Empat Cara Bagaimana Untuk Memiliki Profil LinkedIn Yang Menarik

Oleh Azleen Abdul Rahim

KITA semua tahu bagaimana berkesannya LinkedIn sebagai satu rangkaian media sosial terpenting untuk perniagaan pada masa kini. Tidak mustahil sekiranya anda akan begitu aktif di dalam LinkedIn setiap hari untuk menaikkan penjenamaan diri anda dan juga syarikat anda di mata orang luar.

Namun, anda tidak keseorangan. Terdapat 364 juta ahli LinkedIn yang lain juga sama seperti anda, malah jauh lebih aktif dengan pelbagai aktiviti untuk berlumba menarik perhatian. Dengan perhatian, barulah akan ada penjualan.

Jadi, bagaimanakah untuk memastikan yang profil LinkedIn anda tidak tenggelam di arus ini dan menjadikannya lebih menonjol berbanding yang lain. Di dalam artikel saya yang lepas, saya ada menyediakan tip tentang perkara asas yang perlu ada di profil LinkedIn anda yang secara ringkasnya seperti berikut:

Gambar yang profesional dan unik. Satu ringkasan profesional yang menceritakan tentang anda, syarikat anda dan value proposition untuk bakal pelanggan anda. Ceritakan mengapa syarikat anda merupakan di antara yang terbaik yang terdapat di pasaran. Ceritakan tentang pengalaman-pengalaman syarikat anda dengan mendalam tentang bagaimana anda dan syarikat membantu mengatasi masalah pelanggan anda dengan produk atau perkhidmatan yang disediakan.

Apabila perkara-perkara asas ini sudah tersedia, kini tibalah masanya untuk anda tonjolkan profil anda semaksimum mungkin dan menarik perhatian pasaran kepada jenama anda di LinkedIn. Ini caranya:

Fokus kepada kumpulan pasaran yang spesifik. Anda tahu betapa pentingnya untuk betul-betul mengenali pelanggan anda secara individu. Oleh itu, proses mengenali bakal pelanggan anda juga sama pentingnya sebelum mereka menjadi pelanggan anda. Jadi untuk lebih mengenali bakal-bakal pelanggan, anda perlu tahu di manakah mereka berada, apakah saiz perniagaan mereka, masalah mereka, kekuatan mereka, peluang-peluang yang mereka inginkan untuk lebih memajukan perniagaan mereka, bagaimanakah tahap persaingan di antara mereka dan sebagainya.

Jadi, profil anda dan syarikat anda harus tertumpu kepada perkara-perkara ini terlebih dahulu. Tumpukan bagaimana anda dan syarikat anda akan dapat membantu mereka menyelesaikan salah satu permasalahan mereka yang sekian lama wujud. Dengan adanya anda, maka masalah mereka itu sedikit sebanyak akan selesai. Dengan adanya anda, mereka mampu untuk mengorak langkah dengan lebih jauh lagi. Jadikan ini sebagai satu objektif untuk anda menulis profil anda yang terancang. Tidak perlu ulas dengan panjang lebar, cukup hanya dengan pernyataan yang ringkas dan mudah tetapi berisi.

Fokus kepada penulisan blog. Ramai yang tidak sedar bahawa penulisan blog atau artikel mampu menarik minat dan perhatian para profesional di LinkedIn ke profil anda. Sekiranya anda aktif dalam penulisan blog, anda perlu memuat naik sekurang-kurangnya antara satu hingga dua artikel seminggu untuk mendapatkan perhatian seramai mungkin ke profil LinkedIn anda. Dengan penulisan, anda sebenarnya menceritakan yang anda di antara individu-individu yang tahu apa yang anda tulis dan secara tidak langsung menceritakan kemahiran anda kepada mereka. Apabila pembaca membaca apa yang anda tulis, memahaminya dan dapat kaitkan dengan situasi yang mereka hadapi sekarang, mereka akan tertarik untuk terus ke profil anda.

Kerana mereka ingin tahu siapakah anda. Di sini, anda menarik perhatian mereka untuk mengenali anda dan syarikat anda dengan lebih terperinci lagi. Apabila mereka ke profil anda, di sana mereka akan tahu siapakah anda, siapakah anda di syarikat anda, apa yang syarikat anda buat, bagaimanakah untuk menghubungi anda dan bagaimana mereka akan dapat dibantu sekiranya mereka menghubungi anda. Hebat bukan?

Beri perhatian kepada aktiviti-aktiviti profesional yang lain. Memuat naik aktiviti-aktiviti anda di LinkedIn pada setiap masa adalah sesuatu yang digalakkan. Namun ia juga harus diimbangi dengan memberi perhatian yang sama kepada aktiviti para profesional yang lain juga. Cara untuk memberi perhatian, ialah dengan menekan click pada butang LIKE, click dan memberikan komen ataupun click dan kongsi status rakan profesional anda itu dengan followers anda. Dengan cara ini, perhubungan di antara anda dan rangkaian sosial anda adalah mutual dan adil.

Secara tidak langsung, apabila anda berbuat demikian, para followers individu tersebut akan dapat melihat aktiviti anda itu. Ini akan membuatkan profil anda seakan-akan terdedah kepada mereka dan sekiranya mereka tertarik dengan komen anda, mereka akan ke profil anda untuk mengetahui tentang anda dan syarikat anda dengan lebih mendalam. Dengan cara ini juga anda akan dapat menarik perhatian followers orang lain ke profil anda.

Dengan LinkedIn, proses penjualan produk anda akan dapat dipercepatkan sekiranya anda tahu menggunakannya dengan baik dan sistematik.