Guna Cara Ini Untuk Naikkan Jumlah Muat Turun Aplikasi Mudah Alih Anda

Oleh Azleen Abdul Rahim

Aplikasi mudah alih yang anda bina itu memang terbaik. Anda bersemangat bila ia diakui sendiri oleh rakan-rakan anda, pengurusan anda dan kenalan-kenalan peribadi anda di media sosial. Kata mereka, ia mudah digunakan, senang difahami, mereka suka dengan kelebihan ciri-ciri yang pantas dan tidak tersekat-sekat dan pilihan warna yang sesuai. Kalau tak meletup di pasaran memang tak masuk akal lah, kata mereka lagi. Dengan kata lain, aplikasi mudah alih anda memang sangat hebat dan berpotensi tinggi untuk berjaya.

Namun yang peliknya setelah lebih 6 bulan berada di AppStore dan Google Play, jumlah pengguna yang memuat turun aplikasi ini amat kecil sekali. Walaupun dibantu dengan pelbagai bentuk pemasaran yang telah dilakukan untuk menyokong proses penyebaran maklumat mengenainya namun hasilnya masih sama. Ini terlalu mengecewakan terutama sekali apabila pelaburan yang telah dikeluarkan menjangkau ratusan ribu ringgit. Projek ini seolah-olah tidak berbaloi langsung. Terasa tekanan dari pihak atasan untuk segera berbuat sesuatu.

Sebenarnya terdapat banyak jenama yang tidak mempunyai masalah dengan aplikasi mudah alih yang mereka bina. Hampir kesemuanya bagus-bagus belaka. Cuma mereka mempunyai sedikit masalah dengan taktik dan teknik yang digunakan bagaimana untuk membuat penyebaran maklumat tentangnya dengan betul dan lebih berkesan. Ini jawapan kepada persoalan yang ada:

Tidak menggunakan taktik Pengoptimuman Enjin Pencarian. Dengan kata lain, dengan tidak mengoptimumkan enjin pencarian, laman web anda pasti tidak akan dijumpai oleh sasaran pengguna. Anda perlu tahu ia akan membantu menaikkan kedudukan laman web anda di Google, Yahoo dan Bing dari berada di mukasurat yang tercorot dan amat jauh terkebelakang ke mukasurat pertama, kedua atau ketiga. Barulah anda akan mudah dijumpai.

Tiada blog. Di dalam laman web anda, kesemua kandungan di dalamnya adalah statik dan tidak diperbaharui setiap hari. Enjin pencarian seperti Google tidak akan ‘memandang’ langsung laman web yang statik. Ini menyebabkan laman web anda tiada dalam senarai indeks Google apabila kemahiran anda dicari. Ini menyebabkan laman web anda tidak dijumpai. Tetapi, dengan menulis artikel atau blog secara berterusan dan teratur, laman web anda akan diindeks dan Google akan mencadangkan anda apabila kemahiran anda di cari oleh pengguna.

Rekabentuk yang salah sebagai muka depan laman web. Oleh kerana ingin cantik, anda tidak meletakkan butang-butang yang sepatutnya di situ. Sebaliknya anda meletakkan segala rekabentuk kosmetik yang tidak perlu, dan ini seterusnya menyebabkan para pengguna yang datang ke laman web anda mengambil masa yang lama untuk mencari butang muat turun bagi aplikasi mudah alih anda. Muka surat utama perlu dibuat dengan rekabentuk yang mudah, tidak perlu terlalu berat dan mempunyai butang muat turun yang mudah dilihat.

Tidak ada pautan untuk ke muka surat utama. Artikel-artikel yang ditulis tidak dibina pautan-pautan untuk menggalakkan para pembaca ke muka surat di mana terdapatnya butang muat turun aplikasi mudah alih anda. Pautan ini perlu dibina dan dimasukkan ke dalam perkataan-perkataan tertentu agar dapat menarik perhatian para pembaca untuk memudahkan mereka memuat turun aplikasi tersebut.

Bahasa di status media sosial anda yang terlalu formal. Apabila pasaran yang anda sasarkan sebagai pengguna aplikasi mudah alih anda terdiri dari golongan remaja atau awal dewasa, anda perlu menggunakan bahasa yang santai sesuai dengan mereka dan bukannya bahasa yang amat profesional dan formal sehingga membuatkan mereka rasa meluat.

Insentif yang disediakan tidak menarik langsung. Pemberian hadiah atau insentif memang satu kaedah yang baik untuk menarik perhatian pasaran untuk melihat aplikasi mudah alih anda dan seterusnya memuatnaik aplikasi tersebut ke telefon pintar mereka. Tetapi apabila hadiah yang ditawarkan itu tidak sesuai dengan sasaran pasaran, memang tidak strategi anda akan gagal. Anda tidak boleh menawarkan pakej mengerjakan umrah kepada golongan yang berumur 18-25 tahun sebagai insentif. Ini merupakan contoh yang terbaik untuk gagal. Sebaliknya berikan insentif yang sesuai kepada mereka, contohnya kad prabayar RM50 percuma. Ini berkemungkinan besar akan membuka mata mereka untuk mengejar hadiah tersebut.