Pemasaran Digital Sebagai Medium Pengiklanan – Azleen

Oleh Utusan Biz

Medium pemasaran atau pengiklanan digital semakin berkembang pesat di negara ini berikutan komitmen kerajaan menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang lengkap meliputi segenap aspek. 

Bagaimanapun, kemudahan tersebut masih kurang dimanfaatkan se­cara sepenuhnya oleh syarikat dan pengguna di negara ini bagi memperkembangkan dan memperkukuhkan perniagaan mereka.

Pakar Strategi Kandungan NSE, Azleen Abdul Rahim berkata, ini kerana ramai yang terlupa bahawa Malaysia mempunyai infrastruktur Internet yang bagus yang membolehkan mereka menggunakan saluran media sosial yang sangat berpengaruh ketika ini bagi mempromosikan sesuatu produk atau perkhidmatan.

Katanya, medium tersebut bukan sahaja satu platform yang mudah diakses oleh orang ramai, malah ia juga lebih menjimatkan kos berbanding pemasaran tradi­sional seperti di televisyen, majalah, poster dan papan tanda iklan.

“Pemasaran digital dapat menjimatkan kos pengiklanan sehingga 50 peratus kepada syarikat berbanding pengiklanan tradisional. Pada masa, paling banyak yang menggunakan pemasaran digital adalah syarikat-syarikat besar.

“Perusahaan kecil dan sederhana (SME) juga ada menggunakan platform ini tetapi kebanyakan mereka masih lagi dalam peringkat percubaan. Kebanyakan daripada mereka membuat sendiri pemasaran ini.

“Strategi ini agak per­lahan dan kurang efek­tif serta mungkin me­makan masa yang lebih lama. Mereka perlu mendapatkan pan­­duan seperti menghadiri kelas atau mendapatkan perkhidmatan konsultan bagi memastikan teknik yang dilakukan lebih berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

“Sebagai contoh, jika orang menyebut AirAsia, orang ramai yang mengingati ia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah. Ini kerana syarikat itu telah berjaya menjenamakan syarikat terbabit sedemikian,” jelasnya.

Beliau yang merupakan graduan bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) mula terlibat dalam pemasaran digital semasa berkhidmat di NSE In Asia yang merupakan syarikat terakhir beliau berkhid­mat sebelum kembali kepada syarikat induknya NSE PLT pada 2016.

Menurutnya, perkhidmatan pemasaran digital yang ditawarkan oleh NSE termasuklah menyediakan kandungan bagi blog atau portal, menguruskan media sosial serta memastikan pengiklanan syarikat-syarikat berjaya menarik golongan sasaran dengan memastikan trafik pergi blog dan laman sosial mereka.

Jelasnya, kos perkhidmatan yang ditawarkan mereka adalah semurah RM80 dan ada yang sehingga RM5,000 yang tidak termasuk kos iklan yang perlu dibayar kepada pihak penyedia platform iklan se­perti Google dan Facebook.

“Pembaca ruangan ini boleh mendapatkan maklumat-maklumat yang menarik mengenai trend terbaru pada tahun ini.

“Saya percaya untuk kita maju ke hadapan, kita perlulah rajin membaca dan memerhati apa yang berlaku di sekeliling kita dan mencari apakah maklumat yang ada,” ujarnya.

-Utusan Malaysia-