza dengan orang lain. Ini nasihat saya kepada anda.

Saya bekerja di industri kreatif dan di dalam industri ini persaingan yang ada amat tinggi. Saya tidak ada cara lain untuk berjaya melainkan dengan memberikan penghasilan yang terbaik. Bukan memberikan yang terbaik ya, tetapi memberikan penghasilan yang terbaik. Tidak kira sama ada anda penulis blog, pereka-bentuk grafik, pakar kandungan dan video, pengarah kreatif dan sebagainya, sekiranya anda tidak mampu memberikan dan menghasilkan mutu kerja anda dengan cemerlang, kerjaya anda akan menghadapi masalah yang besar. Anda akan diganti. Untuk ini anda perlu mempunyai bakat, kemahiran dan kepakaran yang tinggi tentang apa sahaja yang anda lakukan. Jadi, sekiranya saya ingin mencari bakat baru sebagai pekerja saya, saya akan mencari bakat-bakat yang betul-betul mampu melakukan apa yang diberikan dan hasilkannya dengan kualiti yang tinggi. Saya juga mencari calon juga mempunyai sikap dan watak yang matang, dan juga mempunyai keinginan yang tinggi untuk berjaya. Bagaimana pula dengan CGPA, adakah ini juga faktor penting dalam pemilihan? Bagi saya ini perkara kedua. Saya melihat situasi ini sama seperti bagaimana kita memilih calon suami atau isteri saya. Kita pasti akan mencari seorang yang betul-betul mempunyai ciri-ciri dan sifat seorang suami atau isteri yang baik yang mampu menjaga saya dan anak-anak yang bakal lahir. Mentaliti dan penampilannya juga penting serta beberapa perkara lain yang bersesuaian dengan kita. CGPA di sini seakan-akan merujuk kepada latar belakangnya sama ada dia ini seorang yang kaya atau miskin. Adakah kaya atau miskin ini penting dalam memilih pasangan kita? Mungkin sesetengah orang, ya ia penting tetapi bagi saya tidak. Begitu juga dengan organisasi, ada yang melihat ini sebagai sesuatu yang penting. Tetapi bagi saya tidak.  

Dalam beratus-ratus calon yang memohon pekerjaan yang sama, anda perlu tonjolkan kelebihan diri anda. Sekiranya tidak, anda pasti akan tenggelam. Jadi, ini yang perlu dilakukan. Kebanyakan graduan akan menulis resume dan menceritakan segala-galanya di sana. Mereka bergantung kepada resume seratus peratus. Bagi saya resume hanya mampu membantu setakat 30-40 peratus sahaja. Kerana ia terlalu membosankan untuk dibaca. Impresi pertamanya juga tidak begitu memberikan impak. Oleh itu, anda perlu mempunyai akaun LinkedIn iaitu media sosial untuk golongan profesional. Di samping resume anda, LinkedIn akan membantu yang selebihnya iaitu 60-70 peratus lagi. Di sini tempat yang terbaik untuk anda tonjolkan kelebihan-kelebihan yang ada pada diri anda. Rangkaian kenalan profesional juga mampu diwujudkan di sini, yang bakal membantu anda mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

Tidak ramai graduan yang tahu tentang kelebihan LinkedIn dalam pencarian pekerjaan mereka. Sebelum mereka tahu, lebih baik anda tahu dahulu dan mulakan langkah anda secepat mungkin.