8 Tips Pemasaran Melalui Twitter

Oleh Azleen Abdul Rahim

Adakah anda pengguna Twitter tegar? Seperti anda, saya juga menggunakan Twitter sebagai salah satu media untuk menaikkan jenama saya dan syarikat saya. Kalau anda perasan, Twitter sekarang tidak lagi sama seperti versi terdahulu. Ia telah jauh berubah dan berkembang sejak tiga hingga empat tahun yang lepas dan saya pasti ia akan terus melakukan perubahan untuk kekal relevan.

Jadi, kita semua amat serasi dengan Facebook namun kita juga perlu sedar yang penggunaan Twitter juga sama efektifnya berbanding Facebook dan ia juga mampu untuk menaikkan sesuatu jenama. Ini caranya:

Memilih sasaran pasaran. Saya merupakan seorang pemasar digital di Malaysia, jadi saya ingin penjenamaan saya untuk lebih tertumpu kepada pasaran perniagaan dan korporat di Malaysia. Untuk objektif ini, saya perlu sediakan profil Twitter saya dan segala apa yang akan saya tulis atau kongsikan, akan tertumpu kepada sektor perniagaan dan korporat di Malaysia yang ingin mengetahui lebih banyak maklumat berkenaan media sosial dan pemasaran digital.

Mempunyai blog atau laman web yang dinamik. Saya juga perlu menyediakan laman web atau blog saya untuk lebih dinamik. Dinamik di sini bermaksud, segala artikel-artikel yang ditulis dan tip-tip yang saya tulis adalah sentiasa terkini. Setiap hari dan setiap masa, ia akan sentiasa mempunyai artikel-artikel yang terbaharu untuk dikongsi.

Memilih pengikut yang sesuai. Inisiatif Twitter saya tidak akan bermakna tanpa mempunyai pengikut yang betul dan seramai mungkin. Untuk itu, saya perlu dapatkan mereka yang berkaitan dan membuatkan mereka untuk menjadi pengikut saya. Jadi, apa yang saya akan lakukan ialah, mula-mula saya akan menjadi pengikut kepada Tan Sri Tony Fernandes, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, contohnya. Beliau merupakan pengguna Twitter tegar yang juga ahli perniagaan yang disegani ramai, dan ramai usahawan lain juga menjadi pengikut beliau di Twitter. Setelah mengikuti beliau di Twitter, saya akan melihat setiap pengikut beliau yang terkini dan memilih untuk menjadi pengikut mereka yang bersesuaian.

Mencari pengikut seramai mungkin. Saya juga akan mengikuti beberapa selebriti perniagaan dan korporat lain yang mempunyai kredibiliti yang setara dengan Tony Fernandes, dan juga beberapa jenama korporat yang lain. Objektif saya ialah ingin mendapatkan pengikut mereka. Saya akan mula menjadi pengikut kepada pengikut jenama-jenama ini dengan sebanyak mungkin. Dengan cara ini, mereka akan perasan yang saya mula menjadi pengikut mereka dan berkemungkinan besar mereka juga akan menjadi pengikut saya kembali.

Kongsikan link artikel yang bersesuaian. Untuk menjadikan Twitter anda menarik untuk diikuti oleh pengikut, anda perlu berkongsi post yang berguna kepada mereka. Memandangkan para pengikut saya adalah terdiri daripada sektor perniagaan dan korporat yang meminati media sosial dan pemasaran digital, saya berkongsi dengan mereka artikel-arikel, gambar dan infografik yang seiring dengan apa yang mereka suka.

Saya berkongsi link yang akan tertumpu kepada artikel-artikel yang hampir kesemuanya terletak di laman web atau blog saya. Dengan meletakkan artikel di laman web sendiri, secara tidak langsung mereka akan membaca artikel-artikel yang lain, di samping melihat apa lagi yang syarikat saya lakukan.

Berkongsi link tidak kurang lima kali sehari. Tidak semua pengguna Twitter akan berada di dalamnya 24 jam sehari. Jadi, saya perlu memastikan mereka melihat status saya sekurang-kurangnya sekali sehari. Maka saya harus memastikan yang saya akan berkongsi artikel-artikel saya tidak kurang lima kali sehari atau lebih.

Asingkan Twitter peribadi anda. Saya asingkan akaun Twitter syarikat daripada Twitter peribadi saya. Di dalam Twitter peribadi, saya akan lebih banyak bersembang dengan komuniti dan rakan-rakan maya saya. Saya juga berkongsi apa yang dikongsikan oleh Twitter syarikat saya. Di dalam Twitter syarikat saya, ia tertumpu kepada perkongsian link artikel-artikel dan aktiviti bersembang itu hanyalah tidak sampai 10 peratus.

Bina kredibiliti anda. Pembinaan kredibiliti saya bermula di profil Twitter peribadi saya. Saya akan letakkan Twitter kendalian syarikat saya di profil peribadi saya. Di sini, mereka akan tahu siapa saya dan di mana saya bekerja. Secara tidak langsung, mereka akan melihat Twitter syarikat saya. Untuk mantapkan lagi kredibiliti saya, saya akan selalu bersembang dengan rakan-rakan Twitter yang lain.

Dengan cara ini, mereka akan lebih mengenali saya dengan lebih dekat, secara tidak langsung mereka akan mengenali apa yang saya buat. Di Twitter syarikat, saya akan terus berkongsi artikel-artikel yang menarik setiap masa, setiap hari bagi menarik perhatian. Di samping itu, aktiviti penambahan pengikut akan tetap dilaksanakan.