2016: Ke Mana Arah Tuju Teknologi Dalam Talian?

Oleh Azleen Abdul Rahim

SAYA amat tertarik membaca artikel yang ditulis oleh Roee Ganot di portal Business2Community yang berkisar tentang laporan yang dibuat beberapa penyelidik berkenaan aliran masa kini dan halatuju teknologi dalam talian dan pemasaran. Laporan-laporan yang disediakan itu begitu menyeluruh yang tidak dapat saya senaraikan semuanya di sini untuk persediaan anda menghadapi ‘peperangan’ media di luar sana dalam mendapatkan perhatian para pengguna.

Kini, kita berapa di suku ketiga tahun 2016. Hanya beberapa bulan sahaja lagi kita akan berada di ambang 2017. Beberapa bulan ini perkembangan yang wujud di internet mula memberikan kita sedikit data tentang internet, dan ini adalah beberapa bahagian penting yang saya dapat petik darinya.

Video kini segala-galanya. Impak yang disediakan oleh video jauh lebih hebat dari penulisan artikel, poster ataupun infografik. Kemalasan kita yang melampau untuk membaca membuatkan video dijadikan alat penting dalam mendapatkan maklumat. YouTube tidak lagi menjadi pentas utama untuk ini, kini Facebook, Twitter, Snapchat dan Vimeo juga mula mendapat perhatian ramai.

Jenama masih lagi menggunakan pemasaran tradisional. Google dan Facebook kini mengawal 76 peratus pengiklanan atas talian dunia. 76 peratus! Namun walaupun sering digembar-gemburkan yang media tradisional dikatakan hampir mati atau sudahpun mati, ia masih dijadikan media penting dalam penyampaian mesej oleh banyak jenama. Mereka masih setia dan yakin dengan pelaburan yang dibuat seperti iklan di suratkhabar, televisyen, radio, papan tanda dan baucar selain katalog dan majalah.

Ekonomi perkongsian. Perkembangan sharing economy atau ekonomi perkongsian ini kian mendapat tempat di kalangan para pengguna masa kini. Laporan ini menulis, kereta merupakan aset yang semakin kurang digunakan terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah. Selain kos yang tinggi untuk membayarnya setiap bulan, harga petrol dan kos-kos lain yang datang dengannya seperti cukai dan belanja untuk penyelenggaraan, faktor tol dan tempat letak kereta juga memainkan peranan penting kenapa kereta hanya digunakan tidak sampai 40% dari yang sepatutnya di sana walaupun secara purata, mereka mempunyai di antara 2-3 buah kereta untuk setiap isi rumah. Kadar lesen yang dimiliki oleh golongan muda juga semakin menurun, kerana mereka menganggap memiliki kereta tidak lagi penting. Sebaliknya mereka lebih suka berkongsi kereta untuk kemana-mana sahaja. Dengan perkembangan ini, Uber mula mendapat tempat dan begitu drastik sekali kadar permintaan terhadap perkhidmatannya. Ia lebih mudah, murah dan menjimatkan, tidak perlu memandu dan sebagainya.

Pembayaran melalui telefon pintar. Perkembangan unik ini mula terasa apabila Apple melancarkan Apple Pay, Samsung dengan Samsung Pay dan WeChat mula kembangkan WeChat Payment mereka dengan begitu agresif sekali di China. Dengan hanya mempunyai aplikasi ini di telefon pintar, yang dirangkaikan dengan akaun bank yang ada, setiap pembayaran boleh dibuat dengan lebih mudah dan cepat tanpa menggunakan tunai ataupun kad-kad kredit dan debit.

Pelaburan dalam aplikasi bebas tangan yang hanya menggunakan suara meningkat. Teknologi yang dikenali sebagai Artificial Intelligence atau Kecerdasan Rekaan ini mula mendapat perhatian apabila kejayaan Siri oleh Apple dan Cortana oleh Microsoft dalam membantu pengguna di Amerika Syarikat dan Eropah mendapatkan sesuatu melalui telefon pintar mereka dengan hanya memberi arahan dengan bersuara. Melalui Kecerdasan Rekaan, ciri ini akan dimasukkan sama ada di dalam telefon pintar, peranti yang dipakai atau wearables atau peralatan elektronik di rumah dan pejabat. Apabila ia dihidupkan, arahan-arahan seperti menukar siaran televisyen, membuat rakaman untuk sesuatu episod drama, menghidupkan lampu dan penghawa dingin, dan sebagainya akan dilakukan dengan hanya bersuara.

Formula baru kejayaan perniagaan runcit atau retail. Laporan yang dibuat oleh Roee Ganot juga mendapati semakin ramai jenama runcit yang berjaya menggunakan formula ini untuk melakukannya. Teknologi + Media + Pengedaran Mesej Yang Baik + Maklumbalas Pengguna + Mesej Yang Berkait Rapat Dengan Kehidupan Pengguna = Kejayaan Besar. Ini bermakna, jenama-jenama ini menggunakan teknologi terkini untuk proses pengumpulan data sebagai persediaan untuk menyediakan produk yang diperlukan, dapatkan beberapa maklumbalas pengguna tentang jenama mereka dan kemudian menggunakan media-media yang sesuai untuk memastikan pengedaran mesej yang meluas kepada sasaran pasaran. Mesej yang disampaikan pula dekat dengan kehidupan harian pelanggan mereka.