4 Taktik Pantas Untuk Naikkan Pengikut Instagram Anda

Oleh Azleen Abdul Rahim

Instagram amat berguna kepada syarikat atau usahawan seperti anda yang menggunakan visual, sama ada video pendek, gambar atau kedua-duanya dalam penjualan produk atau perkhidmatan mereka. Memandangkan Instagram tidak membenarkan penggunaan backlink atau rangkaian pendek yang boleh diklik untuk ke laman web atau blog anda, jadi strategi penggunaannya agak berbeza berbanding media sosial yang lain. Guna taktik di bawah ini bagi menaikkan jumlah pengikut Instagram anda dengan cepat .  

Profil yang baik. Hanya di bahagian profil sahaja anda dibenarkan meletakkan alamat laman web anda. Jadi anda perlu mempunyai alamat laman web ataupun alamat blog anda disini. Sekiranya tidak, ia akan menjadi agak sukar untuk anda dalam strategi mengubah para pengikut anda menjadi pembeli nanti. Di samping mempunyai alamat laman web atau blog, anda juga perlu mempunyai profil anda yang unik. Sekiranya anda merupakan peniaga kecil, yang terbaik ialah dengan meletakkan profil anda sendiri dan ‘jual’ profil anda (dan bukannya syarikat anda) di mata para pengikut. Oleh itu anda perlu mempunyai gambar anda sendiri, yang bukan gambar kucing, pasu bunga dan sebagainya. Kemudian letakkan nama anda sendiri, dan nama syarikat atau jenama anda. Sekiranya anda ingin menaikkan jenama syarikat anda dan bukannya diri anda, gambar logo syarikat anda perlu diletakkan sebagai gambar profil, dan kemudiannya nama syarikat serta ringkasan cerita tentang syarikat anda.

Penggunaan hashtag. Dengan meletakkan hashtag, dengan sendirinya Instagram anda akan menjadi mudah dicari. Tetapi perlu ingat, ramai yang seolah-olah kelihatan terdesak untuk mencari pengikut yang ramai sehingga meletakkan hashtag yang terlalu banyak sehingga melebihi status yang ditulis. Berjela-jela hashtag yang ada. Namun anda mungkin tidak sedar yang bukan semua hashtag akan membantu menaikkan populariti anda di Instagram. Yang penting, hashtag anda perlu mempunyai faktor-faktor ini. Spesifik, relevan dengan status anda, tidak terlalu panjang, bersahaja, tidak terlalu formal, menyuntik sedikit emosi, buatkan hashtag anda sendiri dan juga penggunaan semula hashtag yang popular. Dengan kombinasi hashtag yang anda buat sendiri dan yang popular, dengan sendirinya jenama anda akan kelihatan lebih profesional, dipercayai dan mudah dicari.

Peraduan. Selain daripada memuatnaik gambar yang beresolusi tinggi dan video yang menarik, ramai yang tidak menggunakan taktik peraduan bagi menaikkan populariti anda di Instagram. Fikirkan tentang objektif yang anda ingin capai, hadiah yang bakal diberikan dan kemudiannya buatkan satu peraduan yang mudah. Yang penting, galakkan para pengguna untuk tekan butang Follow untuk menjadi salah seorang pengikut anda terlebih dahulu sebelum layak mengambil bahagian dalam peraduan anda. Kemudian gunakan taktik untuk tekan butang Like pada status peraduan tersebut, atau tag kan rakan-rakan mereka, atau gunakan hashtag yang anda tulis yang unik untuk peraduan ini yang diletakkan pada gambar atau video yang mereka buatkan untuk peraduan ini (sekiranya peraduan anda menyuruh mereka membina video atau gambar mereka sendiri). Dengan peraduan, jumlah pengikut anda pasti akan naik dengan mendadak.

Bekerjasama dengan selebriti. Selebriti sebenarnya terbahagi kepada dua jenis, dan anda boleh menggunakan salah satu atau kedua-duanya sekali. Ini kerana mereka telahpun mempunyai jumlah pengikut yang amat ramai, dan anda boleh mengambil kesempatan ini untuk menaikkan jumlah pengikut anda sendiri darinya. Selebriti jenis pertama ialah artis yang popular seperti penyanyi, pelakon, bintang sukan terkenal dan sebagainya. Dengan karier mereka yang hari-hari masuk televisyen, radio dan berita, populariti yang ada dengan sendirinya akan menjadikan Instagram mereka juga popular dikalangan rakyat Malaysia. Paling sedikit pun mungkin dalam 50,000 orang pengikut atau lebih. Selebriti jenis kedua ialah, mereka yang popular di internet ataupun di Instagram sahaja. Mereka dikenali sebagai selebriti atas talian. Memandangkan mereka ini aktif di internet, mereka kelihatan begitu ceria, unik dan menarik menjadikan mereka begitu popular sekali. Sekiranya anda mempunyai rakan selebriti yang seperti diatas, tiba masanya untuk anda bekerjasama dengan mereka untuk menaikkan populariti Instagram anda juga.