5 Cara Bagaimana Menjana Pendapatan Tambahan Menerusi Blog

Oleh Azleen Abdul Rahim

Tahukah anda, kita sebenarnya mampu menjana pendapatan tambahan, hanya dengan menjadi blogger yang mempunyai laman blog yang aktif, menarik dan pengikut yang ramai. Ada juga blogger yang tidak lagi perlu bekerja, kerana laman blognya mampu menjana beribu-ribu ringgit seminggu. Tidak kurang juga yang kini sudah pun bergelar selebriti terkenal. Antara yang terkenal ialah Hanis Zalikha, Paul Tan, Hong Kiat dan ramai lagi. Ada juga yang bermula di YouTube. Beberapa contoh ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan yang perkara ini tidak mustahil untuk anda. Jom kita tengok bagaimana cara untuk anda lakukannya?

Blog Tentang Latihan. Anda seorang yang hebat tentang selok-belok telefon pintar dan mempunyai kepakaran tentang membaiki telefon pintar contohnya. Apa yang anda perlu lakukan ialah, bina satu laman blog yang menarik, dan anda kongsikan tentang kepakaran anda itu. Ya, ramai yang akan gilakan penulisan anda kerana begitu ramai orang yang mahu menimba pengalaman dan pen-getahuan serba sedikit tentang apa yang perlu mereka lakukan sekiranya telefon pintar mereka tiba-tiba rosak. Bukannya semua orang yang mampu untuk menghantar telefon mereka untuk dibaiki. Apatah lagi kalau tengah-tengah bulan, lagilah. Di samping berkongsi tip-tip menarik dan praktikal di laman blog anda, anda juga boleh menyediakan kelas-kelas latihan untuk sesiapa yang berminat. Ha! Dengan cara ini, saya pasti anda mampu menjana bukan sahaja beberapa ratus, malah mungkin seribu dua hanya dengan satu sesi kelas anda itu.

Pengurusan Blog, Laman Web. Idea yang lebih kurang sama dengan di atas. Ia agak khusus kepada anda yang mempunyai latar belakang Internet yang agak teknikal. Kalau bercakap tentang topik yang berkisar tentang Internet, laman web, blog, domain, hosting dan sebagainya saja, andalah antara yang terhebat dalam kalangan rakan-rakan anda. Ini diakui oleh mereka. Jadi, untuk menambah pendapatan bulanan, anda boleh mulakan dengan menyediakan laman blog yang menarik. Mula kongsikan pengalaman dan pengetahuan anda tentang perkara-perkara yang tersebut. Anda juga boleh sediakan perkhidmatan untuk mengurus dan menyelenggara laman-laman web dan blog orang lain. Ramai yang memerlukan khidmat sebegini kerana para blogger di luar sana kerana mereka juga seperti saya, tidak begitu mahir tentang bab-bab yang melibatkan benda-benda teknikal tentang laman blog.  

Blog Yang Menjual Barangan Atau Perkhidmatan. Begitu ramai individu di luar sana yang mempunyai laman-laman blog sebegini. Jual, jual dan jual. Ia idea yang bagus tetapi tidak ramai yang bertahan lama. Ini kerana laman blog sebegini hanya ada kandungan-kandungan tentang produk dan perkhid-matan mereka sahaja. Mereka tidak berkongsi langsung sebarang tip atau nasihat yang para pengunjung dapat manfaatkan dari mereka. Para pengunjung laman-laman web atau blog secara dasarnya amat gemar untuk me-lawat laman-laman yang banyak berkongsi tentang pengalaman, nasihat dan tip. Lebih banyak anda berkongsi, lebih ramai lagi para pengunjung yang akan datang ke ‘kedai’ anda ini. Berkongsi dan menjual, satu kombinasi yang amat padu.

eBuku Dan Kursus Secara Dalam Talian. Ini pula khusus kepada yang minat menulis. Segala pengalaman-pengalaman anda tadi, anda telah curahkan dan kongsikan di laman blog anda untuk para pembaca, anda juga telah menyediakan sesi-sesi latihan kepada mereka dalam bentuk kelas berbayar yang telah menjadikan anda agak mewah setiap bulan dengan pendapatan tambahan ini tadi. Anda juga boleh kumpulkan segala kandungan-kandungan latihan itu tadi, pengalaman anda, nasihat-nasihat yang telah anda berikan kepada pelatih-pelatih anda contohnya, ke dalam satu buku yang berbentuk nota panjang. Nota panjang ini juga dikenali sebagai eBuku atau eBook.  eBuku ini dijual secara dalam talian, yang biasanya di antara harga RM0.99 sehinggalah ada yang sampai beratus-ratus ringgit untuk setiap buku. Kalau boleh, jangan habiskan idea anda dalam satu eBuku yang sama. Buatkan beberapa Bahagian atau Episod. Lebih banyak bahagian, lebih banyak wang yang mampu anda jana.

Iklan Di Laman Blog. Anda tidak mempunyai kepakaran? Jangan risau. Saya pasti anda suka melancong atau jalan-jalan cari makan di serata Malaysia bersama-sama keluarga, betul? Jadi, sediakan satu laman blog yang cantik dan menarik, dan kongsikan pengalaman-pengalaman anda tentang tempat yang anda lawati, restoran-restoran yang anda ingin cadangkan ataupun hotel dan motel yang anda menginap. Tulisan dengan lenggok yang santai tetapi menarik dengan gambar-gambar yang terang dan jelas pasti akan menarik ramai pengunjung ke laman blog anda. Apabila begitu ramai pengunjung, banyak jenama-jenama memasang niat untuk meletakkan iklan mereka di laman blog anda. Adsense, satu perkhidmatan periklanan Google adalah salah satu dari mereka. Selain Adsense, anda juga boleh berurusan terus dengan jenama-jenama itu dengan meletakkan harga yang bersesuaian.

Jangan lupakan saya apabila anda menjadi selebriti nanti ya.