Enam Sebab Mengapa 
Pemasaran Digital Anda Gagal

Oleh Azleen Abdul Rahim

Hari Jumaat lepas, saya ke Bangsar Shopping Centre untuk berjumpa dengan seorang Ketua Pegawai Pemasaran salah sebuah syarikat insurans terbesar di Malaysia. Kenny merupakan kenalan saya di LinkedIn, yang saya belum pernah jumpa. Tepat pukul 10 pagi, kami pun berjumpa buat kali pertama di Coffee Bean & Tea Leaf. Berjumpa dan bersembang dengan Kenny, semacam bersembang dengan kawan lama.

Kenny bertanya pada saya:

Azleen, sepanjang pengalaman anda dalam industri pemasaran digital ini, bagaimanakah caranya untuk sebuah syarikat insurans dapat meningkatkan rasa kebolehpercayaan pasaran dengan insurans dan seterusnya dapat menjual dengan lebih baik lagi?

Dia menambah: “Buat masa ini, kami walaupun masih lagi menggunakan cara tradisional, namun kami sudah ada perancangan untuk ke media digital. Saya ingin tahu apa pendapat anda, Azleen?”

Saya memberitahu Kenny: “Kalau saya jadi anda, saya akan fokus kepada perkara-perkara yang tidak akan membuatkan strategi pemasaran digital saya gagal. Sekiranya gagal, ia akan menjadi satu kegagalan yang amat mahal. Mari kita lihat contoh daripada Apple. Anda akan lebih mudah faham dengan contoh ini Kenny.”

Terdapat beberapa aspek yang saya ceritakan kepada Kenny dariada sudut pemerhatian saya. Terdapat enam aspek penting yang menjadi sebab utama mengapa pemasaran digital satu-satu jenama itu gagal.

Tidak ada fokus pasaran dan komuniti sendiri. Sekiranya tidak ada fokus pasaran, ini bermakna anda tidak tahu siapa sasaran pelanggan anda dan pelanggan bagaimana yang akan membeli barangan dan perkhidmatan anda. Apple telah buktikan yang ia dapat menjual barangan mereka walaupun pada harga yang mahal dan pada kadar keuntungan luar biasa.

Mereka mensasarkan kepada yang inginkan lambang kemewahan dan status. Dengan memiliki iPhone ataupun iPad, mereka akan berasa lebih yakin, dihormati dan mempunyai status tersendiri. Kini, Apple mempunyai komuniti tersendiri di seluruh dunia yang amat setia dengan jenamanya. Tanpa fokus pasaran dan komuniti sebegini, tidak mungkin Apple akan mencapai tahap jenama di antara yang terunggul di dunia.

Pemasaran melalui laman web korporat. Terlalu banyak syarikat yang menjual barangan dan perkhidmatan mereka melalui laman-laman web korporat. Hasilnya, hampir tiada. Adakah anda pernah lihat yang Apple menulis sendiri perihal betapa bagusnya produk mereka setiap hari dan setiap masa? Tidak bukan. Sebaliknya, hanya paparkan yang berkenaan sahaja di laman web korporat.

Tidak menjual di laman-laman web sekutu atau blog. Apple hanya paparkan informasi asas perihal produk mereka. Itu sahaja. Saya ingin membeli sebuah iPhone 6 misalnya. Saya akan meneliti dahulu kesemua aspek iPhone 6 ini di laman web Apple. Saya akan lihat bentuknya, ciri-ciri teknikalnya, apa faedah yang saya akan dapat dengan iPhone 6 ini dan akhir sekali harganya.

Tetapi ini sahaja belum cukup untuk saya membeli telefon pintar tersebut. Apa yang Apple lakukan ialah ia mempunyai sekutu rangkaian blog yang begitu banyak sekali. Tugas blog ini ialah mereka akan yakinkan para pembaca dengan menulis lebih banyak cerita, artikel, gambar, video dan ulasan bagaimana hebatnya iPhone 6 ini berbanding telefon-telefon pintar yang lain. Saya akan menjumpai ulasan-ulasan yang konkrit di blog-blog ini kenapa saya harus membeli iPhone 6 ini. Anda boleh lihat sendiri, adakah Apple cuba menceritakan betapa dahsyatnya barangan mereka di laman web mereka? Tidak sama sekali. Mereka menyuruh orang lain lakukannya untuk mereka.

Tidak mempunyai content atau artikel tersendiri yang setempat. Jika anda lihat laman-laman blog seperti 9to5Mac, CultOfMac dan sebagainya, mereka mempunyai begitu ramai penulis artikel. Artikel-artikel mereka ini ditulis oleh mereka sendiri yang berpandukan kepada beberapa tips daripada pihak Apple sendiri. Setiap masa, segala bahan tulisan asas ini akan diberikan kepada blog-blog ini dan dengan penulisan kreativiti mereka akan meyakinkan para pembaca mengenai produk-produk Apple.

Kelihatan terdesak untuk menjual. Pasaran akan dapat rasa sekiranya cara pemasaran anda akan kelihatan terdesak dan desperado. Terlalu banyak mengajak untuk membeli dan mencuba produk anda. Ajakan-ajakan ini akan terus membuatkan para pembaca berasa meluat dan menyampah. Di Apple, mereka tidak menyuruh para pembaca mereka untuk lakukan itu dan ini. Sebaliknya, mereka akan memberikan tip terbaru, berita terkini dan aplikasi-aplikasi percuma untuk membawa para pembaca lebih mendekati artikel tersebut. Pembaca perlu sukakan artikel itu dahulu.

Ayat dan perkataan yang terlalu teknikal. Sekiranya anda memandu di sekitar Lembah Klang, anda pasti akan melihat beberapa papan iklan yang memaparkan iklan iPhone 6. Anda akan melihat bagaimana berkualitinya gambar yang diambil daripada iPhone 6.