Kek: Dari Facebook ke Meja Makan Pelanggan

Oleh Azleen Abdul Rahim

Secara kasarnya, penjualan kek secara dalam talian tidak nampak begitu menarik dan glamor seperti industri lain namun ia mampu menjana sehingga ribuan ringgit sehari jika ia diusahakan dengan sistematik. Baru-baru ini saya ada menemubual seorang pembuat kek yang juga selebriti dalam talian yang terkenal tentang bagaimana beliau menggunakan hanya Facebook sebagai satu-satunya media sosial bagi menjana pendapatan yang kukuh dan tetap.

Tanpa mempunyai sebarang latar-belakang media sosial dan pemasaran digital secara formal, beliau mampu mempunyai begitu ramai pengikut di Facebook peribadinya. Dengan sedikit sebanyak berpandukan artikel-artikel yang dibacanya tentang pemasaran digital di Utusan Biz dan beberapa majalah serta blog perniagaan, intipati dari sumber-sumber ini banyak membentuk strategi pemasaran beliau. Hasilnya dapat dilihat dengan jelas dengan jumlah tempahan yang diterima setiap hari.

Menurut Puan Azie Surip, kejayaan tidak datang bergolek. Pemasaran digital amat penting baginya kerana ia begitu berkesan dan murah. Setelah beberapa kali menemui kegagalan, kini Puan Azie Surip menggunakan lima strategi penting yang membuatkan perniagaannya berada pada landasan yang betul.

Pertama, pemilik perniagaan kek itu sendiri perlu menjadi seorang yang aktif, menarik dan sosial kena pada tempatnya. Di Facebook, sekiranya anda jarang mengemaskini status terbaru anda di dalamnya anda akan dilihat sebagai seorang yang tidak aktif dan membosankan. Apabila persepsi sebegini dilabelkan kepada anda, agak sukar untuk anda membuat penjenamaan diri dan perniagaan dan seterusnya sukar untuk menjual kek anda. Sebaliknya sekiranya anda kelihatan ceria, status-status di media sosial anda yang juga ceria, tidak membosankan dan menarik, ramai orang akan mula tertarik dengan anda dan ingin menjadi sahabat anda. Sekiranya anda mempunyai profil dan aktiviti-aktiviti sosial anda juga menarik, ramai yang ingin menjadi rakan anda.

Kedua, mempunyai pelanggan tetap dan rakan-rakan yang ramai. Dengan kelihatan menarik, anda perlu mempunyai ramai rakan-rakan di dalamnya. Sekiranya anda hanya mempunyai 200-300 rakan sahaja, jangan risau. Anda perlu kenali mereka dengan lebih rapat, lebih rajin berinteraksi dengan mereka, selalu berjumpa mereka dan bergambar dengan mereka. Pasti dalam perjumpaan itu nanti, anda akan berjumpa dengan rakan-rakan baru yang berada di situ. Dengan kenalan-kenalan baru ini tadi, jadikan mereka sebagai kenalan anda dan juga kenalan di Facebook anda. Dengan interaksi yang aktif di dalam dan juga di luar talian, yang bukan dibuat-buat, jumlah kenalan yang besar akan dapat capai dengan mudah. Lebih ramai kenalan, pelanggan anda juga pasti akan bertambah. Syaratnya, kek anda mestilah sedap.

Ketiga, paparan status Facebook yang tidak melibatkan kek langsung. Menjual setiap hari dan setiap masa akan membosankan ramai rakan-rakan anda. Jangan buatkan mereka lari. Jadi untuk memastikan ini tidak berlaku, 80 peratus dari status anda haruslah yang tidak melibatkan kek. Sebaliknya, ia haruslah berbentuk santai, ceria, gembira, kekeluargaan, percutian, nasihat, visual tentang makanan, gambar dan video yang menarik dan sebagainya. Ini akan mengundang ramai kenalan anda untuk berinteraksi dengan anda selepas itu.

Keempat, paparan visual kek yang telah dibuat. Hanya 20% peratus dari status anda di Facebook sahaja yang anda perlu paparkan tentang ini. Pastikan ianya dilakukan jarang-jarang sekali. Jika tidak dipaparkan langsung, nanti ramai pula yang tidak akan tahu yang anda sebenarnya berniaga dan jika terlalu kerap pula akan mengundang rasa meluat rakan-rakan anda. Jadi, anda perlu seimbang antara kedua-duanya.

Dan kelima, hasil tangan yang baik dan berkualiti pasti akan menjadi buah mulut yang positif. Memuaskan hati pelanggan sebenarnya tidak susah. Anda cuma perlu memastikan jangkaan mereka terhadap kek anda perlu dicapai. Itu sahaja. Contohnya, jika pelanggan anda membayar RM200 untuk kek pertunangannya yang dua tingkat itu harus yang sedap, yang perlu dihantar ke rumahnya sebelum jam 5 petang pada hari Khamis minggu hadapan, anda perlu menyediakan apa yang dijangkakan. Jadi, anda perlu membuat kek yang sedap, dua tingkat, cantik dan perlu dihantar ke rumahnya sebelum 5 petang pada hari Khamis nanti.

Jangan lupa untuk meminta sedikit testimoni dari pelanggan tadi. Ini amat perlu agar jenama anda lebih dikenali ramai.