Kuasa News Feed Facebook Kini Di Tangan Anda

Oleh Azleen Abdul Rahim

PADA Isnin minggu lepas, Facebook telah membuat satu pengumuman penting di blog mereka. Ia tentang perubahan terbaharu algoritma yang bakal berlaku tidak lama lagi. Kali ini, ia melibatkan News Feed, iaitu status dan berita yang anda lihat di laman Facebook anda. Algoritma terbaru Facebook ini akan memastikan yang anda hanya akan melihat status-status yang anda suka lihat sahaja, mengeluarkan apa yang tidak ingin anda tengok dan meletakkannya di bawah.

Kuasa kini di tangan pengguna. Proses rombakan News Feed ini dilakukan dengan mengambil kira pendapat para pengguna Facebook itu sendiri, iaitu kita semua. Mereka menggunakan kaedah bancian yang berbentuk rating. Ia dilakukan secara licik tanpa seorang pun perasan yang anda telah mengambil bahagian. Hebat betul. Kalau anda perasan, pada status tertentu anda perlu memberikan rating berapa bintang. Saya sendiri pun tak perasan sangat tetapi saya teringat yang saya ada memberikan beberapa bintang kepada beberapa Facebook Page jenama-jenama tertentu. Kalau anda nak tahu, kebanyakan rating akan berada di Facebook Page berbanding di se­belah individu. Sekiranya anda memberikan rating yang baik, Facebook akan menentukan ranking status tersebut. Apabila ranking status itu tinggi, jadi akan lebih kerap status itu akan dipaparkan di News Feed Facebook anda.

Disamping rating, Facebook juga akan merekodkan setiap komen anda, butang Like yang ditekan dan status yang dikongsi menerusi butang Share. Dengan kata lain, setiap apa yang anda lakukan di Facebook akan dipantau yang kemudiannya akan diletakkan kedudukan atau ranking.

Selepas ini, setiap status yang akan keluar di halaman Facebook anda akan lebih berkualiti dan personalise kepada apa yang anda ingin lihat. Perubahan terbaharu ini bunyi­nya agak kecil, tetapi ia akan memberikan impak yang besar terutamanya kepada jenama-jenama, penerbit, pengiklan dalam talian dan pemasar digital yang menggunakan Facebook sebagai alat untuk memasarkan produk dan servis mereka. Dengan konsep bayar untuk trafik yang digunakan Facebook, aliran trafik organik kini semakin kecil dan kurang yang diperolehi oleh para pemilik Facebook Page. Sekiranya mereka mahukan lebih banyak trafik, mereka perlu membayar untuk itu. Jadi, dengan perubahan algoritma yang terbaharu ini akan lebih membuatkan aliran trafik untuk ke Facebook Page mereka menjadi lebih parah lagi. Bayar, bayar dan bayar.

Selain daripada perubahan algoritma ini, Facebook juga dalam proses untuk meletakkan lebih banyak pilihan butang selain butang Like yang ada sekarang untuk maklum balas status yang dilihat. Pada Disember lalu, Facebook menya­takan dalam blog mereka yang penambahan sebanyak enam emoji alternatif bakal di­letakkan. Emoji berbentuk marah, sedih, wow, hahaha, yay dan jatuh cinta bakal diadakan. Untuk pasaran Asia, ia masih belum lagi ada tetapi saya difahamkan versi beta untuk emoji-emoji ini telahpun disediakan untuk pasaran Sepanyol dan Ireland. Selepas dua negara ini berjaya, Facebook bakal mengembangkan emoji ini ke Chile, Filipina, Portugal, Colombia serta Amerika Syarikat. Beberapa langkah akhir sedang diambil untuk betul-betul memastikan yang emoji-emoji ini sesuai dengan semua kea­daan, dan tidak akan ada yang tertinggal. Saya rasa Facebook tidak akan tergesa-gesa untuk menukar dan menambah sesuatu. Ini kerana, dengan jumlah pengguna tegar seramai 1.4 bi­lion orang, langkah berhati-hati adalah lebih baik.

Facebook juga menyatakan yang ramai pengguna meminta untuk diadakan emoji yang berbentuk Tidak Suka atau Dislike. Permintaan ini telah lama dan Facebook masih meneliti permintaan ini kerana menurut Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, emoji Tidak Suka ini agak bersifat negatif dan khuatir penyalahgunaannya.

Perubahan terakhir yang bakal berlaku ialah, anda boleh elakkan mana-mana status yang viral tak tentu hala daripada berada di News Feed anda. Ramai yang akan digalakkan untuk memberikan maklum balas tentang status yang viral tadi. Sekiranya terlalu ramai yang memberikan maklum balas negatif tentang status itu, maka Facebook akan mengeluarkan status itu di ranking yang tinggi dan meletakkannya di bahagian bawah walaupun ia mempunyai ribuan Like serta Share, dan News Feed anda pun akan bersih.