Hati-hati! Media Sosial Kini Sudah Berubah Wajah

Oleh Azleen Abdul Rahim

SELAMA ini kita kenali Facebook, Twitter, LinkedIn dan Instagram sebagai rangkaian-rangkaian sosial untuk kita saling berhubung antara satu sama lain dengan rakan-rakan di samping membuat selitan untuk menjual produk dan perkhidmatan. Kini tidak lagi. Mereka sudah mula berubah wajah menjadi sesuatu yang amat ditakuti ramai. Kini mereka menjadi agensi pengiklanan gergasi.

Apabila mereka mengumumkan pertukaran algoritma mereka, keutamaan diberikan kepada individu berbanding perniagaan. Hanya individu yang tidak mempunyai kepentingan perniagaan sahaja yang tidak akan terlibat dan status mereka akan dapat dilihat se­perti biasa. Namun tidak kepada individu yang ingin menjual dan menggunakan media sosial untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka. Setiap kali jenama-jenama ini mengemaskinikan status mereka, rangkaian media sosial tahu ia berbentuk komersial.

Semakin banyak jenama kecil dan besar mula merungut kerana sejak kebelakangan ini setiap kali mereka mengemaskinikan status terbaru di laman media sosial yang mereka puja selama ini, status tersebut hanya dilihat tidak lebih dari 200 atau 300 orang sahaja sedangkan mereka mempunyai lebih 5,000-8,000 orang pengikut di rangkaian tersebut. Mereka kini terpaksa menggunakan bajet yang semakin besar untuk memastikan kadar sebaran maklumat yang sama.

Apa sudah jadi? Tidak ramai yang tahu sekarang ini secara purata, kurang 7 peratus sahaja yang akan dapat melihat status terbaru jenama mereka. Tetapi, apabila mereka membuat bayaran untuk status yang dimuat naik itu, barulah peratusan orang yang melihatnya akan mencanak tinggi.

Saya mempunyai seorang pelanggan yang mempunyai 50,000 pengikut di laman Facebook jenama mereka. Ini bukan satu jumlah yang kecil. Namun, apabila satu status terbaru dimuat naik dan selepas seminggu, hanya 20-50 orang sahaja yang melihat status tersebut. Memang menyedihkan.

Kini mereka terpaksa me­ngeluarkan hampir RM8,000 seminggu untuk memastikan tahap kesedaran orang ramai terhadap jenama mereka berada di tahap yang sepatutnya. Ini modus operandi yang dilakukan oleh setiap rangkaian media sosial yang ada sekarang. Mereka mula tumpukan perhatian kepada keuntungan semata-mata se­telah beberapa tahun berta­han tanpa sebarang untung.

Sebagai satu jenama yang tidak terlalu besar, kita perlu berhati-hati agar tidak terlalu terjebak dengan permainan mereka. Setiap strategi pemasaran yang ingin dilakukan harus tidak dipengaruhi oleh mereka. Sekiranya ini tidak dilakukan dari sekarang, dikhuatiri kita akan terpaksa mengeluarkan jumlah pelaburan yang semakin besar untuk hanya mengekalkan jenama kita di rangkaian tersebut.

Media sosial semakin mahal. Kini, jenama-jenama be­sar tumpukan perhatian mereka kepada aplikasi-aplikasi yang berbentuk komuniti dan mereka ingin mengawal komuniti ini sendiri tanpa dipengaruhi oleh media sosial. Komuniti merupakan satu kumpulan pengikut yang yakin dengan jenama mereka dan mereka begitu percaya dengan apa yang jenama ini percaya.

Tanpa komuniti, penjualan produk dan per­khidmatan tidak akan dapat dilakukan dengan mudah kerana amat sukar bagi setiap syarikat yang mampu untuk menukarkan orang yang tidak pernah tahu tentang jenama mereka kepada pembeli berbayar. Tetapi, komuniti akan membeli dan dengan rela membayar untuk membeli produk yang dijual oleh jenama tersebut. Semakin ramai pengikut di dalam komuniti mereka, semakin tinggi peluang mereka untuk menjual produk dan perkhidmatan yang ada.

Terdapat dua jenis aplikasi yang wujud di mana komuniti dapat dikawal dan diselenggara dengan lebih mudah dan percuma tanpa kehadiran media sosial. Pertama, laman blog dan keduanya, menggunakan kaedah pemasaran melalui e-mel. Kedua-dua kaedah ini semakin mendapat tempat di kalangan jenama-jenama besar.

Setiap kali kita mengemaskini dan memuat naik status terbaru seperti artikel, promosi, pengumuman penting, peraduan dan sebagainya kepada komuniti kita di Internet, setiap orang pasti akan menerima, melihat dan membaca status tersebut. Bukan itu sahaja, kita tidak perlu membayar satu sen pun kepada mana-mana pihak untuk proses menyebarkan ini. Di media sosial, kita hanya perlu meletakkan satu status yang menggalakkan para pengikut kita di sana untuk beralih arah dan mengikuti kita di laman blog dan e-mel yang berada di luar rangkaian mana-mana media sosial.