Membina Pasukan Pemasaran Digital Anda Sendiri

Oleh Azleen Abdul Rahim

PASUKAN pemasaran digital kini dilihat sebagai satu keperluan, terutamanya syarikat-syarikat industri kecil dan sederhana (IKS). Mereka melihat pemasaran digital sebagai salah satu senjata penting untuk bersaing dengan syarikat-syarikat besar.

Untuk bersaing, kita tidak semestinya mempunyai satu pasukan pemasaran digital yang ramai, tetapi hebat. Tujuannya adalah dua. Pertama, kita perlu memberitahu kepada orang ramai di luar sana yang jenama kita adalah salah satu jenama yang terbaik dalam industri, dan yang kedua, kita perlu jadikan mereka ini sebagai pelanggan kita dan membeli produk ataupun perkhidmatan yang kita sediakan.

Pasukan pemasaran digital perlu dibina mengikut individu-individu yang mempunyai kepakaran tertentu. Seperti membina satu pasukan bola sepak, kita perlu mendapatkan individu yang terbaik yang boleh menjadi seorang penyerang yang menyengat, pemain tengah yang mampu berfikir dengan baik dan sentiasa mencari peluang, pemain sayap kiri dan kanan yang efektif, pemain pertahanan yang bijak membaca serangan lawan dan akhir sekali, penjaga gol yang cekap.

Di samping itu, mereka ini perlu bekerja dalam satu pasukan yang sentiasa memahami antara satu sama lain. Bekerja sebagai satu unit untuk mencapai objektif yang sama – kemenangan.

Jadi, bagaimana untuk membina satu pasukan pemasaran digital yang hebat? Mari kita lihat senarai di bawah, individu-individu yang bagaimana yang perlu anda dapatkan.

Ketua yang berwawasanAda sesetengah syarikat menggelarkannya sebagai Ketua Pegawai Pemasaran, ada juga yang sekadar memanggilnya Pengurus Pemasaran. Namun sebagai seorang ketua, dia merupakan seorang pemimpin yang perlu berfikiran jauh. Di samping itu, dia perlu mempunyai tiga kriteria penting.

Pertama, dia mesti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang apa yang berlaku di sekelilingnya iaitu perkembangan-perkembangan terkini tentang apa sahaja yang berkaitan dengan syarikat, persaingan, pasaran, teknik-teknik pemasaran digital, ekonomi dan sebagainya.

Kedua, dia perlu mahir tentang selok-belok penjenamaan, kandungan atau content, media sosial dan sebagainya. Ketiga dan akhir sekali, dia perlu bijak untuk menghubung kaitkan kedua-dua senario dan kepakarannya tadi untuk menghasilkan satu strategi pemasaran digital yang ganas. Strategi dan hala tuju pemasaran digital syarikat kita akan bermula dengan beliau.

Pakar kandunganContent genius atau pakar kandungan ini adalah seorang yang strategis. Dia merupakan seorang yang dapat melihat di sebalik sesuatu, dan kemudiannya melakarkan dalam bentuk kandungan iaitu dalam bentuk penulisan artikel, poster, info grafik, video dan juga gambar. Jadi, dia juga perlu mahir tentang penggunaan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa yang ingin digunakan agar mesej yang ingin disampaikan itu akan dapat dihasilkan dengan baik dan tidak mengelirukan.

Pakar rekabentuk grafikSebagai seorang designer atau pakar rekabentuk, dia perlu mahir untuk menggunakan perisian-perisian yang ada di pasaran untuk bab mengubah suai. Sama ada gambar, video ataupun info grafik misalnya, dia perlu tahu bagaimana untuk meletakkan mesej tertentu yang ingin disampaikan kepada orang ramai di atas gambar atau video itu tadi agar lebih efektif.

Dengan mesej yang tepat yang disokong oleh gambar atau video yang baik, akan membuatkan orang ramai menjadi lebih tertarik untuk mencuba atau terus membeli produk dan perkhidmatan kita.

Pakar media sosialKita juga memerlukan seorang yang mempunyai kepakaran tentang selok-belok Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, Periscope dan beberapa media sosial yang lain.

Kita perlu mahir dalam penggunaan ini semua agar apa sahaja perkembangan terkini yang berlaku di syarikat kita, apa sahaja promosi yang bakal kita jalankan dan apa sahaja kempen-kempen jualan yang bakal kita buat akan dapat diberitahu secara langsung dengan orang ramai. Di samping itu, dia juga perlu mahir untuk menyediakan laporan-laporan terkini tentang setiap perkembangan yang berlaku dalam setiap media sosial. Senarai pengunjung yang datang berkunjung, setiap klik yang dibuat, dari mana mereka datang, apa minat mereka dan sebagainya.

Pakar laman webKita juga mesti mempunyai seorang yang mahir tentang laman web, untuk kita bina dan selenggara laman web kita sendiri. Segala perubahan, pertukaran dan pertambahan kandungan atau reka bentuk akan dapat dilakukan dengan cepat dan sistematik serta murah.

Rugi sekiranya kita mempunyai seorang individu mempunyai hanya satu kepakaran sahaja. Di luar sana, terdapat ramai yang mempunyai dua atau tiga kepakaran, jadi dengan pasukan pemasaran digital kita boleh digerakkan dengan hanya dua atau tiga orang sahaja.