Pemasaran Emosi: Cara Terbaharu Tarik Pembeli

Oleh Azleen Abdul Rahim

SETIAP tahun anda pasti tertarik dengan iklan Hari Raya Petronas yang membuatkan emosi anda terdetik. Sedar tak sedar, keesokan harinya anda bercakap tentang betapa hebatnya iklan tersebut dengan rakan-rakan sama ada di media sosial ataupun di pejabat.

Seperti anda, sebagai seorang ahli pemasaran, setiap tahun saya juga akan menanti apakah bentuk penceritaan yang bakal dipaparkan Petronas. Saya memang mengikuti dan memerhati dengan teliti setiap bentuk pemasaran yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat dunia yang berfikiran jauh dan kreatif seperti Petronas.

Penceritaan yang mudah difahami, permainan emosi dan mesej yang cuba disampaikan. Ketiga-tiga faktor ini digunakan oleh syarikat-syarikat ini dalam pemasaran mereka terutama sekali dalam pembuatan iklan. Saya ingin ulas sedikit bagaimana ketiga-tiga faktor ini akan membentuk satu penceritaan yang hebat agar kita dapat faham tentang gabungan ini.

1. Faktor utama ialah faktor penceritaan. Ia amat penting dalam setiap pemasaran tidak kira ia berbentuk digital atau tradisional, yang mempunyai jangka masa singkat ataupun panjang. Di dalam setiap penceritaan itu pula, ia perlu diselitkan dua unsur yang paling penting, iaitu cerita mesti teratur dan mudah difahami. Tanpa kedua-dua elemen ini, penceritaan anda tidak akan memberikan apa-apa impak kepada yang melihatnya. Apatah lagi untuk membuatkan mereka membeli.

2. Selepas penceritaan yang baik diolah, anda perlu memasukkan faktor kedua iaitu permainan emosi. Ini perlu agar cerita anda akan diingati dengan baik. Anda perlu mengusik emosi sesiapa sahaja yang melihat cerita anda itu.

Untuk melakukan ini, anda tidak boleh lari dari aspek visual iaitu penggunaan video. Penulisan artikel, gambar, atau apa sahaja kaedah selain video tidak dapat memberikan impak sehebat video.

3. Faktor ketiga ialah mesej yang cuba disampaikan. Mesej sebenarnya satu jambatan di antara cerita yang disampaikan dengan apa yang kita jual.

Dengan mesej, orang akan tahu apakah matlamat, pengajaran, objektif dan nilai-nilai yang cuba kita sampaikan kepada mereka. Dan mereka sendiri akan tahu yang ia akan merujuk kepada produk dan perkhidmatan yang kita sediakan di pasaran.

Kini lebih banyak jenama di Malaysia mula menggunakan pendekatan ini untuk bersaing dengan iklan syarikat petroleum negara yang sememangnya efektif. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa syarikat terkenal lain yang saya ikuti dengan teliti, menggunakan ketiga-tiga faktor ini yang juga dikenali sebagai pemasaran emosi ini.

Wacoal Thailand. Tidak disangka syarikat pengeluar pakaian dalaman wanita pun mampu mengeluarkan satu iklan yang begitu mengusik perasaan. Pada Januari 2014, mereka telah memaparkan satu iklan My Beautiful Woman, berpandukan kepada naluri keibuan dimiliki oleh seorang pelajar perempuan yang mengambil bayi dijumpainya sebagai anak sendiri.

Walaupun masyarakat sekelilingnya memandang hina, namun pelajar perempuan ini tidak menghiraukan apa orang lain kata. Jika anda tonton bagaimana penceritaan dalam iklan itu dilakukan, anda pasti akan menitiskan air mata. Mesej yang disampaikan begitu bermakna sekali, setiap wanita itu begitu istimewa walaupun dia hanyalah insan biasa.

MetLife Hong Kong. Syarikat ini menerbitkan video bertajuk My Dad Is A Liar yang menceritakan kisah menyayat hati mengikut perspektif seorang anak perempuan terhadap ayahnya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Namun, ayahnya tetap yang terbaik di hatinya. Mesej yang disampaikan begitu baik sekali. Ia menyatakan setiap pengorbanan terhadap masa depan seorang anak itu tiada nilainya. Ikuti videonya di sini.

AirBnb. Ini satu-satunya jenama pelancongan besar yang saya perhatikan bukan sahaja begitu gemar menggunakan video, tetapi juga suka kepada penggunaan gambar-gambar yang mempunyai resolusi tinggi bagi menarik minat orang ramai.