8 sebab kenapa penjenamaan anda harus bermula di LinkedIn

Oleh Azleen Abdul Rahim

Di Malaysia, kebanyakan organisasi kini semakin sedar betapa pentingnya media sosial dalam membina penjenamaan. Mereka juga sedar akan impak yang ditawarkan oleh media sosial ini begitu ketara sekali. Tanpa media sosial, tidak ada alat penggerak lain yang dapat kita hubungkan kepada para pengguna untuk percepatkan kepercayaan dan kesetiaan mereka terhadap jenama kita. Pengaruh word of mouth akan lebih perlahan dan sukar dilaksanakan. Ini adalah satu fakta yang tidak dapat disangkal lagi.

Bagi saya, semuanya perlu bermula di LinkedIn. Saya mengesyorkan LinkedIn kepada anda kerana LinkedIn merupakan:

Sebuah rangkaian sosial profesional terbesar di dunia. Tidak ada rangkaian sosial lain yang menawarkan khidmat sama dan khusus kepada golongan profesional dan usahawan seperti LinkedIn tawarkan. Ia juga mempunyai jumlah ahli seramai 350 juta di seluruh dunia dan semakin meningkat.

Sebuah rangkaian sosial yang anda dapat membina komuniti anda sendiri. Komuniti adalah segala-galanya bagi sesebuah jenama. Tanpa mereka, tidak ada penggemar, pengikut dan pelanggan setia. Sekiranya anda inginkan penjenamaan anda berjaya, anda perlu ada komuniti anda sendiri.

Satu-satunya tempat rujukan bagi para profesional. Mereka akan datang untuk membuat rujukan seperti mencari maklumat individu profesional yang lain, organisasi dan industri tertentu, artikel-artikel tertentu, mencari jenama produk atau servis tertentu dan sebagainya. Namun, kebanyakan daripada mereka akan mencari connections ataupun rakan-rakan niaga yang baharu.

Satu-satunya tempat yang menyediakan ruang seakan-akan blog, tetapi lebih bersifat profesional. Di sini, anda boleh menulis artikel dan pamerkan penulisan anda itu kepada rakan-rakan LinkedIn atau connections anda yang lain. Penulisan daripada pemikiran anda ini kenali sebagai thought-leadership content mampu memberikan impak yang amat besar ke atas jenama anda itu sendiri.

Pemberi ruang kepada organisasi anda untuk menjadikan para pekerja sebagai duta jenama anda. Dengan penggunaan LinkedIn yang sistematik, para pekerja anda sendiri secara tidak langsung dan langsung akan membantu menaikkan penjenamaan organisasi anda di pasaran. Ini kerana setiap daripada mereka akan mempunyai connections atau rakan LinkedIn yang ramai. Bayangkan sekiranya organisasi anda memuat naik satu artikel contohnya, dan artikel ini seterusnya dikongsi oleh para pekerja anda kepada ribuan connections mereka. Ini akan membuatkan artikel itu tadi tersebar kepada ribuan pembaca dengan hampir sekelip mata. Dengan ini, jenama anda akan tersebar dengan pantas dengan para pekerja menekan butang Share sahaja.

Satu-satunya rangkaian sosial yang akan memberikan jenama anda impak jauh lebih positif berbanding pesaing anda yang lain. Dengan strategi penggunaan LinkedIn yang berterusan, aktif dan sistematik, jenama anda akan dilihat sebagai sebuah jenama yang berkualiti, dinamik dan banyak memberi informasi terkini dan menarik kepada pembaca. Jenama anda tidak akan dilihat sebagai membosankan. Situasi ini akan membuatkan para pesaing anda selalu membuat rujukan secara diam-diam di laman LinkedIn anda. Mereka ingin mengintai dan belajar daripada teknik anda menggunakan media sosial, dan ini telah meletakkan organisasi anda sebagai satu benchmark buat mereka.

Tempat di mana organisasi anda akan kelihatan seperti sebuah organisasi yang menarik sebagai majikan. LinkedIn juga mampu menggantikan laman web ada sekiranya laman web anda kelihatan amatur. Di samping itu juga, jenama anda akan menjadi seolah-olah jenama yang unik, menarik dan cool sepertimana Google dan Apple. Penjenamaan yang menarik akan menarik pekerja-pekerja luar yang menarik dan berpotensi tinggi untuk bekerja di organisasi anda. Hanya yang terbaik.

Satu-satunya rangkaian sosial yang anda mampu berinteraksi terus dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Operasi, Ketua itu dan ini di syarikat-syarikat lain. Sekiranya mereka menerima tawaran anda untuk menjadi salah seorang daripada connections anda, maka dengan sendirinya mereka bersetuju untuk menjadi rakan anda. Dengan tiket ini, anda boleh berhubung terus dengan mereka tanpa proses red-tape yang tidak munasabah.

Saya adalah pengguna tegar LinkedIn sejak beberapa tahun lalu. Pertumbuhan rangkaian rakan-rakan niaga saya kini jauh lebih besar berbanding dahulu. Tanpa rangkaian perniagaan yang besar ini, adalah mustahil untuk saya memperluaskan penjenamaan syarikat di rantau ini. Dan hasilnya amat luar biasa sekali. Saya pasti sekiranya anda dapat menguasai LinkedIn dengan baik, dinamik dan sistematik, ia akan membantu organisasi anda menjadi jauh lebih berdaya saing.