Dengan 9 Taktik Dalam Blog Ini, Anda Tidak Akan Gagal Lagi

Oleh Azleen Abdul Rahim

SEMALAM saya berjumpa dengan seorang usahawan muda berasal dari India yang menetap di Kuala Lumpur. Nama beliau Mohandeep Singh. Sebenarnya Deep menemui saya kerana beliau ingin meminta beberapa buah fikiran tentang proses pembuatan kandungan.

Sepanjang tiga jam perbualan yang dise­lang-selikan dengan kopi panas, kami berbincang tentang pelbagai aspek kandung­an seperti video, animasi, infografik dan gambar, dan bagaimana cara terbaik untuk menukarkan status pembaca kepada pembeli.

Setelah topik ini semakin hilang rancaknya, kemudian topik perihal blog pula timbul. Deep kemudian bertanya, bagaimana untuk menggunakan blog bagi menaikkan ranking laman web syarikatnya.

Soalan yang amat bagus. Jadi, memandangkan ia amat penting untuk menaikkan ranking sesuatu laman web itu, saya dan Deep telah menghabiskan masa yang lama membincangkan hal ini. Secara bersahaja, saya ceritakan bagaimana taktik terbaik untuk menulis blog yang mempunyai impak 10 kali lebih hebat dan mampu menarik orang menjadi pembeli.

Pendekkan URL setiap penulisan blog anda. Apabila anda menulis sesuatu artikel atau blog, ia akan mempunyai URL tersendiri. Biasanya URL yang dicadangkan secara automatik oleh platform blog anda itu amat panjang. Untuk memudahkan pembaca berkongsi blog anda, anda akan diberi pilihan untuk memendekkan URL tadi agar lebih pendek dan mudah diingati.

Bina kandungan kreatif yang orang lain jarang gunakan. Selalunya apabila seseorang atau sesuatu jenama itu menulis blog, ia hanya akan menulis dan meletakkan satu gambar sahaja. Ini satu senario biasa. Jadi anda perlu lakukan sesuatu agar blog anda tampak hebat dari ini. Terdapat banyak kandungan lain selain gambar yang anda boleh masukkan seperti video pendek, infografik, animasi, GIF dan juga Quote bergambar. Jarang-jarang orang menggunakan taktik ini.

Tajuk yang pendek dan menarik. Tajuk memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan orang akan berhenti scrolling dan berhenti di blog anda. Pastikan ia unik dan lain daripada yang lain.

Mudah dibaca dan difahami. Penulisan blog yang baik ialah apabila ia mudah dibaca dan difahami, berbentuk santai tetapi masih profesional dan tidak menjual tetapi bercerita. Pembaca amat sukakan blog yang mereka dapat belajar sesuatu darinya, yang mampu mengusik emosi dengan elemen kelakar, sedih dan memberi pengajaran.

Selang-seli dengan gambar yang banyak. Setiap 75-100 perkataan, anda perlu selitkan visual agak penulisan anda akan terus dibaca. Google juga akan menaikkan ranking laman web anda apabila blog anda dibaca dan dikongsi ramai orang.

Pastikan gambar yang ber­kualiti. Pembaca akan tertarik dengan visual, terutama sekali gambar-gambar yang mempunyai resolusi yang tinggi. Gambar yang kabur, pecah dan tidak sesuai akan membuatkan pembaca tidak akan membaca blog anda.

Selang-seli dengan ayat pendek yang besar. Membaca sesuatu blog dengan penulisan yang baik, kadang-kadang akan membuatkan orang mengantuk juga. Mana tidaknya, blog yang mempunyai jenis font dan saiz tulisan yang sama amat membosankan. Jadi anda perlu selitkan juga satu ayat penting dan buatkan font ayat tersebut lebih besar dari biasa. Bagi mereka tersentak sedikit, seolah-olah mereka perlu hayati betul-betul ayat kunci yang besar ini.

Kotak-kotak media sosial berhampiran untuk memudahkan perkongsian. Mungkin ramai yang suka akan penulisan anda kali ini dan mereka ingin kongsi dengan rakan-rakan mereka. Oleh itu, anda perlu siapkan beberapa kotak media sosial di tepi, di atas ataupun di bawah penulisan blog anda ini agar senang mereka lakukannya.

Pautan ke blog yang lain. Tidak ramai yang meletakkan pautan-pautan ke artikel mereka yang lain di dalam setiap penulisan mereka. Apabila ini tidak dilakukan, mereka akan rugi kerana berkemungkinan akan ada pembaca yang suka tentang penulisan anda yang ingin membaca lagi artikel anda yang lain. Mungkin anda akan memperoleh peminat tegar anda dari sini, dan tanpa pautan-pautan ini anda mungkin akan terlepas peluang untuk jadikan mereka sebagai pembeli.

Kesemua taktik di atas bertujuan untuk membina keyakinan dan kepercayaan pembaca terhadap jenama anda. Dengan wujudnya dasar percaya yang tinggi sahaja akan mampu menarik orang menjadi pembeli.