Guna LinkedIn Untuk 
Dapatkan Kerja Idaman Anda

Oleh Azleen Abdul Rahim

TAHUN 2016 bermula dengan cabaran yang getir. Bukan sahaja kepada negara, malah pada setiap kita. Dua hari yang lalu ketika saya berada dalam Masjid Asy-Syakirin KLCC, saya terdengar keluhan dua sahabat di belakang saya tentang jaminan pekerjaan mereka. Begitulah, dengan cabaran ekonomi sebegini semua orang terutama golongan profesional pasti risau tentang periuk nasi masing-masing kerana apa yang bakal berlaku pada masa akan datang tiada siapa yang tahu.

Golongan profesional seperti anda perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi apa jua keadaan yang berlaku tanpa menunggu situasi ekonomi. Oleh itu, anda tidak boleh tidak, mesti perlu dan sentiasa membina jenama diri anda sendiri. Ia amat penting untuk memastikan yang setiap orang di dalam industri kenal siapa diri anda, kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang anda ada, dan yang lebih penting sekali nilai profesionalisme yang anda tawarkan. Platform yang terbaik untuk anda tonjolkan penjenamaan diri anda ialah di LinkedIn.

Anda bekerja di sebuah syarikat pengeluar minyak yang terbesar dunia contohnya. Pejabat anda di Kuala Lumpur dan anda merupakan seorang ketua jabatan yang begitu dedikasi. Para pekerja memandang tinggi kepada anda kerana pengetahuan anda yang mendalam tentang subjek tertentu. Bukan itu sahaja, anda juga mahir tentang peranan anda sebagai bos dan mampu berinteraksi dengan para pekerja dengan baik. Kerana dedikasinya anda kepada kerja, keperluan untuk berinteraksi dengan para profesional lain yang di luar kelompok anda menjadi perkara yang tidak penting. Rangkaian profesional anda tidak begitu besar, hanya di pejabat. Apatah lagi untuk ‘bermain’ di media sosial seperti Facebook dan LinkedIn. Tiba-tiba anda mendapat satu surat rasmi daripada Jabatan Sumber Manusia yang syarikat anda bekerja itu kini berada di tahap kritikal kerana faktor ekonomi yang semakin buruk dan anda terpaksa diberhentikan. Notis yang diberikan adalah selama 30 hari, dan pampasan yang bakal diterima agak baik. Anda panik dan terduduk memikirkan di mana pula anda perlu bekerja selepas ini untuk terus hidup. Bukan senang untuk mencari kerja baharu yang sesuai, dan mempunyai pakej yang sama. Tanpa rangkaian kenalan yang luas di dalam industri, apa yang mampu anda lakukan ialah menghantar resume kepada agensi pekerjaan dan juga kepada rakan-rakan yang anda kenali. Itu sahaja. Ini realiti kehidupan yang bakal anda hadapi tanpa penjenamaan diri yang betul. Semuanya kerana orang tidak tahu dan tidak kenal anda!

Bagaimana jika saya katakan yang media sosial seperti LinkedIn, mampu membuatkan anda tidak lagi bergantung harap kepada resume dan agensi pekerjaan? Malah, ia mampu mendapatkan pekerjaan yang anda inginkan dengan kadar yang jauh lebih pantas berbanding biasa. Ramai kenalan saya yang mempunyai karier baik melalui pengaruh LinkedIn ini. Di Malaysia, walaupun semua orang tahu apa itu media sosial, namun tidak ramai yang menggunakan pendekatan media sosial untuk kebaikan penjenamaan diri sendiri secara profesional. Hanya individu-individu yang mempunyai karisma dalam bentuk penjenamaan diri, yang secara sosialnya orang akan melihatnya sebagai seorang yang menarik, mempunyai kredibiliti dan mampu menghasilkan hasil kerja yang baik sahaja yang mampu membuka mata bakal majikan untuk mengambilnya bekerja. Hanya di LinkedIn, anda mampu berbuat begini. 

Untuk membina penjenamaan diri anda yang jitu di LinkedIn dan mewujudkan versi anda yang berkarisma, ini yang perlu anda lakukan.

Masa. Ia merupakan faktor yang penting dalam pembinaan jenama. Saya sering mengingatkan tentang keperluan masa yang sesuai yang perlu diambil bagi membina jenama yang kukuh. Sekurang-kurangnya lapan bulan atau lebih merupakan jangka masa yang sesuai sebagai sasaran. Jadi, anda perlu memulakan langkah dengan seberapa segera.

Profil. Ia perlu mendalam, meyakinkan dan lengkap. Dengan mengisi informasi lengkap mengenai diri anda berserta gambar yang sesuai, anda tidak lagi perlukan resume bertulis untuk dihantar ke merata-rata tempat kerana semuanya akan terpapar di sini untuk dilihat dan dibaca.

Rangkaian profesional. Industri akan melihat dan memantau siapa yang berada dalam kelompok profesional anda. Mereka ingin melihat sama ada rangkaian anda itu berkualiti dan besar ataupun tidak. Ini secara tidak langsung akan menceritakan yang anda ini seorang yang berpengaruh ataupun tidak dalam kalangan rakan-rakan anda.

Kekuatan anda. Kongsikan semua pengalaman anda, pengetahuan, kepakaran dan nilai profesionalisme anda.

Pandangan anda. Anda adalah apa yang anda tulis. Jadi ceritakan dan kongsikan pandangan anda tentang sesuatu topik yang profesional yang anda mahir. Ini akan membina kekuatan jenama diri anda sendiri.