E-mel: Guna Empat Cara Ini Untuk Tingkatkan Peluang Perniagaan

Oleh Azleen Abdul Rahim

BANYAK jenama tempatan dan antarabangsa di luar sana yang menggunakan kaedah spamming bagi mendapatkan perha­tian. Mereka seakan-akan terdesak untuk mendapatkan jualan hari ini juga. Jadi, apa lagi selang beberapa hari atau setiap minggu ada sahaja e-mel yang dihantar kepada ‘bakal pelanggan’. Akhirnya, apabi­la penerima yang membuat adu­an, mereka pun akan terus akan disenaraihitamkan kerana me­nya­lahgunakan e-mel mereka.

Mungkin jenama-jenama sebegini tidak sedar yang mereka telah melakukan kesalahan daripada segi etika perniagaan. E-mel sebenarnya digunakan untuk berinteraksi dengan pihak lain bagi memudahkan kita berniaga, membina keyakinan pelanggan dan sekiranya digunakan dengan cara yang betul ia juga akan meningkatkan peluang perniagaan.

Bagaimana caranya untuk membuatkan e-mel kita dilihat dan dibaca sedangkan secara puratanya setiap orang akan me­­nerima di antara 5 hingga 100 e-mel sehari yang hampir 80 peratus tidak diendahkan? Dengan empat cara ini, saya pasti e-mel anda akan dibuka dan akan dibaca oleh para penerima dengan cara yang lebih terhormat.

E-mel yang mempunyai tujuan. Saya menggunakan e-mel dengan dua tujuan utama. Pertama, ia untuk saya berhubung dengan para pelanggan secara lebih peribadi. Kedua, ia semata-mata untuk newsletter saya yang bersifat automatik dilanggani bagi membaca artikel-artikel yang terbaharu. Kedua-dua e-mel ini digunakan dengan tujuan yang jelas. Ia bukan sahaja memberitahu mereka yang saya amat berterima kasih atas kesetiaan mereka menggunakan khidmat nasihat dan produk saya, mereka juga tahu yang saya ingin pastikan yang mereka gembira dengan perkhidmatan diberikan. Mereka juga tahu yang saya inginkan mereka terus menjadi pelanggan untuk jangka masa lebih panjang lagi. Ini tujuan-tujuan yang saya inginkan mereka faham tanpa perlu menyebut dengan lebih rasmi. Ia bersifat tersirat daripada tersurat. Dan para penerima e-mel saya juga tahu yang mereka bakal menerima e-mel saya mengikut kadar masa tertentu.

Mesej anda di bahagian tajuk. Tajuk yang saya tulis perlu jelas, pendek dan mempunyai mesej yang saya ingin sampaikan. Tidak ramai yang mengambil masa sejenak untuk melihat tajuk yang mereka ingin tulis pada ruangan tajuk e-mel mereka. Kebanyakannya mengambil mudah tentang tajuk. Pada mereka ia kurang penting berbanding isi kandungan e-mel itu sendiri. Ini satu tanggapan yang tidak benar. Apabila kita menghantar e-mel kepada seseorang, penerima itu hanya mempunyai masa tidak lebih dari 5 saat untuk melihat e-mel yang baru masuk. Dia hanya akan melihat tajuk. Sekiranya tajuk tidak begitu penting yang masuk, terlalu panjang berjela atau yang sewaktu dengannya maka e-mel kita tidak akan dibuka. Dia pasti akan membuka e-mel yang padanya le­bih penting, bersifat segera dan juga mempunyai tajuk yang menarik perhatiannya.

Isi kandungan yang profesional, pendek dan jelas. Isi kandungan perlu pendek, tersusun ceritanya, jelas, menarik perhatian dan bersifat emosi. Berjela-jela panjangnya isi kandungan e-mel akan membantu si penerima untuk padamkan e-mel kita dengan lebih cepat, jadi belajar untuk menulis dengan lebih pendek, tersusun dan jelas. Tulis dengan profesional. Jika kandungan agak panjang, cuba pendekkan ia dengan meletakkan perenggan atau senaraikan dalam bentuk yang lebih tersusun. Lebih pendek e-mel anda lebih bagus kerana si penerima akan beranggapan yang anda berjawatan tinggi yang tidak mempunyai banyak masa untuk diluangkan. Apabila tanggapan sebegini wujud, maka dengan sendirinya peluang perniagaan anda akan lebih tinggi untuk berjaya.

Kesimpulan yang bertanda soal. Jangan biarkan e-mel anda terhenti tanpa sebarang perso­alan kepada si penerima. Ta­nya sesuatu di ayat terakhir agar interaksi anda akan berterusan. Lebih lama anda berinteraksi di antara satu sama lain, lebih tinggi peluang anda kerana di sini keyakinan akan terbina. Bukan mudah untuk membina keyakinan apatah lagi sekiranya jenama anda adalah jenama yang baharu. Apabila sesuatu keyakinan itu terbina, anda perlu menjaganya dengan baik.

Tukarkan interaksi e-mel anda kepada interaksi yang lebih bersifat peribadi apabila sampai pada satu-satu tahap. Daripada e-mel, bawa mereka ke platform khidmat ringkas seperti WhatsApp, Telegram dan sebagainya. Lebih peribadi, lebih tinggi peluang perniagaan anda.