5 Perkara Yang Perlu Anda Hadapi Sebagai Penulis Blog

Oleh Azleen Abdul Rahim

Akhirnya, anda akur yang anda perlu menulis untuk menaikkan jenama anda dan syarikat anda. Apabila terlalu banyak pendapat yang anda baca sejak berbulan-bulan lalu tentang kepentingan blog dan bagaimana anda perlu mempunyai dan menulis blog anda sendiri, anda mulai yakin.

Jadi, anda fikir inilah masa yang paling sesuai untuk meluangkan sedikit masa bertemankan secawan kopi di hadapan komputer untuk ini. Anda mula bersemangat untuk menaip. Hidup sebagai seorang penulis blog memerlukan anda menjadi seorang superhero sebenarnya. Ini kerana anda perlu bersedia untuk:

Menerima pendapat yang berlainan. Apabila anda mula menulis dan seterusnya menerbitkannya di blog anda, halaman media sosial anda atau pun di mana-mana penerbitan, orang akan mula membaca cerita anda itu. Apabila mereka selesai membaca apa penulisan anda itu, ada tiga perkara yang akan berlaku.

Pertama, mereka tidak akan melakukan apa-apa. Kedua, mereka akan menyukai dan bersetuju dengan pandangan anda itu lalu mereka menekan butang Like. Ada juga yang akan memberikan komen yang positif. Dan golongan yang terakhir sekali ini yang penting. Akan ada yang tidak bersetuju dan membidas apa yang anda ceritakan itu.

Jadi, anda perlu bertenang dan menerima apa jua pandangan mereka. Anda perlu ingat, setiap pandangan yang diberikan itu kebanyakannya berdasarkan daripada pengalaman masing-masing.

Dengan pengalaman itulah, pandangan akan terhasil. Oleh itu, adalah penting untuk anda tidak mengambil apa yang dikatakan itu secara peribadi. Kawal diri anda daripada membalas secara negatif dan emosional. Kekalkan profesionalisme anda dan anda akan lebih dihormati.

Kekeringan idea. Ini pasti akan berlaku. Ia bukan sahaja berlaku kepada anda, tetapi juga kepada semua penulis-penulis blog yang lain tidak kira sama ada amatur ataupun profesional. Untuk mengurangkan risiko kekeringan idea ini secara berterusan, anda perlu lebih banyak membaca.

Selain pembacaan yang konsisten, anda perlu juga sentiasa membuat pemerhatian tentang apa yang berlaku di persekitaran anda. Kupas setiap apa yang anda baca atau perhatikan itu. Jadikannya satu pengajaran dan catat setiap daripadanya. Buatkan sedikit nota di dalam telefon pintar anda sebelum anda terlupa.

Idea anda telah pun ditulis oleh orang lain. Bukan mudah untuk mendapatkan idea-idea yang bernas dan baik. Sekali apabila idea itu datang, tiba-tiba anda terperasan yang topik itu telah pun ditulis oleh orang lain. Ini juga selalu terjadi dan anda tidak perlu panik.

Apa yang boleh anda lakukan ialah olah kembali topik yang bakal anda tulis itu agar topik itu tidak betul-betul sama dengan apa yang telah ditulis. Walaupun makna ayat anda hampir sama, tetapi pastikan yang ayat anda itu mempunyai sedikit kelainan.

Selepas itu, pastikan juga kandungan cerita anda adalah unik, dan langsung tidak sama. Setiap perkataan dan ayat yang ditulis perlu datang daripada pemikiran, pandangan dan pengalaman anda sendiri. Jangan sesekali cuba untuk meniru.

Apabila anda meniru, bukan sahaja orang akan tahu yang anda meniru malah Google juga akan tahu. Sekiranya Google tahu dan mendapati anda menciplak, berkemungkinan besar blog dan media sosial anda akan disenaraihitamkan. Pembaca juga akan hilang rasa hormat kepada anda dan terus melabel anda sebagai penciplak!

Menulis dalam apa jua keadaan. Anda akan lalui masa-masa yang sukar seperti sakit, demam, sibuk, bercuti, tiada mood, bosan, kecemasan dan sebagainya. Ini merupakan halangan-halangan yang bakal anda tempuhi, namun anda sebagai penulis blog yang ingin berjaya, anda perlu konsisten.

Pembaca akan sentiasa menantikan penulisan blog anda yang seterusnya, jadi apabila anda tiba-tiba berhenti selama sebulan dua contohnya, berkemungkinan besar para pembaca anda sudah tiada minat lagi dengan anda dan jenama anda. Penjenamaan anda juga akan turut terbantut.

Menjadi seorang selebriti sekiranya berjaya. Ramai selebriti yang pada asalnya hanyalah penulis blog. Paul Tan, Hong Kiat dan Hanis Zalikha merupakan contoh-contoh yang baik. Apabila penulisan anda begitu baik sekali, menghiburkan dan menarik minat ramai, tidak mustahil anda akan menjadi selebriti seperti mereka. Oleh itu, bersiap-sedialah untuk menjadi terkenal.