Di Mana Komuniti Anda?

Oleh Azleen Abdul Rahim

Saya ingin mulakan dengan satu soalan yang cukup mudah – Apakah objektif pemasaran anda?

Sudah semestinya saya ingin menjual lebih banyak produk dan perkhidmatan kepada para pelanggan. Lagi banyak dan hari-hari, lagi bagus. Saya pasti, ini adalah jawapan anda, betul? Anda sebenarnya tidak keseorangan. Saya juga akan memberikan jawapan yang sama. Ini kerana itulah objektif yang sebenar untuk setiap aktiviti-aktiviti pemasaran yang anda lakukan. Ramai yang berpendapat bahawa dengan pemasaran yang kreatif, agresif dan berterusan, ia akan dapat menarik perhatian dan minat para pelanggan untuk mencuba dan membeli produk dan perkhidmatan anda. Ya, mungkin ada betulnya, tetapi hanya kepada sesetengah jenis pelanggan sahaja, terutama pelanggan baru.

Golongan ini akan tertarik berdasarkan jangkaan mereka tentang jenama anda, dan bukannya berdasarkan pengalaman mereka. Namun sedarkah anda yang para pelanggan yang sedia ada kini mungkin sudah tepu, bosan dan tidak lagi tertarik dengan jenama anda dan sedang mengintai beberapa jenama saingan anda yang lain di luar sana yang lebih murah, mempunyai kualiti yang lebih bagus dan ciri-ciri yang jauh lebih hebat dari produk yang sedia ada yang mereka gunakan sekarang. Apabila cukup masa dan wang sahaja, mereka akan terus menukar tanpa membuang masa lagi. “Kini bukan lagi masa untuk setia,” kata mereka.

Inilah senario pemasaran dan penjenamaan yang pemasar hadapi sekarang. Para pelanggan kini sudah tidak ada lagi unsur kesetiaan kepada sesuatu jenama. Keinginan pasaran kini semakin kompleks dan pelik.

Mereka inginkan sesuatu produk dan perkhidmatan yang bagi mereka berpatutan dengan wang yang dibayar, selari dengan gaya hidup mereka dan berasa bangga dengan produk tersebut. Kenapa saya tahu ini semua? Kerana saya juga seorang daripada mereka, seperti anda juga. Yang peliknya, bagaimana pula jenama Apple contohnya, mampu untuk mengatasi situasi ketidaksetiaan ini, dan dengan senang-senang sahaja mampu mendapatkan para pelanggan dengan cara yang berterusan walaupun dengan harga yang amat tinggi?

Apple merupakan contoh yang amat sesuai dalam perbincangan ini. Ini caranya bagaimana Apple mampu memastikan yang saya, keluarga saya dan berjuta-juta pelanggan mereka yang lain untuk terus menggunakan jenama mereka dan tidak akan bertukar dengan jenama lain walaupun harga produk mereka tidak masuk akal.

Apple memang terkenal dengan taktik pemasaran dalam talian yang hebat. Mereka amat bijak mengatur langkah bagaimana untuk menarik orang yang tidak pernah dengar atau tidak pernah mahu mengenali iPhone, iPad dan Mac kepada kenal dan mahu mengenalinya.

Mereka memastikan yang mesej pemasaran mereka amat mudah difahami. Mesej yang amat, amat mudah difahami ini begitu penting bagi menarik golongan yang tidak pernah dengar tentang kehebatan iPhone ini atau tidak mahu mengambil tahu tentang telefon pintar mereka ini, untuk mengambil tahu. Proses ini amat sukar dan mengambil masa. Apabila golongan ini mula menunjukkan reaksi dan mula untuk berkunjung ke laman web dan blog-blog mereka, di sini ‘kemenangan’ hampir dirasai.

Status pengunjung itu tadi, amat mudah untuk dinaik taraf menjadi peminat setelah mereka berkunjung ke laman web dan blog-blog Apple. Terdapat beberapa ciri yang telah diterapkan di laman-laman tersebut yang akan membuatkan mereka untuk mula menunjukkan minat di sana.

Daripada jarang-jarang sekali, mereka mula berkunjung sebulan sekali, seminggu sekali, dan seterusnya mula mengisi borang untuk menjadi pelanggan kepada newsletter laman-laman tersebut dan juga beratus-ratus blog lain yang mereka naungi.

Secara rasminya, status para pengunjung itu tadi telah pun bertukar kepada peminat. Peminat yang melanggani newsletter ini akan menerima e-mel dari Apple hampir setiap minggu. Berita-berita terkini tentang Apple akan terpampang di hadapan mata peminat-peminat ini secara berterusan.

Apabila telah ‘dicuci’ pemikiran mereka dengan sebersih-bersihnya setiap minggu, sudah pasti mereka akan menjadi pelanggan dengan membeli barangan Apple satu hari nanti. Kalau tidak hari ini, mungkin esok, bulan hadapan ataupun mungkin juga tahun hadapan. Yang pasti mereka akan membeli barangan Apple satu hari nanti. Tak percaya? Tengoklah nanti.

Produk yang hebat dan mudah difahami juga memainkan peranan yang penting. Ditambah pula dengan strategi pemasaran yang berperingkat itu tadi, Apple telah membina satu komuniti global yang amat kuat dan besar.

Komuniti inilah yang akan terus menyokong Apple untuk terus kekal menjadi jenama paling bernilai di dunia. Walau betapa mahal pun produk-produk Apple ini, komuniti mereka akan tetap setia dengan mereka.

Seperti Apple, anda juga perlu membina komuniti anda untuk terus kekal relevan.