Pemasaran Digital: 11 Aplikasi Yang Anda Mesti Guna

Oleh Azleen Abdul Rahim

KINI, begitu banyak aplikasi yang boleh digunakan untuk menyempurnakan strategi pemasaran digital kita. Di sini saya senaraikan beberapa aplikasi yang saya gunakan setiap masa, untuk memudahkan tugasan harian membantu pelanggan mengendalikan akaun media sosial yang agak banyak ini.

FlipboardMelalui aplikasi ini, segala rss feed daripada 53 laman-laman web yang saya ikuti dan jadikan sebagai sumber informasi dapat dikumpul dan disusun semula dengan lebih sistematik. Sekiranya terdapat berita atau informasi terkini yang dikemas-kini di mana-mana laman web ini, Flipboard juga akan mendapat pengemaskinian yang sama secara automatik. Flipboard adalah aplikasi percuma.

Google AnalyticsIa membantu saya melihat laporan-laporan mengenai prestasi laman-laman web yang dipantau, dan bagaimana penerimaan dan tahap interaksi yang diberikan oleh pelawat. Aplikasi yang hebat ini pun percuma juga.

Google Search ConsoleIa dikenali sebagai Google Webmaster Tool sebelum ini. Fungsinya masih sama, iaitu membantu menganalisa setiap kata kunci yang digunakan dan mengenal pasti serta membaiki muka surat-muka surat laman web yang mempunyai error 404. Penggunaan ini agak teknikal sedikit, jadi anda perlukan seseorang yang berpengetahuan untuk menggunakan aplikasi ini.

Google AdWordsUntuk membantu strategi SEO saya, penggunaan Google AdWords sememangnya begitu penting. Dengan aplikasi ini, begitu mudah sekali untuk mengenal pasti beberapa kata kunci yang baharu dan sesuai untuk digunakan. Saya juga menggunakan aplikasi ini untuk membuat bajet untuk setiap kempen cost-per-click saya. Untuk menggunakan aplikasi ini, anda perlu membuka akaun dan pembukaan akaun adalah percuma.

HootsuiteOleh kerana saya mengendalikan beberapa belas akaun media sosial pelanggan, untuk membuat pengemaskinian ke dalam setiap satu akaun tersebut setiap masa adalah kerja yang amat remeh dan leceh. Dengan Hootsuite, kerja mengemaskinikan, penjadualan setiap status media sosial terkini menjadi teramat mudah dan cepat, dan yang paling penting sekali ia mempunyai laporan-laporan yang mendalam dan tepat yang saya boleh analisa untuk perbaiki setiap kelemahan yang wujud. Para pelanggan juga boleh melihat sendiri bagaimana prestasi setiap promosi yang dilakukan di media sosial melalui laporan-laporan ini.

MailChimp. Ia merupakan satu sistem pengurusan email yang tidak boleh tidak, mesti saya gunakan setiap masa. Aplikasi ini digunakan bagi setiap Newsletter yang saya keluarkan setiap minggu yang dihantar terus ke alamat-alamat email mereka tanpa gagal.

Dropbox. Aplikasi ini memudahkan saya membuat back-up setiap dokumen saya. Sekiranya terdapat dokumen yang pelanggan saya perlukan yang bersaiz besar yang tidak boleh menggunakan email untuk menghantarnya, saya menggunakan Dropbox untuk saya kongsikan dokumen tersebut tanpa perlu menghantar email.

MentionOrang bercakap tentang saya di Internet. Orang bercakap tentang industri saya di Internet. Orang bercakap tentang syarikat saya di Internet. Orang juga asyik bercakap tentang pesaing saya di Internet. Dengan aplikasi Mention ini, saya boleh membuat pemantauan sosial di Internet tentang apa yang pasaran sedang katakan. Tidak kira sama ada di media sosial atau di mana-mana sahaja di Internet, dengan aplikasi ini, pemantauan menjadi mudah dan keputusan dapat dibuat dengan baik dan tepat berdasarkan pemantauan senyap setiap maklum balas yang mereka berikan.

PiktochartTidak ramai yang tahu bagaimana senangnya membina infografik. Aplikasi yang sesuai untuk ini ialah Piktochart yang mampu digunakan oleh sesiapa sahaja walaupun yang tidak mempunyai latar belakang teknikal.

CanvaSaya menggunakan Canva sekiranya saya ingin membuat beberapa rekabentuk grafik untuk katalog. Ia amat sesuai kepada pengguna-pengguna yang tidak begitu teknikal seperti saya. Dan yang paling penting sekali, ia percuma.

Gmail. Saya menggunakan email Gmail saya sebagai pusat setempat saya menerima setiap notifikasi daripada mana-mana rangkaian media sosial yang mempunyai interaksi dari para pelanggan atau pelawat saya.

Saya memilih setiap aplikasi ini kerana masing-masing mempunyai kekuatan yang jauh lebih baik berbanding jenama lain yang sewaktu dengannya. Penggunaan aplikasi yang betul untuk menguatkan strategi penjenamaan di Internet, akan memastikan agar objektif dicapai dengan efektif dan cepat.