4 Cara Menukar Pengunjung Laman Web Anda Menjadi Pelanggan

Oleh Azleen Abdul Rahim

Anda merupakan seorang tauke kedai perabot. Perniagaan perabot anda baru sahaja bermula beberapa hari lepas, baru lagi. Jadi, perkara yang pertama sekali yang anda lakukan ialah bagaimana untuk menarik orang ramai untuk datang ke kedai anda. Akhirnya, segala kreativiti dan strategi anda itu membuahkan hasil yang baik apabila dalam masa seminggu sahaja, beratus-ratus orang telah mula datang ke kedai anda. Cuma yang peliknya para pengunjung yang datang itu tidak pula membeli. Malah, mereka hanya masuk ke dalam kedai dan selang beberapa saat selepas itu, terus keluar. Hanya beberapa kerat sahaja yang betul-betul masuk sampai ke dalam. Itu pun masih lagi tidak membeli, hanya melihat. Anda pun hairan.

Kenapa boleh jadi begini, apa yang tidak kena? Anda sebenarnya lupa tentang satu lagi strategi, iaitu bagaimana untuk menjadikan para pengunjung yang datang itu untuk berada lebih lama di dalam kedai anda. Ini kerana, dengan berada dengan lebih lama, kebarangkalian untuk jadikan mereka sebagai pelanggan adalah tinggi.

Sekarang mari kita lihat dari aspek laman web dan pemasaran digital. Laman web anda adalah se­­olah-olah kedai perabot anda tadi. Apabila anda berjaya mendapatkan para pengunjung untuk datang ke laman web anda itu, perkara seterusnya yang anda perlu lakukan ialah memastikan mereka berada di dalamnya selama mungkin. Apabila mereka lama di dalamnya dan melihat keseluruhan laman web anda itu, kebarangkalian mereka untuk menjadi pelanggan adalah tinggi.

Laman web yang baik akan berjaya mempengaruhi para pengunjung untuk tinggal lebih lama lagi di dalamnya setelah mereka datang. Dan anda hanya ada 15 saat untuk apa yang saya namakan sebagai first impression, sebelum perhatian mereka beralih kepada perkara lain yang akhirnya menyebabkan mereka terus keluar dari laman web anda.

Terdapat 4 cara bagaimana untuk menjadikan mereka sebagai pelanggan anda:

Laman Web Yang Mudah Digunakan. Sekiranya saya ke kedai perabot anda, dan saya melihat be­­gitu berserabut dan tidak ter­­susunnya perabot-perabot yang terdapat di dalam kedai anda, saya akan terus keluar tanpa berfikir panjang. Begitu juga dengan laman web anda. Pengalaman pertama para pengunjung laman web anda begitu penting sekali. Laman web anda perlu disusun sebaik mungkin supaya ia mudah diterokai dan digunakan. Lebih baik lagi sekiranya ia mempunyai jalan penceritaan yang baik, dari awal sehinggalah ke penghujungnya. Penghujung yang baik adalah dengan secara tidak langsung, meyakinkan para pengunjung tadi untuk mempercayai anda, atau membeli sesuatu walaupun kecil, mengambil bahagian dalam kaji selidik ataupun sekurang-kurangnya meninggalkan nombor atau alamat emel untuk dihubungi.

Impresi pertama yang meyakinkan melalui bahasa yang ringkas, mudah dan padat. Kedai perabot yang menarik ialah kedai yang mempunyai first impression yang baik dan menggunakan bahasa yang mudah difahami dan maksud yang tidak mengelirukan. Begitu juga dengan laman web. Dengan sepantas kilat, para pengunjung laman web anda ingin tahu apakah yang anda jual, dan bagaimanakah anda akan dapat membantu mereka. Untuk ini, mereka memerlukan pemahaman yang mudah. Jadi, bahasa dan ayat yang anda gunakan di laman web anda perlulah ringkas, padat, mudah difahami dan meyakinkan. Kesemua ini akan dinilai oleh para pengunjung dalam masa tidak lebih 15 saat sahaja. Pengunjung yang yakin dengan laman web anda dan apa yang anda cuba sampaikan akan berada lebih lama dan melepasi garisan 15 saat tersebut.

Jelaskan keistimewaan anda. Pernahkan anda ke IKEA? Di sana, anda akan dapat melihat idea-idea menarik rekaan dalaman yang boleh digunakan untuk rumah anda sendiri dan juga merasa sendiri bagaimana selesanya sofa dan perabot-perabot yang lain. Dengan tidak disangka-sangka, anda akan jatuh hati dengan IKEA dan akhirnya membeli sesuatu untuk dibawa pulang walaupun pada mulanya anda hanya ingin ke sana untuk window shopping sahaja. Jadi, pengalaman yang sama anda perlu terapkan terhadap para pengunjung laman web anda. Sediakan pengalaman yang istimewa untuk mereka. Contohnya, sediakan demonstrasi video secara dalam talian untuk mereka, ataupun diskaun yang sesuai, jaminan pulangan wang sekiranya barangan yang dibeli tidak menepati kualiti tertentu, penghantaran percuma, penghantaran segera untuk lebih meyakinkan mereka tentang keistimewaan anda.

Testimoni pelanggan. Kalau anda pernah ke Nasi Kandar Line Clear di Pulau Pinang, anda pasti akan dapat merasa keenakan nasi kandar dan lauk-pauknya yang memang tidak asing lagi. Sambil anda menjamu selera di sana, anda akan terpegun juga dengan gambar-gambar selebriti yang pernah berkunjung ke sana, yang ditampal di dinding kedai tersebut. Walaupun dengan hanya gambar, testimoni ini begitu berkesan sekali. Berbalik kepada laman web, walau sehebat mana pun laman web yang anda bina, ia tidak akan berkesan sekiranya tidak diletakkan testimoni-testimoni daripada para pelanggan anda. Bakal pelanggan anda pasti akan membaca testimonial ini dan terpengaruh dengannya. Tetapi ingat, keyakinan pengunjung akan pudar sekiranya mereka tahu yang anda cuba menipu tentang testimonial ataupun asyik berkongsi terlalu banyak testimoni sahaja 24 jam.