Era Emosi: Kandungan Cerita, Visual dan Sasaran Pasaran

Oleh Azleen Abdul Rahim

SEDAR atau tidak, kita kini berada di zaman yang paling menarik dalam sejarah manusia. Zaman di mana teknologi yang begitu maju mula mempengaruhi corak kehidupan harian kita.

Inilah era kita dibanjiri dengan pelbagai maklumat oleh berjuta-juta jenama yang dahagakan penglihatan kita. Mereka cuba membuatkan kita menoleh sejenak, perhatikan apa yang mereka cuba sampaikan, hayatinya seketika dan akhirnya membuat pembelian.

Ataupun setidak-tidaknya, me­­reka mahukan kita kongsikan dengan rakan-rakan kita tentangnya. Kandungan yang mereka cuba selitkan itu memainkan peranan yang amat penting untuk menjayakan objektif tersebut, kerana mereka sedar semuanya bermula dengan kandungan yang menarik.

Seperti yang saya ceritakan di dalam artikel saya pada minggu lepas, sasaran emosi para pembaca atau bakal pembeli kini menjadi trend pemasaran masa kini. Tidak kira sama ada ia dilakukan secara dalam talian ataupun secara tradisional, jenama-jenama terkenal kini mula beralih arah kepada permainan emosi.

Mereka ingin bermain dengan psikologi kita. Fikirkan sejenak, apakah yang akan bermain di fikiran kita semasa kita ingin membeli syampu rambut, contohnya? Selain daripada aspek keperluan kerana syampu anda telah habis digunakan semalam, terdapat juga elemen-elemen emosi yang membuatkan kita ingin membeli syampu jenis tertentu itu juga.

Yang pastinya, hari ini anda tidak akan membeli sembarangan jenis syampu rambut, tetapi anda akan membeli jenis yang berada di dalam kepala anda itu sahaja. Betul?

Kandungan cerita yang menggunakan konteks. Beberapa hari lepas, saya menyiapkan satu kandungan untuk dimuatkan ke dalam satu video teaser oleh satu syarikat pelancongan terkenal di Malaysia. Mereka sedang dalam proses untuk memuat naik satu video teaser yang pendek selama 50 saat dalam masa beberapa hari lagi.

Jadi tugasan saya ialah me­nyiapkan terlebih dahulu apa yang perlu ditulis pada setiap adegan video tersebut. Adegan-adegan video masih tiada tetapi akan dibuat bergantung kepada apa yang bakal ditulis. Mereka hanya memberikan saya muzik dan konsep video yang akan dibuat itu.

Bunyi tugasan ini memang mudah, tetapi sebenarnya hampir pecah kepala saya dibuatnya. Jadi dengan berpandukan kepada kedua-dua ini, saya mengambil masa selama tiga hari untuk menyiapkan tujuh ayat pendek untuk mereka.

Dengan mendengar muzik itu berkali-kali, kreativiti saya be­kerja keras setiap minit menggambarkan bagaimana hasil terakhir akan siap. Ayat-ayat yang saya tuliskan itu pendek tetapi setiap darinya mempunyai konteks tersendiri yang bakal mengusik emosi sesiapa yang melihat video itu nanti.

Objektif saya di sini ialah saya cuba membuatkan agar sesiapa yang melihat video itu nanti, akan menekan butang Subscribe untuk melanggan laman web tersebut.

Visual yang sesuai dengan konteks kandungan dan penceritaan. Semalam saya telah menerima satu e-mel daripada syarikat pelancongan tersebut, yang melampirkan video yang telah siap dibina. Mereka meminta saya membuat sedikit semakan tentang keserasian ayat-ayat yang ada di dalamnya dengan adegan-adegan yang dipaparkan.

Sebaik sahaja saya memainkan video tersebut, saya terus terpukau. Ternyata impak yang ditonjolkannya begitu dahsyat. Memang penggunaan visual dalam setiap pemasaran seperti video ini contohnya tidak dapat dinafikan lagi hebatnya.

Video ini bermula dengan tempo yang agak perlahan, tetapi ia mula bergerak pantas dan semakin rancak pada korus. Kemudian ia perlahan kembali dan berakhir dengan visual yang mengasyikkan, diiringi dengan ayat dan muzik yang padu!

Sasaran pasaran yang tepat. Saya difahamkan syarikat pelancongan ini mempunyai sasaran pasaran yang unik, yang tidak sama dengan para pesaing mereka. Mereka memberitahu saya yang sasaran mereka ialah mereka yang inginkan percutian yang akan melekat sebagai satu memori indah.

Bagi mereka, ramai orang sering melancong tetapi tidak ramai yang ingat tentang percutian terakhir mereka. Tiada memori indah di dalamnya, itu yang membuatkan mereka lupa. Jadi dengan berpandukan mesej yang mereka ingin sampaikan ini, saya mula faham tentang siapa yang mereka ingin sasarkan.

Dengan itu, proses mereka bentuk ayat-ayat yang sesuai tadi dapat dilakukan dengan jelas dan penceritaan yang mudah dapat disajikan dengan baik.

Gunakan ketiga-tiga pendekatan ini untuk membina video yang berimpak tinggi sebagai pemasaran dalam talian anda.