Adakah Laman Web Anda Masih Relevan?

Oleh Azleen Abdul Rahim

Satu daripada jenama kopi terkenal dunia, baru-baru ini telah membuat satu pengumuman yang mengejutkan dunia pemasaran global.

Di dalam satu artikel yang diterbitkan oleh The Verge, sebuah majalah dalam talian yang berpusat di New York, Amerika Syarikat, syarikat gergasi itu mengumumkan yang laman web mereka telah ‘mati’ dan mereka tidak lagi berhasrat menggunakannya untuk tujuan pemasaran digital mereka. Sebaliknya mereka akan beralih kepada penggunaan laman blog Tumblr.

Di dalam artikel tersebut, Ketua Pegawai Pemasaran syarikat tersebut telah menyatakan bahawa laman web mereka sudah tidak lagi berfungsi mengikut kehendak pasaran. Mereka membuat keputusan untuk beralih kepada Tumblr kerana dua kelemahan utama yang wujud pada laman web:

Ia hanya berfungsi sebagai alat pemberitahuan sehala, yang tidak dapat berinteraksi dua hala seperti media sosial. Penggemar kopi mereka yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda, tidak akan tertarik.

Ia menggambarkan satu jenama yang tidak hidup dan bukan manusia. Jenama ialah sesuatu yang tidak hidup dan tidak mempunyai mata, hidung dan paras rupa. Apabila sesuatu benda itu tidak mempunyai paras rupa, ia tidak dapat berinteraksi dan bersosial dengan baik dengan manusia yang lain.

Apabila jenama hanyalah merupakan satu jenama, ia tidak mampu untuk mewujudkan rasa percaya para pembeli. Ini kerana manusia akan mempercayai sesuatu daripada manusia yang lain, dan bukannya daripada objek yang tidak hidup seperti jenama. Contohnya, apabila anda melihat iklan telefon pintar daripada sesuatu jenama, anda hanya akan membeli jenama telefon pintar tersebut apabila anda mendapati yang kawan rapat anda ataupun teman lelaki anda telah pun menggunakan telefon pintar daripada jenama tersebut dan mengesyorkan kepada anda untuk membelinya.

Mereka merupakan orang yang anda percaya, jadi tanpa cerita yang panjang lebar, anda terus ke kedai dan membeli telefon pintar daripada jenama tersebut. Betul?

Selain itu, mereka juga berpendapat apabila jenama hanyalah satu jenama, strategi kandungan digital seperti penyediaan dan penyebaran video, gambar, peraduan dan pelbagai status menarik yang lain secara berterusan untuk para peminat mereka di media sosial sudah tidak efektif lagi. Dengan peralihan strategi pemasaran digital kepada Tumblr, tumpuan yang lebih baik akan diberikan kepada para pengikut dan peminat. Mereka akan diberi lebih kelebihan untuk menentukan apa yang mereka ingin kongsikan dalam laman blog yang disediakan ini. Dengan cara ini, secara tidak langsung, mereka digalakkan untuk mewujud, menyedia dan menyebarkan gambar, video dan pelbagai kandungan digital lain kepada rakan-rakan penggemar kopi yang mereka kenali. Selepas itu, mereka digalakkan untuk berinteraksi daripada setiap status yang dipaparkan. Jom kita lihat contoh ini. Cuba bayangkan yang anda peminat Nescafé contohnya. Anda bangun di suatu pagi yang ceria di hujung minggu, dan sediakan sarapan yang enak bersama-sama secawan Nescafé di sebelah anda. Kemudiannya anda ber-selfie dan meletakkan gambar tadi sebagai status terbaharu Instagram anda, dengan satu hashtag Nescafé. Dengan hashtag seperti #Nescafe di laman Instagram anda, pasukan pemasaran digital di syarikat tersebut akan mendapat satu notifikasi. Mereka akan segera ‘datang’ melawat ke laman Instagram anda itu dan sekiranya status anda itu menarik, empat perkara penting akan berlaku:

Mereka akan LIKE atau memberikan komen tentang status anda. Ini membuatkan berjuta-juta pengikut mereka yang lain turut melihat gambar anda tadi. Akan ada di antara mereka yang akan kongsikan pula gambar itu dengan rakan-rakan mereka. Viral akan terjadi.

Mereka akan memuat naik gambar anda tadi dan meletakkannya di laman blog Tumblr mereka. Sekali lagi, ramai pengikut mereka di Tumblr akan memberikan komen mereka ataupun akan menekan butang LIKE. Sekali lagi, ia akan menjadi viral di Tumblr.

Mereka akan kongsikan gambar yang dimuat naik ke Tumblr Nescafé itu tadi ke rangkaian media sosial mereka yang lain seperti di Facebook, Twitter, Pinterest, Google dan sebagainya. Ini akan menarik lagi trafik Internet dari serata dunia ke laman blog Tumblr mereka tadi dan seterusnya ke laman Instagram anda.

Mereka akan mengulangi langkah-langkah di atas dan terus berkongsi apa sahaja gambar dan video atau apa sahaja kandungan digital yang anda telah sediakan, kepada semua peminat-peminat Nescafé yang menjadi pengikut mereka di Tumblr dan rangkaian-rangkaian media sosial yang lain.

Kini, mereka tidak perlu lagi bertungkus-lumus menyediakan kandungan-kandungan digital untuk disebarkan kerana anda telahpun membantu mereka dengan rela hati. Jadi, persoalan hari ni ialah, adakah strategi pemasaran digital anda masih lagi relevan untuk tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang?