2016: Pengguna Semakin Berkuasa

Oleh Azleen Abdul Rahim

TAHUN 2016 baru sahaja bermula. Seperti biasa, pemasaran digital sudah tidak lagi menjadi sesuatu pilihan tetapi satu keperluan untuk strategi penjenamaan. Tahun ini, para pengguna kini tiada lagi kompromi kepada mana-mana jenama.

Mereka sanggup untuk me­ngecewakan mana-mana jenama yang kurang prihatin dengan kehendak mereka, malah sanggup juga menggunakan hashtag untuk mengecam secara berkumpulan mana-mana jenama yang bertindak di luar batas-batas tertentu.

Sepanjang tahun 2015 ini, saya ada membuat pemerhatian terhadap tingkah laku para pengguna ini dan bagaimana mereka berubah dengan begitu drastik sekali. Berdasarkan data yang saya kumpul, para pengguna kini semakin bijak dalam membuat pemilihan jenama untuk mereka gunakan.

Mereka tahu apa yang sebenarnya yang tersirat dalam setiap promosi jualan yang mereka lihat di Internet. Mereka juga bijak membuat pengesahan dengan rakan-rakan mereka melalui media sosial dan teks pesanan segera untuk memastikan pilihan mereka itu tepat.

Di antara data-data yang dapat saya kumpulkan ialah:

1. Generasi Y dan Millennial mewakili hampir 35 peratus daripada pasaran yang ada. Internet yang semakin laju menjadikan mereka menjadi semakin teruk dengan sifat individualistik mereka. Internet ini ibarat nyawa mereka yang kedua. Mereka dan peranti mudah alih mereka tidak akan dapat dipisahkan lagi.

Oleh kerana mereka kurang berinteraksi dengan dunia yang sebenar dan lebih kepada dunia dalam talian, mereka menggunakan Internet dengan sepenuh hati untuk membuat apa sahaja termasuklah membeli, menjadi keyboard warrior untuk menghentam atau memuji mana-mana jenama, dan juga berinteraksi dengan rakan-rakan mereka.

2. Pengguna tidak akan berfikir dua kali untuk menukar jenama yang mereka selalu gunakan sekiranya mendapati harga yang ditawarkan sudah tidak lagi sesuai dengan mereka, ataupun beranggapan harga tersebut tidak lagi berbaloi.

Dengan keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi pada tahun ini, mereka sudah tidak lagi setia dengan mana-mana jenama.

3. Para pengguna yang prihatin dengan salah laku atau kebaikan yang dilakukan oleh mana-mana jenama, mereka akan bercakap tentang jenama tersebut di media sosial dan teks pesanan segera. Mereka ingin menjadi hero kepada masyarakat dan menggalakkan para pengguna yang lain untuk sama ada mengelakkan jenama yang tidak bertanggungjawab itu, atau sebaliknya. Malah, penggunaan hashtag juga semakin aktif untuk memastikan ideologi ini disebarkan.

4. Pengiklanan di dalam talian. Secara keseluruhannya para pengguna benci iklan. Apabila mereka melihat sahaja iklan yang cuba dipaparkan di skrin, cepat-cepat mereka akan klik butang yang ada untuk memadamkan iklan tersebut.

Sekiranya laman web tersebut terdapat iklan-iklan yang keterlaluan, mereka tidak lagi akan berminat untuk datang kembali. Malah mereka terus akan memilih mana-mana laman web yang tidak mempunyai iklan, dan memilih jenama tersebut daripada yang sebelumnya.

5. Para pengguna yang memilih sesuatu jenama untuk mereka gunakan, mereka tidak lagi inginkan menjalinkan perhubungan dengan jenama tersebut. Mereka cuma inginkan apa yang dijanjikan itu ditepati dan ingin melihat perkara ini berlaku.

6. Pemasaran digital secara rambang sudah tidak lagi relevan. Tidak seperti pemasaran jenama aiskrim yang mudah, yang tidak perlu disasarkan kepada mana-mana kumpulan peringkat umur tertentu, para pengguna kini ingin melihat ahli pemasaran untuk menjadikan mereka sebagai sasaran pemasaran yang jenama tersebut lakukan. Sekiranya para pengguna tidak melihat diri mereka dalam sasaran tersebut, mereka tidak akan memberi respon dengan membeli.

7. Membeli secara berpuak dan ‘berjuang’ secara berpuak juga. Ini prinsip yang diamalkan oleh para pengguna kini. Contoh yang baik ialah proses pembelian telefon mudah alih. Puak yang menggunakan iOS dengan puak yang bertentangan dengannya iaitu para pengguna Android sering berjuang di antara satu sama lain untuk menegakkan ‘keadilan’ masing-masing.

Para pengguna baharu, yang ingin membeli telefon mudah alih ataupun mana-mana peranti akan melihat dari jauh, puak yang mana yang mereka rasakan sesuai dengan diri mereka. Setelah itu, mereka akan membuat beberapa kajian dan mencari fakta di Internet sebelum membeli. Malah ada juga yang akan membuat pengesahan dengan rakan-rakan dan saudara sama ada pilihan mereka ini tepat ataupun tidak.

2016 adalah tahun yang menarik dan mencabar untuk para jenama dalam strategi pema­saran digital mereka. Namun, saya masih hairan kerana SME di Malaysia masih lagi kurang menggunakannya