Kuatkan Penjenamaan Anda Dengan 4 Cara Ini

Oleh Azleen Abdul Rahim

JENAMA anda perlu dimulakan dengan strategi penawaran harapan, dan penuhi harapan yang dijanjikan itu tadi dengan sebaik mungkin. Konsep penjenamaan ini amat penting dalam meluaskan empayar perniagaan anda.

Bayangkan anda bakal membuka satu restoran di Shah Alam, ibu negeri Selangor yang amat terkenal dengan pelbagai jenis restoran, kafe dan tempat-tempat makan yang hebat dan sedap. Kebanyakan restoran atau tempat-tempat makan ini kebanyakannya mempunyai pelanggan mereka yang amat setia, yang sentiasa datang untuk makan makanan kegemaran mereka. Anda tahu Shah Alam adalah diantara satu bandar yang akan menjanjikan pulangan yang baik untuk restoran anda tapi pasarannya amat kompetitif sekali. Persoalannya, bagaimana cara terbaik untuk anda menarik warga Shah Alam dan yang tinggal disekitarnya untuk datang ke restoran anda, dan terus mengunjungi restoran anda sekerap mungkin? Ini mampu dilakukan dengan strategi penawaran harapan kepada mereka, dan penuhi harapan yang dijanjikan dengan baik.

Kenapa penjenamaan penting, dan apa bezanya dengan pemasaran? Ramai menganggap penjenamaan adalah sebahagian dari pemasaran. Sebenarnya ia lebih luas dari itu. Penjenamaan ialah satu persepsi yang anda mahu pasaran gambarkan tentang jenama anda. Sebenarnya anda bermain dengan fikiran para pengguna, dan apakah yang anda mahu mereka fikirkan tentang jenama anda. Ada sesetengah jenama yang sebenarnya tidaklah terlalu besar, yang mempunyai pekerja seramai tidak melebihi 5 orang dan menjalankan perniagaan mereka hanya dari rumah. Namun apabila para pengguna melihat laman web mereka, penggunaan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris mereka dalam laman web tersebut, cara mereka mengendali perniagaan mereka melalui alamat e-mel yang korporat dan pantas, kepada para pengguna yang tidak tahu, mereka pasti akan beranggapan bahawa syarikat ini adalah satu syarikat yang besar. Ini cara permainan persepsi.

Kenapa nilai yang ditawarkan terlalu penting dalam sesuatu perniagaan? Penjenamaan sebenarnya merangkumi value proposition, atau nilai yang jenama anda tawarkan kepada pengguna dan bagaimana nilai tersebut akan membantu memudahkan kehidupan mereka, menjadikan mereka individu yang lebih baik, menikmati sesuatu yang mereka suka dan sebagainya. Tanpa nilai yang dapat difahami oleh para pengguna atau tidak disediakan dengan baik sepertimana yang dijanjikan, maka jenama anda akan dianggap tidak menarik. Apabila sesuatu jenama itu tidak menarik, mereka tidak akan menghiraukan anda. Ada jenama yang menawarkan harga yang jauh lebih murah dari pasaran, yang sukar untuk diperolehi di tempat-tempat lain. Ini salah satu contoh tawaran nilai yang disediakan. Manakala ada juga jenama yang menawarkan pengalaman yang unik yang para pengguna tidak akan jumpa dimana-mana namun perkhidmatan ini ditawarkan harganya agak tinggi. Contoh yang baik ialah Legoland ataupun Universal Studio di Singapura.

Kenapa para pengguna perlu memilih anda, dan bukan orang lain? Dalam penjenamaan, mesej atau pesanan yang cuba disampaikan sama ada di logo, slogan dan juga ayat-ayat yang digunakan dalam mana-mana bentuk pemasaran yang digunakan, perlu diselarikan dengan matlamat anda iaitu kenapa mereka perlu datang ke kedai anda, memilih untuk menggunakan produk atau perkhidmatan anda ataupun datang singgah ke laman web anda dan bukannya orang lain. Untuk melakukan ini dengan cara yang paling efektif, anda perlu tahu siapa sasaran pengguna anda, umur dan lokasi mereka, bagaimana cara mereka membuat pembelian, apakah jenis produk atau perkhidmatan yang mereka suka, harga yang bagaimana yang sesuai untuk sasaran pengguna ini, apakah yang akan membuatkan mereka datang membeli dengan anda, apakah cerita-cerita pelanggan pesaing anda kepada kawan-kawan mereka, dan sebagainya. Apabila data seperti ini dikumpul, diperolehi dan persoalan-persoalan ini dijawab dengan baik lebih awal, maka anda akan mampu rekabentuk produk-produk dan perkhidmatan anda untuk sesuaikan dengan ‘permintaan’ yang wujud. Dengan ini, kejayaan pasti akan diperolehi dengan lebih awal.

Kenapa janji perlu dipenuhi dengan konsisten? Kedai perlu dibuka dengan konsisten mengikut masa yang dijanjikan yang ditulis pada papan tanda, kualiti makanan perlu konsisten kesedapannya, perkhidmatan mengambil pesanan makan dan penghantaran ke meja-meja makan perlu teratur dan konsisten cepatnya. Konsisten perlu menjadi faktor yang tidak boleh tidak, mesti wujud dalam strategi penjenamaan anda. Tanpanya, restoran anda pasti akan menghadapi masalah.