Pemasaran: Generasi Baharu Bencikan Iklan, Mereka Mahukan Ini!

Oleh Azleen Abdul Rahim

Generasi Y atau dikenali sebagai millennial ini, terdiri daripada golongan yang dilahirkan di antara tahun 1980 sehingga sekitar 2000. Sekiranya anda di dalam bidang pemasaran digital seperti saya, anda pasti sedar yang golongan millennial ini merupakan pasaran yang amat besar, merangkumi hampir 25 peratus populasi di Malaysia. Saya tidak mempunyai statistik tentang kuasa belanja (spending power) mereka di Malaysia tetapi di Amerika Syarikat ia mencecah AS$200 bilion (RM784.971 bilion) setahun.

Ramai pemasar di luar sana yang masih menggaru kepala kerana amat sukar untuk menarik perhatian golongan millennial ini. Apa yang kita tahu ialah, pemasaran yang biasa tidak akan berkesan kerana golongan ini amat berlainan daripada golongan-golongan lain yang terdahulu seperti generasi X dan Baby Boomers. Jom kita lihat apa yang mereka fikirkan, apakah cara yang terbaik untuk dapatkan perhatian golongan millennial ini dan bagaimanakah untuk menjadikan mereka ini sebagai pelanggan kita?

Bencikan iklan. Kajian yang telah dibuat oleh Elite Daily, sebuah majalah dalam talian yang berpusat di Amerika Syarikat, mendapati tidak sampai satu peratus daripada golongan millennial ini yang percaya dengan iklan. Contohnya, apabila mereka melayari YouTube, mereka akan cuba untuk elak atau sekiranya dapat menekan sesuatu butang untuk skip iklan tersebut, mereka akan lakukan. Apatah lagi dengan iklan-iklan yang terpampang di papan tanda besar di lebuh raya. Langsung tidak dijenguk mereka. Cuba anda lihat bagaimana reaksi mereka apabila mereka menonton televisyen. Apabila keluar sahaja iklan, mata mereka akan terus tertumpu kepada telefon pintar mereka.

Suka membina dan ambil bahagian. Golongan ini suka mengambil bahagian dan akan terus mengambil bahagian. Contoh yang terbaik ialah permainan dalam talian, Clash of Clan. Begitu ramai yang gilakan permainan ini. Jangan kata golongan millennial, golongan ibu bapa millennial itu sendiri pun ada yang gilakan permainan ini. Mereka sukakan permainan ini kerana mereka dapat mengambil bahagian dan membina sesuatu daripada produk asas Clash of Clan itu sendiri. Contoh yang lain misalnya, aplikasi Yelp. Sekiranya anda tidak tahu apa itu Yelp, ia merupakan satu aplikasi mudah alih yang akan membantu anda membuat pilihan tentang kedai-kedai mana yang berhampiran dengan lokasi anda yang patut anda pilih. Para pengguna yang pernah ke kedai itu akan memberikan rating tentang kedai tersebut. Dan kebanyakan yang memberi rating itu terdiri daripada golongan millennial ini.

Pentingkan Komuniti. Golongan millennial amat sukakan jenama-jenama yang mempunyai komuniti mereka tersendiri. Mereka sukakan jenama-jenama yang berinteraksi dengan mereka secara langsung setiap masa. Ini bagi mereka, menunjukkan yang jenama seperti ini memberi perhatian kepada mereka dan menunjukkan minat tentang mesej yang mereka sampaikan. Contoh yang terbaik ialah permainan dalam talian seperti Clash of Clan tadi. Clash of Clan ini sebenarnya mempunyai begitu ramai komuniti di seluruh dunia termasuk Malaysia. Komuniti ini sering berinteraksi antara satu sama lain, ada yang ingin menjual akaun mereka, membeli akaun orang lain, bertukar-tukar pendapat dan sebagainya.

Sukakan jenama yang pentingkan kebajikan. Tidak kira sama ada kebajikan sosial, haiwan ataupun kepada alam sekitar, jenama-jenama yang mengutamakan kebajikan seperti ini akan menarik minat golongan millennial. Mereka bukan sahaja ingin mengambil bahagian dan membantu, malah berkemungkinan besar mereka juga akan membuat pembelian produk dan perkhidmatan daripada jenama-jenama ini. Contoh yang terbaik ialah Body Shop. Semua orang tahu yang jenama Body Shop ini tidak menggunakan haiwan dalam membuat ujikaji produk mereka. Sebab itulah, mereka tidak begitu menggemari jenama-jenama yang terkenal di luar sana, sebaliknya mereka lebih sukakan jenama-jenama yang sederhana seperti Body Shop, yang lebih mesra alam dan selamat.

Kandungan yang unik dan asli. Golongan millennial ini amat sukakan kandungan yang unik, menarik dan asli. Kandungan yang dimaksudkan di sini ialah sama ada yang berbentuk video, gambar, artikel dan juga infografik. Apabila anda menyediakan kandungan yang baik dan kelakar misalnya, mereka akan tertarik dan terus akan menekan butang LIKE dan mungkin juga mereka akan terus kongsikan kandungan anda itu dengan kawan-kawan mereka yang lain. Lebih ramai yang kongsikan atau yang LIKE, lebih dahsyat kandungan anda akan tersebar di Internet.

Millennial juga sukakan kandungan yang mereka dapat memberikan rating kepadanya. Yang penting, jangan meniru daripada orang lain atau cuba untuk membuat salin dan tampal (copy-paste) daripada kandungan kepunyaan orang lain. Penipuan seperti ini akan membuatkan jenama anda tidak lagi dipercayai kerana di Internet, ia amat mudah dikenal pasti sama ada sesuatu kandungan itu adalah asli atau sebaliknya.

Sekiranya jenama anda lebih tertumpu kepada generasi Y atau millennial sebagai sasaran pasaran, kini anda tahu apa yang mereka inginkan daripada anda. Fokuskan strategi pemasaran digital anda terus kepada apa yang mereka inginkan.