Bagaimana Hendak Kurangkan Bajet Pemasaran Dengan Betul

Oleh Azleen Abdul Rahim

TAHUN 2016 ini adalah tahun yang sangat mencabar. Dengan kejatuhan harga minyak, tukaran mata wang dan kenaikan kadar inflasi langsung tidak membantu negara. Apabila negara dilanda masalah, syarikat-syarikat tidak kira besar atau kecil seperti anda turut akan menerima sedikit tempiasnya.

Bajet pemasaran biasanya akan meningkat setiap tahun. Walaupun pendapatan syarikat anda agak terumbang-ambing, namun pemasaran jarang menerima tekanan tersebut. Pada tahun ini, ia agak berbeza apabila syarikat terpaksa membuat pemotongan. Untuk berbuat demikian, anda perlu berhati-hati agar ia tidak akan memberi kesan dan impak kepada strategi penjenamaan dan pemasaran anda di pasaran seolah-olah seperti tiada apa yang berlaku. Terdapat beberapa cara yang betul untuk melakukannya.

Bahan yang digunakanPenggunaan bahan-bahan untuk setiap pemasaran adalah faktor utama kepada peningkatan kos pemasaran. Contoh bahan yang dimaksudkan ini ialah seperti, kualiti dan ketebalan kertas untuk katalog, penerbitan profil syarikat, saiz papan tanda yang digunakan, kanvas dan penggunaan warna, rekabentuk iklan elektronik dan sebagainya, ini memainkan peranan penting dalam menentukan kos pemasaran anda. Cuba anda alihkan sedikit strategi anda kepada digital dan kekalkan cara pemasaran tradisional anda kepada yang perlu sahaja.

Dengan memberi kelebihan kepada cara digital, anda akan dapat melihat kos bahan-bahan untuk merealisasikan strategi pemasaran akan menurun dengan mendadak. Kebanyakan platform yang disediakan di Internet adalah murah, mudah digunakan dan bakal memberikan impak yang amat positif berbanding cara tradisional.

Kemahiran dalamanTidak banyak syarikat yang memberi tumpuan kepada kemahiran dalaman syarikat. Mempunyai pekerja-pekerja yang kreatif dan mahir dalam pasukan pemasaran anda sendiri akan membantu mengurangkan kos pemasaran dalam jangka masa panjang. Ia akan menjimatkan dan memberikan margin keuntungan yang lebih baik.

Fokus pasaranBanyak syarikat yang membuang masa dan wang ringgit disebabkan tiadanya fokus pasaran. Contohnya, apabila anda mempunyai fokus pasaran seperti wanita profesional di bandar-bandar besar yang bekerja di sektor korporat, anda tidak perlu mempunyai strategi pemasaran yang terlalu besar untuk disasarkan ke seluruh negara. Cukup hanya dengan meletakkan sedikit peruntukan untuk sasaran sebegini.

Cari tempat untuk dapatkan perhatianBanyak jenama juga menggunakan strategi pemasaran dengan meneliti di manakah tempat perhatian berada. Mereka tidak fokus kepada pasaran tertentu tetapi mencari tempat yang wujudnya perhatian. Jenama Oreo contohnya, mereka melihat Facebook sebagai satu tempat yang terdapat berjuta-juta perhatian daripada semua orang tanpa mengira faktor umur. Sasaran perhatian berada di sana dan ia amat sesuai untuk Oreo. Jadi, mereka meletakkan segala fokus yang ada untuk mendapatkan perhatian yang wujud di sana untuk disalurkan ke Facebook Page mereka. Atas sebab itulah, dengan hanya beberapa tahun, mereka mempunyai hampir 42 juta Like.

Cara temu janji. Kebanyakan syarikat menyediakan kemudahan pembayaran semula tuntutan apabila mereka berada di luar syarikat untuk temu janji dengan pelanggan. Dan biasanya akan wujudnya situasi di mana tuntutan ini mempunyai amaun yang tidak munasabah berbanding amaun jualan yang dibawa masuk. Syarikat terpaksa mengeluarkan beribu-ribu ringgit sebulan untuk pembayaran sebegini yang dikira tidak menguntungkan. Kini, terdapat jenama-jenama yang menggunakan taktik jauh lebih murah dan dikira adil.

Mereka sebaliknya menggalakkan para pelanggan yang berminat dengan produk dan perkhidmatan mereka untuk membuat temu janji. Mereka mempunyai laman web yang baik dan lengkap dengan semua maklumat, harga dan sebagainya dan seterusnya apabila terdapat pelawat yang datang ke laman web mereka dan tertarik dengan apa yang dilihat, mereka akan terus mengisi borang yang ada di laman web tersebut untuk meminta syarikat itu datang berjumpa. Dengan cara ini peratusan untuk mendapatkan jualan adalah jauh lebih tinggi.

Pemasaran hanyalah usaha untuk menarik perhatian pasaran tentang jenama kita, buatkan mereka tertarik dengannya dan akhirnya menjadi pelanggan kita untuk selama mungkin. Jadi, anda tidak perlu membuang masa dan wang dengan meniru strategi orang lain. Hanya dengan memilih cara pemasaran yang sesuai, saya pasti kos pemasaran anda akan terkawal dan jauh lebih efektif berbanding orang lain.