11 Cara Kekalkan Pengunjung Laman Web Anda Agar Berada Lebih Lama

Oleh Azleen Abdul Rahim

SEPERTI apa yang saya tulis minggu lepas, artikel ini amat berkait rapat dengan artikel tersebut. Laman web yang baik dan berkualiti, akan membuat apa sahaja untuk kekalkan pengunjung laman web mereka agar berada lebih lama di dalamnya. Mereka tahu, hanya dengan cara ini, peluang mereka untuk menjadikan para pengunjung itu tadi sebagai pelanggan akan lebih tinggi. Ada 11 cara yang anda boleh gunakan hari ini.

Gunakan font yang besar. Untuk memastikan para pengunjung melekat di laman web anda, anda perlu menggunakan saiz font yang sesuai. Saiz font yang besar dan mudah untuk dibaca merupakan pilihan yang terbaik. Mereka akan berasa selesa untuk membacanya terutama bagi yang menggunakan telefon pintar.

Gunakan 3 jenis font sahaja atau kurang. Anda perlu kurangkan jumlah jenis font yang digunakan tidak lebih daripada tiga jenis. Ini akan menjadikan laman web anda tidak terlalu berserabut dengan jenis-jenis font atau tulisan yang tidak terkawal.

Ringkaskan reka bentuk laman web. Saya sendiri akan tertarik kepada laman-laman web yang mempunyai reka bentuk yang ringkas dan mudah, yang tidak perlu menggunakan jus otak saya secara berlebihan untuk saya membuat rondaan ke atasnya. Reka bentuk yang terbaik ialah yang boleh dikemudi secara menurun ke bawah atau scrolling down. Ia bukan sahaja mudah, malah ia juga selalunya sesuai dilayari menggunakan telefon pintar.

Gunakan gambar yang ada orang, gambar kepunyaan anda. Pengunjung selalunya akan tahu yang gambar-gambar dan video yang anda paparkan di laman web anda itu milik anda atau pun copy-paste daripada sumber-sumber luar. Faktor yang sekecil ini pun amat memainkan peranan penting bagi terus menarik para pengunjung untuk setia berada di dalam laman web anda. Untuk lebih padu, anda perlu meletakkan lebih banyak gambar atau video yang mempunyai orang di dalamnya. Gambar yang tidak mempunyai orang di dalamnya, akan mempunyai kurang daya tarikan.

Naik taraf gambar yang ada. Gambar-gambar yang dinaik taraf (upgrade) ini adalah yang mempunyai definisi yang tinggi, mempunyai tulisan di dalamnya, diubah suai sedikit dan funky. Saya ada membuat kajian dalaman tentang ini dan hasilnya ialah, para pengunjung akan lebih tertarik dan mempunyai penurunan sebanyak 15.6 peratus kebarangkalian untuk tidak keluar daripada laman web tersebut.

Paparkan statistik. Agak rugi jika laman web anda tidak mempunyai statistik untuk dipaparkan kepada para pengunjung anda. Mereka begitu gilakan statistik sebenarnya. Manusia mempunyai lumrah yang suka mengambil tahu tentang semua benda, termasuklah menariknya atau tidak laman web anda. Untuk itu, mereka akan melihat statistik anda.

Perlu ada penceritaan. Apakah yang cuba disampaikan oleh laman web anda dan bagaimana laman web anda dapat menolong para pengunjung anda? Para pengunjung akan cuba menjawab persoalan ini. Sekiranya laman web anda tidak mempunyai identiti tersendiri, jalan cerita yang menarik, tidak membantu para pengunjung daripada mana-mana aspek kehidupan dan kerjaya mereka ataupun mana-mana kombinasi ini, maka dengan sendirinya laman web anda ini akan dianggap tidak menarik.

Provokasikan kesemua tajuk. Tajuk amat memainkan peranan penting dalam sesuatu artikel di dalam laman web. Tajuk yang menarik, berbentuk soalan, yang membuatkan pembaca membacanya dengan hati akan dapat menarik minat pengunjung untuk berada lebih lama dan membaca artikel-artikel anda yang lain.

Jangan lupa selitkan pautan dalaman yang lain. Laman web anda perlu diselitkan dengan pautan belakang (backlink) ke artikel-artikel anda yang lain ataupun ke muka surat lain agar para pengunjung sentiasa berlegar-legar di dalam laman web anda dengan lebih lama. Selain itu, anda juga harus menggunakan external tab yang lain sekiranya anda mempunyai backlink luar yang bukan daripada laman web anda.

Pastikan mereka melalui ‘kaunter bayaran’ sebelum keluar. Untuk pastikan yang para pengunjung tidak keluar begitu sahaja, laman web anda perlu berbuat sesuatu. Laman web yang baik akan cuba menarik mereka untuk sama ada membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan anda, meninggalkan butiran perhubungan untuk dihubungi ataupun sekurang-kurangnya meninggalkan alamat emel mereka dan melanggan e-newsletter anda.

Selitkan sempadan visual di antara artikel. Rugi sekiranya anda tidak meletakkan sempadan visual di antara artikel-artikel anda. Visual yang saya maksudkan ialah sama ada berbentuk iklan anda, iklan orang lain ataupun visual yang mempunyai link ke artikel yang lain. Barulah menarik.