Blog: Cara Terbaik Untuk Hidupkan Kembali Laman Web Anda

Oleh Azleen Abdul Rahim

Beberapa tahun kebelakangan ini, dunia pemasaran digital amat jauh sekali berubah. Di beberapa negara ASEAN yang progresif seperti Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam, perbezaan yang ketara dapat dilihat bagaimana syarikat-syarikat besar dan juga industri kecil dan sederhana (IKS) mula menggunakan pemasaran digital dengan begitu agresif sekali untuk mendapatkan pendedahan kepada jenama mereka. Mereka sedar tanpa penggunaan pemasaran digital dan kandungan digital yang efektif,jenama mereka akan jauh tenggelam berbanding pesaing. Apabila tenggelamnya jenama mereka dan naiknya persaingan, maka dengan sendirinya perniagaan mereka juga akan turut merudum jatuh. Mereka mahukan jadikan negara mereka sebagai pilihan tumpuan para pelabur dari luar.

Berbeza sekali di Malaysia, saya melihat kebanyakan syarikat IKS tempatan masih berada di takuk lama. Malah, laman web syarikat anda sendiri pun masih lagi tertera tahun 2011 di dalamnya. Bukan sahaja lama tidak dikemaskini, ia juga masih lagi berada di awang-awangan, tidak mesra dengan dunia mudah alih dan tidak mempunyai informasi yang membantu para pengunjung. Kesimpulannya ia tidak bermaya dan statik. Pemasaran anda masih lagi didorongi kaedah pemasaran tradisional yang mempunyai manfaat terhad. Strategi yang ada hanya tertumpu kepada generasi X dan sebelumnya, yang masih lagi melihat papan tanda iklan di tepi lebuh raya dan televisyen. Anda tidak mempunyai strategi yang menyasarkan pengenalan produk kepada generasi Y dan millenial yang lebih menggunakan telefon pintar, Internet dan media sosial sebagai cara hidup.

Salah satu cara pemasaran tradisional yang syarikat anda gunakan ialah mengedarkan kad bisnes, yang biasanya dilakukan oleh pasukan jualan dan pihak pengurusan kepada rakan niaga dan prospek temui. Ia terbukti berkesan kerana kad bisnes anda akan dibelek oleh si penerima. Namun anda lupa, apabila si penerima itu tadi pulang ke pejabat, pertama sekali yang akan dia lakukan ialah terus ke hadapan komputer dan meluru ke laman web anda. Atau, mereka terus sahaja melayari laman web anda itu tadi di situ juga melalui telefon pintar. Apabila ini berlaku, laman web anda mempunyai 15 saat sahaja untuk menarik perhatian mereka. Dengan gambaran pertama yang amat singkat ini, ia akan menentukan sama ada mereka akan terus melayari laman web anda, ataupun meninggalkannya. Laman web yang baik mampu memastikan prospek yang datang berkunjung akan tertarik dengan syarikat anda, akan berterusan tertarik dan akhirnya mereka terdetik untuk membuat pembelian apabila tiba masanya.

Walaupun laman web syarikat sememangnya dilahirkan sebagai sesuatu yang membosankan, namun anda boleh mengubahnya. Tiada siapa yang akan berminat dengan visi dan misi, carta organisasi, bila dan kenapa syarikat anda ditubuhkan, anugerah-anugerah yang syarikat anda telah menang dan projek-projek yang telah diperolehi. Para pengunjung tidak tertarik dengan informasi sebegini kerana ia tidak penting kepada mereka. Apabila tiada apa yang dapat mereka pelajari daripadanya, mereka akan terus meninggalkannya dan tidak akan datang lagi. Tumpuan mereka akan ke laman-laman web yang lebih menarik, yang mereka dapat pelajari sesuatu untuk dimanfaatkan. Laman web yang menarik akan mempunyai blog di dalamnya untuk objektif ini.

Tiga sebab penting kenapa anda menggunakan blog untuk berkongsi informasi, berita, tip dan taktik yang berguna kepada pengunjung untuk menarik mereka datang, tinggal lebih lama dan akhirnya membeli produk anda:

Syarikat anda akan dijumpai di enjin pencarian atau search engine seperti Google, Yahoo dan Bing. Apabila anda selalu dan konsisten memuat naik artikel-artikel terbaharu setiap masa, enjin pencarian akan datang dan menyenaraikan ayat-ayat yang ada di senarai indeks mereka. Semakin banyak artikel, semakin banyak perkataan dan ayat yang akan diindeks. Senarai ini akan dikeluarkan sekiranya ada pencarian dilakukan tentangnya atau yang hampir dengannya.

Ia sebagai media penyiaran dan perantaraan anda. Anda mempunyai media anda sendiri sebagai perantara langsung di antara anda dan para pengunjung serta pasaran.

Ia akan memberikan impak persepsi pasaran yang positif tentang syarikat anda. Artikel-artikel yang ditulis akan membantu para pengunjung dan pasaran untuk mereka manfaatkan. Semakin berkualiti artikel yang anda sediakan, semakin ramai dan semakin setia mereka kepada anda. Secara tidak langsung, anda akan dilihat sebagai syarikat yang progresif, tidak kedekut ilmu, tidak terlalu menjual produk, jujur dan dinamik. Persepsi yang positif ini akan memberikan impak penting kepada mereka untuk secara tidak langsung mencuba produk anda tanpa perlu terlalu menjual.