Jangan Jual, Buatkan Pelanggan Datang Membeli Produk Anda

Oleh Azleen Abdul Rahim

BUKAN sahaja syarikat-syarikat kecil yang tidak tahu, banyak juga syarikat gergasi yang tidak begitu mahir dalam mendapatkan pembeli produk mereka tanpa menjual. Kebanyakannya akan cuba sedaya upaya untuk menjual dan terus menjual produk mereka tanpa me­ngetahui (atau tidak peduli langsung) dengan lebih mendalam tentang corak pembe­lian para pelanggan di luar sana.

Apa yang mereka harapkan ialah, setelah mereka menjual di media sosial, laman web ataupun blog, akan ada pembeli yang datang dan membeli. Setelah berbulan-bulan mencuba, ternyata mereka sedar yang cara mereka tidak begitu berjaya. Malah ada yang gagal dan terus tutup kedai.

Sebagai pembeli, saya juga tidak gemar orang yang suka menjual 24 jam. Lihat sahaja status terbaharu individu atau syarikat itu di laman media sosialnya, memang tidak ada benda lain melainkan ada sahaja benda yang hendak dijualnya.

Dengan terpampang gambar dan katalog yang diletakkan di situ, cepat-cepat saya akan scroll ke bawah untuk melihat status orang lain. Lagi cepat saya turunkan skrin ke bawah, lagi bagus dan tidak memening­kan kepala.

Bagaimana untuk mendapatkan pembeli tanpa perlu menjual? Sebenarnya, bukan tidak perlu menjual langsung tetapi menjual dengan cara tidak langsung dan bercerita. Ini cara-cara yang boleh anda lakukan tanpa membuatkan mereka rasa tertekan:

Ceritakan tentang ke­lebihan produk anda berserta contoh. Tidak kisah sama ada anda ingin ceritakan tentang kelebihan produk anda melalui kaedah penulisan blog, visual ataupun video, tetapi pastikan yang anda tidak menjual. Anda juga perlu ingat yang pelanggan anda mungkin tidak mempunyai tahap IQ setinggi anda, jadi penceritaan anda perlulah menggunakan perkataan dan ayat yang mudah difahami. Penceritaan anda juga perlu digubah seolah-olah ia satu bentuk cerita daripada pengala­m­an seseorang misalnya, dan bagaimana individu ini dapat mengubah hidupnya atau selesaikan masalahnya dengan kele­bihan produk anda. Sila jangan cerita tentang produk, tetapi kelebihannya.

Ceritakan bagaimana produk anda membantu selesaikan masalah. Ini lebih membuatkan para pelanggan akan terbuka dan membuatkan mereka berfikir yang mereka juga sebenarnya mempunyai masalah sama dengan individu contoh yang anda ceritakan tadi. Dengan ini, mereka dapat mendalami masalah dan seterusnya memahami individu tersebut dengan lebih baik. Apabila mereka kini lebih terbuka dan memahami situasi ini, berkemungkinan mereka akan lebih tertarik dengan produk tanpa anda menjual dan memberi tekanan kepada mereka. 

Ceritakan apa yang mereka akan dapat dengan produk anda. Jual manfaat kepada mereka, ceritakan apa yang bakal mereka peroleh daripada produk anda. Biarkan mereka berfikir dan gambarkan dalam fikiran mereka apa yang akan berlaku setelah mereka membeli produk tadi. Gunakan blog dan tuliskan kelebihan-kelebihan ini dalam bentuk penceritaan, atau gunakan video pendek, gambar-gambar untuk lebihkan impak.

Ceritakan bagaimana produk anda dibuat atau dibina. Kebanyakan pelanggan anda ing­in tahu bagaimana anda bina, sediakan produk atau perkhidmatan anda. Mereka mempunyai rasa ingin tahu. Ambil kesempatan ini untuk ceritakan kepada mereka apa yang sebenarnya anda buat, bagaimana produk atau perkhidmatan anda disediakan dengan lebih mendalam, dan ‘bawa’ mereka ke dalam syarikat anda.

Dengan cara ini, mereka akan berfikir yang syarikat anda ini adalah satu syarikat yang up-to-date dan berfikiran terbuka serta telus dalam operasi anda. Secara tidak langsung juga, anda akan dilihat sebagai satu syarikat yang telus dan jujur.

Biarkan kualiti kerja dan harga berbicara. Anda perlu berasa yakin dengan kualiti produk dan perkhidmatan anda dan juga harga yang dipaparkan. Jadi, lebih baik sekiranya anda membuat paparan tentang kualiti kerja dan harga lebih awal dan lebih terbuka agar pe­langgan tahu harga yang bakal mereka bayar sekiranya berminat. Tanpa paparan harga, para pelanggan mungkin lebih ‘takut’ untuk menghubungi anda, jadi jangan biarkan ketakutan ini melanda dan menjejaskan potensi kebarangkalian mereka membeli.

Setiap pelanggan ingin membeli manfaat yang anda jual, dan mereka membeli sebab percayakan anda. Dan semuanya bukan sebab produk atau perkhidmatan yang disediakan. Jadi jangan menjual, buat sesuatu agar mereka datang membeli.