Pemasaran Kandungan: 15 Saat Terpenting Dalam Hidup Anda

Oleh Azleen Abdul Rahim

Menjalani kehidupan sebagai seorang usahawan di media sosial tidak semudah yang disangkakan. Terutama sekali apabila anda adalah usahawan kecil yang tidak mempunyai pasukan besar, ataupun bergerak seorang diri. Pelbagai kerja terpaksa dilakukan, bermula daripada pemasaran, jualan, operasi, penghantaran barang-barang atau penyediaan perkhidmatan di tempat pelanggan, perakaunan dan macam-macam lagi. Ia akan nampak mudah apabila keadaan itu menjadi satu rutin. Namun, semua penat lelah daripada hasil titik peluh yang halal ini akan hilang apabila ada pelanggan mula membeli apa yang anda jual dan pasaran mulai mengenali anda dan jenama anda itu.

Untuk membuatkan pasaran mengenali siapa anda dan jenama anda itu, ia bermula dengan bagaimana hendak menarik perhatian mereka. Di media sosial anda sendiri tahu bagaimana seseorang itu melayari Facebook, Twitter dan Instagram contohnya, dan bagaimana cepatnya mereka scroll down atau menarik skrin daripada bawah ke atas untuk melihat setiap status yang dipaparkan. Ramai yang tidak suka membuang masa dengan membaca setiap apa yang ada, tetapi memilih untuk melihat mana yang menarik perhatian mereka. Anda mesti tahu sebab anda juga mempunyai tabiat yang sama.

Jadi, bagaimana untuk menarik perhatian pasaran untuk berhenti scrolling dan melihat kandungan anda di media sosial?

Bukan mudah untuk menarik perhatian orang, terutama sekali pada masa sekarang di mana orang sentiasa kesuntukan masa. Namun, ada beberapa cara yang anda boleh gunakan untuk menarik perhatian mereka dengan efektif. Sebelum saya kongsikan cara-caranya, anda perlu tahu apakah Undang-undang 15 Saat. Ia bermaksud, anda hanya mempunyai kurang dari 15 saat untuk menarik perhatian mereka supaya berhenti scrolling dan melihat kandungan anda di media sosial. Sekiranya mereka melakukan ini, dan terus melekat untuk selama 15 saat lagi maka anda berjaya untuk menarik perhatian mereka dengan kandungan anda. Ini dinamakan Pemasaran Kandungan atau Content Marketing.

Penulisan quote berbentuk poster. Ia berguna untuk mereka yang malas membaca artikel yang panjang berjela. Jadi, dengan kreativiti yang ada, anda boleh mereka bentuk satu poster yang mempunyai penulisan quote. Apa itu quote? Ia adalah nasihat atau bentuk pemikiran yang dipetik daripada seseorang yang terkenal, yang ditulis dalam satu atau dua potong ayat. Apabila orang membaca ini terkedu dan tersentak dengan apa yang ditulis dan membuatnya berfikir, mereka akan melihat logo jenama anda. Kemudian sekiranya mereka berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang anda, mereka akan melayari laman web atau profil anda di media sosial itu. Quote berbentuk poster ini mempunyai daya tarikan yang besar dan banyak jenama terkenal menggunakan kaedah ini untuk dapatkan perhatian.

Video. Ramai tidak suka membaca, tetapi mereka lebih gemar melihat video. Untuk membuat video yang menarik, ia tidak sepatutnya melebihi 3 minit. Sebaik-baiknya ia haruslah mempunyai durasi di antara satu hingga dua minit sahaja. Dengan video, segala-galanya mampu diceritakan dengan baik dalam masa yang singkat.

Animasi. Animasi juga mempunyai tarikan yang amat kuat. Ia juga satu bentuk video yang mampu menceritakan pelbagai mesej dalam masa singkat.

Infografik. Penggunaan infografik mula diperkenalkan sekitar tahun 1993 namun ia mula digilai oleh para pemasar untuk menggunakannya pada tahun 2014. Ia merupakan seakan-akan gambar rajah atau ilustrasi minda yang menggabungkan perkataan dan reka bentuk menjadi satu. Dengan reka bentuk untuk menyokong apa yang ditulis, ia jauh lebih menarik berbanding penulisan artikel yang agak membosankan.

GIF. Graphic Interchange Format atau GIF ialah satu mikro video pendek yang digunakan untuk menceritakan visual yang berulang-ulang. Ia juga menjadi kegilaan millennial yang mampu untuk menjadi viral sekiranya GIF anda ini mampu mengusik emosi individu yang melihatnya.

Penulisan blog atau artikel. Untuk menarik minat pasaran, terdapat juga golongan yang suka kepada penceritaan melalui penulisan artikel dan blog. Jadi, artikel dan blog masih mampu menjadi daya penarik terutamanya kepada golongan profesional dan usahawan.

Walaupun penggunaan visual menjadi trend masa kini, namun anda perlu lebih konsisten dalam pemasaran kandungan anda. Yang penting, kreativiti dalam menyampaikan mesej anda itu akan menentukan impak yang baik atau sebaliknya.