Cara Tingkatkan Jualan Unit Amanah Atau Insurans

Oleh Azleen Abdul Rahim

Artikel ini saya tujukan khas kepada para penasihat kewangan di luar sana. Bayangkan seorang pelanggan ingin membeli satu polisi insurans atau unit ama­nah, jenama yang manakah patut pilih?

Kalau saya, ia agak sukar kerana semuanya hampir sama. Oleh itu, saya pasti akan tolak pemilih­an jenama ke tepi sekejap, sebaliknya memilih penasihat kewangan dahulu. Saya akan memilih seseorang yang saya percaya, yang bertauliah, berkebolehan dan tahu tentang selok-belok industri ini dengan baik.

Jadi, kalau anda merupakan seorang daripada lima orang penasihat kewangan yang datang kepada saya dengan cadangan masing-masing, apakah yang anda akan lakukan untuk mendapatkan kepercayaan saya dan seterusnya mampu meyakinkan saya untuk memilih anda sebagai penasihat kewangan saya?

“Kenapa saya perlu memi­lih anda?” Hanya dengan jawapan daripada persoalan ini, seorang penasihat kewangan itu mampu untuk mendapatkan para pelanggan dengan lebih baik dan cepat. Ini kerana anda mampu bezakan dengan orang lain dengan nilai yang anda ada.

Namun sayangnya tidak ramai yang mampu menjawabnya. Jadi dengan penjenamaan individu (personal branding) anda mampu berbuat demikian.

Berdasarkan statistik IDC, 75 peratus bakal pelanggan akan menggunakan Internet, khususnya media sosial untuk membuat sedikit kerja rumah sebelum mereka membeli sesuatu produk atau memilih sesuatu perkhidmatan. Daripada peratusan itu, 74 peratus akan memilih pengeluar produk atau perkhidmatan yang menyediakan petua dan nasihat yang berguna melalui artikel.

Sesiapa pun tidak suka dikacau untuk dijual sesuatu ba­ra­n­­g­an tetapi mereka suka dibantu dalam membuat pilihan yang bersesuaian tanpa ci­ri-ciri dipaksa. Dengan penjenamaan individu ini, ia seolah-olah anda membuat penjualan tanpa menjual. Sebaliknya anda bercerita.

Ini caranya bagaimana membina penjenamaan anda sendiri.

Sediakan satu blog yang mempunyai nama anda. Blog ini akan menjadi rujukan utama perihal anda secara profesional. Di sini bermulanya perjalanan anda membina kredibiliti anda di mata bakal pelanggan di luar sana.

About Me ataupun Latar Belakang Saya. Di blog anda itu, anda perlu sediakan satu segmen yang menceritakan secara ringkas mengenai latar belakang dan pengalaman profesional anda. Gambar dan moto yang konsisten dan profesional, yang bersesuaian dan mampu bertahan lama. Anda perlu juga masukkan maklumat bagaimana untuk menghubungi anda dengan mudah, dan alamat emel anda (yang bukan Gmail, Yahoo atau Hotmail). Emel anda perlu yang berkredibiliti, bukan yang percuma.

Tulis artikel-artikel yang menjurus kepada industri dan kepakaran anda. Di blog tadi, anda perlu menulis. Fokuskan tulisan anda tentang kepada industri dan kepakaran anda dan jangan menulis tentang perkara lain. Di sini anda akan mula membina jenama anda sendiri sebagai seorang thought-leader dalam industri anda.

Tulisan anda perlulah daripada hati. Ia perlu membantu para pembaca dengan ikhlas. Segala aspek cerita itu perlu senang difahami, ayat yang mudah dan praktikal. Para pembaca akan lebih senang menerimanya dan teruja menanti artikel-artikel anda yang akan datang.

Sediakan Facebook Page yang mempunyai nama anda. Facebook Page adalah perlu untuk menghebahkan artikel-artikel anda di blog tadi. Anda perlu canangkannya untuk dikenali. Di Facebook, anda akan membina komuniti anda dari golong­an kasual seperti rakan-rakan dan saudara-mara. Kemudian, kongsikan artikel-artikel tadi setiap hari, 4 kali sehari.

Bina profil anda di LinkedIn. LinkedIn mampu menyediakan komuniti yang lebih profesional berbanding Facebook. Jadi anda juga perlukan me­lebarkan sayap kepada golongan profesional ini dan galakkan mereka berada di dalam komuniti anda.

Tulis artikel-artikel anda di LinkedIn. Di samping blog anda tadi, anda perlu juga membuat salinan di LinkedIn. Maksud salinan di sini ialah, anda perlu menulis artikel yang sama yang ada di blog tadi, di LinkedIn anda.

Bina komuniti anda di Facebook Page dan LinkedIn. Komuniti ialah status seseorang sebelum mereka bergelar pembeli. Tidak akan ada pembeli yang terus membeli sebelum mereka bergelar peminat. Dan minat datangnya dari kepercayaan. Mereka percaya dengan anda dan apa yang anda tulis. Mereka yakin dengan anda. Jadi bina sebesar mungkin komuniti anda.

Iklankan artikel anda di Facebook Page dan LinkedIn. Dengan membayar iklan secara dalam talian di media sosial, artikel anda akan dapat dibaca oleh orang yang di luar komuniti yang sedia ada. 

Komuniti anda akan lebih besar dan potensi mendapatkan pembeli menjadi lebih tinggi.