5 Elemen Penting Perlu Ada Pada Laman Web Korporat

Oleh Azleen Abdul Rahim

KEBANYAKAN organisasi di Malaysia mempunyai laman web yang menarik. Namun memiliki laman web yang canggih, kreatif dan mempunyai reka bentuk dan flash yang tersembur keluar tidak semestinya akan menarik lebih ramai pengunjung, apatah lagi untuk membuatkan mereka kekal di dalamnya dengan lebih lama lagi. Jadi, apakah elemen yang perlu ada pada laman web sesebuah organisasi untuk mendapatkan lebih ramai pengunjung, yang akan berada di dalamnya dengan lebih lama dan akhirnya membuatkan mereka membeli barangan atau perkhidmatan anda?

Laman web yang dibina berasaskan Mobile-Ready. Satu fenomena yang dikenali sebagai Mobilegeddon telah wujud baru-baru ini. Ia telah mengubah cara bagaimana pencarian sesuatu maklumat yang dibuat di Google Search, kerana Google telah mengubah algoritma mereka dengan begitu drastik sekali. Dengan kata lain, sekiranya anda ingin mencari sesuatu maklumat di Google Search sekarang, hanya laman web yang mempunyai mobile-ready sahaja yang akan diutamakan yang akan dipamerkan di halaman yang di hadapan untuk anda. Tanpa mobile-ready, Google akan meletakkan laman web anda terkebelakang dan orang tidak dapat mencari laman web anda yang canggih itu di Internet, seolah-olah tidak wujud.

Halaman Utama Yang Ringkas Tetapi Jelas. Saya juga melihat banyak laman web yang meletakkan hampir kesemua benda di halaman utama. Walaupun maklumat yang sama juga terdapat di halaman-halaman berikutnya, ia juga disumbat ke halaman utama tadi. Dengan meletakkan hampir kesemua benda, maklumat dan mengulangi ayat-ayat yang sama di merata-rata tempat, ia akan menjadikannya serabut, sesak dan terlebih muatan. Apabila ini berlaku (overload), sekiranya saya sebagai pengunjung laman web anda, saya akan terus keluar tanpa berfikir panjang. Walaupun saya baru sahaja sampai beberapa saat sebelum itu, saya akan tetap keluar. Ramai tidak sedar yang halaman utama adalah penting untuk memastikan first impression anda di mata para pengunjung adalah yang terbaik. Itu sahaja. Dan anda hanya mempunyai 15 saat sahaja untuk berbuat demikian. Dengan 15 saat ini lah pengunjung akan membuat keputusan sama ada laman web anda ini relevan untuknya atau tidak. Sekiranya tidak, maka anda telah berjaya menunjukkan yang organisasi anda adalah organisasi yang membosankan.

Halaman About Us Yang Spesifik Dan Jelas. Sekiranya anda berjaya dalam ujian first impression tadi, para pengunjung tadi akan ke halaman About Us anda. Mereka ingin tahu perihal latar belakang organisasi anda. Jadi, anda perlulah meletakkan maklumat yang akan memberi manfaat agar mereka lebih memahami tentang organisasi anda ini, di mana lokasi organisasi anda dengan tepat, alamat e-mel serta nombor untuk dihubungi. Mereka juga ingin tahu adakah organisasi anda ini boleh dipercayai atau sebaliknya. Oleh itu, anda perlu memuat naik maklumat yang cukup untuk mereka. Ia mestilah relevan, padat dan ringkas, yang bertepatan dengan jangkaan mereka.

Halaman Blog Untuk Membina Keyakinan. Pengunjung yang datang ke laman web anda adalah bakal pelanggan anda. Mereka datang kerana ingin tahu mengenai organisasi anda, bagaimana anda mampu membantu mereka dan bagaimana mereka akan mendapat manfaat darinya. Mereka kemudiannya akan membuat keputusan untuk meletakkan keyakinan mereka ataupun tidak. Oleh itu, anda perlu mengambil kesempatan membina keyakinan mereka melalui blog. Ia akan menjadikan laman web anda lebih dinamik dan tidak statik. Laman web yang dinamik dan sentiasa mempunyai bahan yang baru setiap hari akan lebih kelihatan menarik bukan sahaja di mata pengunjung, tetapi juga di mata enjin carian seperti Google, Yahoo dan Bing.

Butang Call-To-Action. Elemen yang paling kritikal ialah butang Call-To-Action yang perlu ada di laman web anda. Ia merupakan satu strategi penting bagi menggalakkan pengunjung untuk berbuat sesuatu seperti meninggalkan nama mereka, alamat e-mel dan sebagainya, setelah mereka tertarik dengan potensi organisasi anda. Galakkan mereka untuk sekurang-kurangnya menjadi `pengikut’. Setelah mereka datang, melihat, percaya dan yakin dengan organisasi anda, inilah masanya untuk wujudkan komuniti anda sendiri melalui call-to-action ini. Komuniti anda adalah bakal pelanggan yang begitu hampir untuk membeli dan menggunakan produk atau perkhidmatan anda. Call-To-Action akan dapat membantu laman web anda untuk proses menjadikan status pengunjung itu tadi kepada pelanggan anda.

Dengan adanya kelima-lima elemen ini, saya yakin laman web anda akan menjadi jauh lebih ganas dari sekarang dan mampu meningkatkan penjualan anda dengan pantas.