Di Sebalik Pembelian LinkedIn Oleh Microsoft

Oleh Azleen Abdul Rahim

Baru-baru ini dunia teknologi maklumat dan pemasaran digital dikejutkan dengan berita pembelian rangkaian media sosial LinkedIn oleh syarikat gergasi teknologi terkenal Microsoft. Dianggap sebagai salah satu transaksi penggabungan dan pembelian terbesar di dunia dengan nilai USD 26.2 billion, ramai pihak terutamanya dari industri pemasaran digital melahirkan rasa teruja. Malah ada juga yang gusar kerana masing-masing tidak pasti ke mana arah tuju LinkedIn yang bakal dibentuk oleh Microsoft.

Majalah-majalah teknologi mempunyai pelbagai persoalan di sebalik pembelian LinkedIn ini. Dari aspek Microsoft, mereka berpendapat bahawa ia sebahagian daripada strategi syarikat gergasi ini untuk memperluaskan pengaruhnya dalam penjualan perisian Office365, Skype dan juga perantinya Surface. Jenama Microsoft kini bersaing sengit bukan sahaja dengan Apple dan Samsung malah juga dengan jenama-jenama dari China untuk pasaran perisian dan perkakasan teknologi seperti Lenovo, Xiaomi dan sebagainya. Bagi memastikan Microsoft kekal sebagai jenama pilihan, ia perlu melakukan sesuatu. Pembelian LinkedIn merupakan langkah yang terbaik yang diambil oleh Satya Nadella, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft.

Bagi LinkedIn pula, situasinya agak berbeza. Harga sahamnya yang semakin merosot membuatkan syarikat media sosial ini berada dalam keadaan sukar.  Sebagai rangkaian media sosial profesional yang terulung di dunia yang mempunyai lebih daripada 350 juga pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan eksekutif, ia mempunyai kekangan untuk mengalihkan para pelanggan akaun percumanya kepada pelanggan yang berbayar. Keadaan menjadi semakin sulit apabila pengurusan LinkedIn masih tercari-cari penyelesaian untuk ini. Dengan pembelian dan penggabungan yang direncanakan oleh Microsoft ini, ia membuatkan kedua-dua syarikat ini menggunakan kekuatan bersama untuk membentuk satu misi yang lebih besar yang bakal menguntungkan kedua-duanya.

Sebagai pemerhati dan juga pemasar digital, saya melihat perkembangan ini dengan berhati-hati. Bagi saya, beberapa perkara penting bakal berlaku dalam masa terdekat.

Maklumat terperinci pelanggan. Ini aset terpenting yang dimiliki oleh LinkedIn dan kesempatan ke atas peluang menggunakan data ini bakal diambil oleh Microsoft untuk tujuannya yang lebih besar. Lebih banyak peluang dapat dijana oleh Microsoft untuk perisian dan perkakasan yang ada yang boleh disediakan kepada pasaran ini. Jadi, apabila saya berada di LinkedIn, hampir pasti saya akan melihat beberapa promosi dan kandungan Microsoft di dalamnya nanti.

Kekangan ke atas pesaingan. Pertama, Microsoft akan menguatkan kelebihan yang ada ke atas Apple dan Samsung apabila LinkedIn menjadi sebahagian darinya. Malah ia juga bakal menguatkan jenamanya dalam industri pengurusan perhubungan pelanggan atau CRM ke seluruh dunia yang bakal diceburinya nanti. Ini bermakna, cengkaman ke atas data yang akan dimilikinya akan menjadi jauh lebih besar.

Akaun Premium LinkedIn Percuma. Saya juga menjangkakan apabila pelanggan membeli perisian dan perkakasan Microsoft pada kadar harga tertentu, mereka berkemungkinan akan ditawarkan akses percuma kepada akaun premium LinkedIn. Semua orang tahu harga bagi akaun premium di LinkedIn memang mahal jadi, ini bakal hadiah yang amat bermakna bagi pemilik perisian ataupun perkakasan Microsoft yang dibeli.

Skype dan Office365 di dalam LinkedIn dan sebaliknya. Bukan sahaja saya bakal melihat promosi Microsoft di LinkedIn, saya menjangkakan saya akan mampu untuk melakukan panggilan dalam talian melalui Skype di dalamnya. Malah lebih dari sekadar panggilan Skype, saya juga mungkin mampu membuat resume atau dokumentasi lain dengan menggunakan perisian Office365 yang bakal dibina di dalam LinkedIn. Di samping itu, mungkin juga setiap produk Microsoft akan mempunyai hubungan secara langsung dengan LinkedIn nanti.

Jenama terunggul dalam industri perniagaan B2B.  Microsoft mempunyai kekuatan yang sukar digugat di dalam industri B2B. Hanya segelintir sahaja yang mempunyai kekuatan yang sama, seperti jenama IBM, HP, Dell dan sebagainya. Bagi memastikan kedudukannya tetap di atas, pembelian LinkedIn perlu dilakukan. LinkedIn mempunyai akaun yang terdiri daripada para profesional dari segenap lapisan daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan dari atas sehinggalah ke bawah, di segenap pelusuk dunia dari pelbagai jenis industri. Daripada mereka, Microsoft akan mula ‘menakluki’ dunia perniagaan B2B global nanti.

Walaupun ramai yang membuat ramalan yang negatif, dengan strategi-strategi ini, saya pasti perkahwinan Microsoft-LinkedIn ini akan berjaya!