Pemasaran Dalam Talian: 8 Kesalahan Yang Perlu Anda Elakkan

Oleh Azleen Abdul Rahim

MELAKUKAN kesalahan demi kesalahan adalah perkara biasa apabila mencuba sesuatu yang baharu. Saya sendiri telah melakukan pelbagai bentuk kesalahan sebelum betul-betul mahir dalam pemasaran dalam talian dan media sosial ini. Di sini saya kemukakan beberapa kesalahan yang pernah saya lakukan dahulu untuk anda pelajari.

Tidak mempunyai mesej yang fokus. Ramai di antara anda yang tidak sedar yang anda sebenarnya tidak mempunyai segmen pelanggan. Anda beranggapan yang semua orang di luar sana adalah berpotensi menjadi pelanggan anda. Ini satu persepsi yang salah.

Atas sebab itu, anda tidak mempunyai mesej yang tersendiri di dalam pemasaran anda. Anda banyak meniru orang lain. Tetapi, sekiranya anda betul-betul da­­pat sasarkan siapakah potensi pelanggan anda sebenarnya, ma­­ka dengan sendirinya anda mampu untuk menyediakan mesej yang sesuai khas untuk mereka. Dan anda akan kagum bagaimana dengan sendirinya mereka akan tertarik dengan mesej yang anda sampaikan dan akhirnya membuatkan mereka terdetik untuk membeli.

Tidak mempunyai strategi pemasaran yang menyeluruh. Strategi pemasaran yang baik ialah ia dapat membuatkan jenama anda itu diminati ramai, menjadi idaman ramai, menjadi ikutan ramai, dipercayai ramai, dibeli dan sentiasa dibeli dan tidak lapuk dimakan zaman. Untuk mencapai objektif-objektif ini, strategi yang menyeluruh perlu dibuat dan dikembangkan.

Strategi ini harus disediakan sebelum pemasaran dalam talian anda bermula, ketika ia dijalankan dan berterusan. Ia tidak semestinya statik. Strategi pemasaran dalam talian yang baik akan sentiasa berubah-ubah mengikut kesesuaian daripada semua aspek.

Enggan keluarkan pelaburan. Pelaburan untuk pemasaran dalam talian ini adalah satu pelaburan yang tidak sia-sia. Namun, tidak ramai yang menyedarinya. Menyuruh rakan-rakan untuk Like dan Share setiap post anda, membina laman web secara DIY, domain perniagaan yang percuma dan masih menggunakan Gmail , Yahoo atau Hotmail sebagai email perniagaan anda, dan sebagainya adalah perkara-perkara yang tidak patut dilakukan. Ia akan memperlihatkan kepada pasaran bagaimana ‘murahnya’ jenama anda. Duit untuk perniagaan sendiri pun tak nak keluar.

Tidak membuat penjenamaan yang sesuai. Nama perniagaan anda yang tidak sesuai dengan produk atau perkhidmatan yang disediakan, logo yang tidak mudah untuk diingati, reka bentuk logo dan perkataan yang tidak mempunyai resolusi yang tingg, kombinasi warna korporat anda yang tidak sesuai, alamat rumah yang digunakan sebagai alamat perniagaan dan pelbagai kesalahan yang remeh yang tidak sepatutnya dilakukan oleh anda. Terdapat berjuta-juta jenama di luar sana, jadi bagaimana anda ingin jenama anda diingati?

Iklan berbayar yang tidak penting. Tahukah anda bahawa anda mampu untuk mendapatkan perhatian sebanyak 10 hingga 12 juta orang dalam masa hanya 2 hingga 3 bulan dengan hanya membayar sedikit pengiklanan di media sosial?

Bayangkan apa yang 10 juta orang ini mampu lakukan pada perniagaan anda sekiranya 0.5 peratus daripada mereka bertindak dan membeli produk anda. Dan cuba pula bayangkan sekiranya anda memilih haluan per­­cuma, hanya mengharapkan rakan-rakan anda untuk Like dan Share, dan 0.5 peratus daripadanya membeli daripada anda. Berapa kerat sangat yang akan membeli. Maka, pilihan manakah yang anda lebih suka?

Membuat semua sendirian. Fikir sejenak dan renungkan. Anda ada ijazah, latar belakang akademik dan kecenderungan perniagaan atau minat yang tidak langsung melibatkan media sosial ataupun pemasaran dalam talian.

Jadi, tidak perlulah untuk menjadi superhero dan cuba melakukan kesemuanya sendiri. Sudah tiba masanya untuk anda fokuskan kepada perkara yang anda tahu dan tinggalkan yang anda tidak tahu. Dapatkan khidmat nasihat daripada pakar yang anda kenali. Anda pasti teruja dengan hasilnya nanti.

Tidak buat kajian tentang para pesaing. Anda perlu membuat kajian tentang para pesaing anda. Lihat bagaimana laman web mereka, cara mereka wujudkan media sosial mereka, kendungan mereka, cara mereka berinteraksi dengan para pelanggan, penjenamaan dan logo mereka, bagaimana mereka bergerak secara dalam talian dan sebagainya. Catatkan kesemuanya. Kemudian, bandingkan dengan strategi anda.

Tidak tahu apa itu Analytics. Analytics merupakan laporan-laporan mengenai perkembangan laman web, blog ataupun media sosial anda. Terdapat beberapa jenis alat atau tools yang percuma dan berbayar yang anda boleh gunakan.

Dengan adanya tool seperti ini, anda akan melihat sendiri bagaimana aliran trafik yang masuk, berapakah pengikut anda, latar belakang mereka, apakah yang mereka suka dan tidak suka, mengenal pasti post status yang bagaimana yang menarik minat para pembaca, jam berapa yang sepatutnya anda mengemaskinikan status dan pelbagai laporan lagi yang menarik.