Adakah Anda Seorang Tukang Karut Yang Baik?

Oleh Azleen Abdul Rahim

SEKIRANYA ya, tahniah untuk anda. Sekiranya tidak, jangan risau. Saya akan ceritakan bagaimana untuk menjadi ‘tukang karut’ yang hebat. Apa yang penting sangat menjadi seorang tukang karut ini sebenarnya?

Dalam pemasaran digital, ia amat penting kerana hanya dengan menjadi pencerita yang baik sahaja yang akan mampu menarik orang datang kepada kita dan menjadi pelanggan kita. Dengan menjadi pencerita yang baik jugalah yang akan membuatkan kita tidak perlu bersusah payah keluar menjual, malah sebaliknya pembeli yang akan berpusu-pusu datang kepada kita.

Minggu lepas, saya ada berkongsi idea tentang bagaimana untuk mendapatkan jualan insurans dan unit amanah yang lebih baik. Artikel itu saya tujukan khas kepada para penasihat kewangan seperti anda. Dalam artikel tersebut, saya ada menyebut tentang perlu adanya penyediaan blog dan artikel yang menarik. Hari ini saya akan menyambung sedikit cerita minggu lepas. Bagaimana caranya untuk menulis dengan cara yang paling efektif? Jom, kita lihat tip di bawah:

Jadi seorang pencerita yang baik, dan jangan menjual. Saya tahu anda tidak sabar-sabar untuk memberitahu kepada orang lain di luar sana yang anda merupakan seorang penasihat kewangan yang hebat, dan produk kewangan yang anda jual merupakan yang terbaik yang wujud di dunia ini.

Namun, anda tidak sepatutnya menceritakan itu semua. Orang tidak akan suka. Sebaliknya, anda perlu tukar sedikit cara penyampaian artikel itu. Anda ceritakan satu peristiwa contohnya, mungkin kes salah seorang pelanggan anda yang benar-benar berlaku, dan bagaimana dengan bantuan anda, masalah beliau dapat diselesaikan dengan baik. Peristiwa yang para pembaca dapat belajar darinya. Jangan sesekali menjual, sebaliknya tonjolkan cerita.

Gunakan bahasa yang mudah dan ayat yang ringkas. Mula-mula, anda perlu tahu siapakah pembaca anda. Kemudian barulah anda boleh tahu bagaimanakah untuk menggunakan bahasa yang mereka gunakan. Adakah Bahasa Melayu lebih baik, ataupun Bahasa Inggeris yang lebih sesuai?

Ayat santai atau lebih profesional? Ayat-ayat yang digunakan perlulah yang tidak terlalu teknikal, mudah difahami dan ringkas. Yang paling penting sekali ialah, perlu ada jalan cerita yang menarik.

Pilihan tajuk yang sesuai dan senang difahami. Pemilihan tajuk sangat pen­ting. Tanpa tajuk yang hebat dan mengancam, tidak akan ada pembaca yang akan singgah membaca artikel anda walaupun kandungannya baik sekali. Kalau saya, tajuk yang selalu saya gunakan ialah sama ada berbentuk persoalan seperti `Tahukah Anda Bagaimana Cara Menyimpan Wang Yang Paling Efektif? ataupun yang akan bermula dengan nombor seperti ini, `5 Cara Paling Efektif Untuk Menyimpan Wang’.

Cerita yang menyentuh emosi. Kita semua sedia maklum yang manusia pada amnya amat sukakan cerita, terutamanya yang menyentuh emosi dan perasaan. Jadi, artikel anda tadi perlulah mempunyai elemen yang akan bermain dengan emosi para pembaca.

Tanpa elemen ini, artikel anda mungkin menarik tetapi tidak cukup untuk menambat hati pembaca. Cerita yang baik, mesti mempunyai elemen yang akan mewujudkan rasa geram, sedih, gembira, kecewa, marah, tersinggung, suspen dan sebagainya.

Artikel yang pembaca mudah faham. Apakah yang akan berlaku apabila artikel anda mudah difahami? Senang sahaja, para pembaca tadi akan mendapat iktibar daripada cerita anda itu. Apabila ini terjadi, mereka akan menjadi pengikut anda, malah akan menjadi pelanggan anda dan berkemungkinan besar juga akan berkongsi cerita tadi dengan rakan-rakan mereka yang lain.

Jual di footer artikel dan bukannya di kandungan artikel. Setiap artikel yang anda tulis, anda perlu letakkan footer. Cuba lihat mana-mana artikel yang terdapat di mana-mana majalah tidak kira dalam talian ataupun tidak. Anda akan melihat mereka ‘menjual’ profil mereka sama ada di footer ataupun di ruangan profil penulis.

Jika saya dilihat seperti seorang yang boleh dipercayai, pembaca akan melayari laman blog yang saya letakkan di situ. Begitu juga dengan artikel anda, para pembaca yang merasa ingin tahu lebih lanjut mengenai anda dan akan melayari tulisan-tulisan anda yang lain.

Penceritaan yang baik akan mewujudkan kepercayaan. Kepercayaan akan mewujudkan pembelian. Jadi, adakah anda seorang tukang karut yang baik?