4 Idea Gerila Ini Boleh Cepatkan Penjualan Produk Anda Di Internet

Oleh Azleen Abdul Rahim

Sekiranya anda menjalankan perniagaan dalam talian, pastikan anda melakukan pelbagai promosi untuk meningkatkan jualan produk dan perkhidmatan anda. Ini perkara yang paling asas sekali. Kita semua tahu, kebanyakan perniagaan dalam talian gagal kerana tiadanya promosi. Di sini saya ingin memberikan empat idea pemasaran yang boleh dianggap kritikal yang boleh anda lakukan sebelum memulakan promosi anda habis-habisan. Terburu-buru tidak akan membawa anda kemana-mana. Jom kita lihat empat strategi ini.

Buat laman web yang menjual. Sebelum anda mewujudkan laman jualan dalam talian, mula-mula sekali anda mesti tahu tentang siapakah sasaran pelanggan anda. Setelah mengetahui sasaran pelanggan, ia akan memudahkan anda untuk mewujudkan satu laman web berbentuk jualan  yang mana anda mesti mempunyai komponen-komponen penting seperti pengenalan, ceritakan masalah-masalah yang wujud dan bagaimanakah ia terjadi, apakah penyelesaiannya, butiran produk atau perkhidmatan yang anda sediakan, ciri-ciri dan faedah yang produk atau perkhidmatan anda tawarkan, kenapa mereka perlu memilih produk anda, barang-barang bonus dan percuma, jaminan yang diberikan, cara bagaimana tempahan dan  pembayaran boleh dilakukan serta khidmat pelanggan automatik. Anda perlu pastikan yang para pengguna anda melihat dan merasakan bagaimana produk atau perkhidmatan anda menyelesaikan masalah mereka. Sediakan juga ruangan pembelian yang lengkap dengan pembayaran elektronik. Perlu ingat, tidak kira walau sehebat mana pun produk atau perkhidmatan anda, sekiranya laman web anda tidak berjaya menjual, maka orang masih tidak akan membeli.

Menawarkan hadiah percuma. Jika anda sedang tercari-cari cara bagaimana untuk membuatkan para pengguna tertarik dengan produk atau perkhidmatan anda, tawaran hadiah percuma kepada mereka mungkin bakal satu pilihan yang tepat. Semua orang suka hadiah percuma dan anda boleh mengambil kesempatan ini untuk membantu mereka membuat keputusan dengan tawaran hadiah tadi. Hadiah yang berbentuk digital seperti klip audio atau podcast, newsletter juga diantara yang disyorkan tetapi kalau boleh anda patut menyediakan hadiah yang berbentuk fizikal, seperti baucar diskaun, tawaran rekabentuk logo percuma dari NSE, minuman coklat panas dari Starbucks percuma, ataupun tiket wayang dari Golden Screen Cinema juga bagus. Kelebihan menyediakan tawaran-tawaran seperti ini ialah,  anda berpeluang  mengumpul alamat-alamat e-mel setiap pengunjung laman web anda untuk kegunaan masa depan. Memberi sesuatu secara percuma akan menambahkan lagi nilai jenama anda. Ini akan memudahkan lagi pelawat membuat keputusan untuk membeli dari anda. Baru-baru ini, saya ada melihat satu jenama produk insurans dalam talian UforLife sering memberikan hadiah-hadiah unik kepada para pelanggan mereka. Mereka menghadiahkan kad-kad Touch N Go dan yang terbaru baucar membeli-belah dari Aeon. Taktik ini memang terbaik yang boleh anda contohi untuk perniagaan anda.

Manfaatkan media sosial. Media sosial merupakan strategi yang paling penting jika anda ingin menjalankan pemasaran secara dalam talian. Melaluinya, para pengguna mampu untuk berinteraksi dengan anda secara langsung. Rangkaian media sosial seperti Facebook, Twitter, LinkedIn, Instagram dan juga YouTube misalnya boleh menjadi saluran penting untuk para pelanggan untuk berhubungan dengan anda dengan lebih dekat lagi. Sebelum ini, ia hanyalah satu saluran para pengguna untuk bersosial secara dalam talian. Sebaliknya kini ia telah digunakan dengan begitu agresif sekali oleh jenama-jenama kecil mahupun besar untuk membuat pemasaran secara digital untuk menarik perhatian dan minat pembeli. Jangan risau sekiranya para pengunjung tidak membeli, yang penting anda perlu terus menggunakan media sosial untuk mengukuhkan penjenamaan anda dengan merapatkan hubungan anda dengan para pengunjung yang datang.  Pembelian akan lebih mudah dilakukan apabila hubungan semakin rapat, dan apabila kepercayaan kepada jenama anda mula wujud.

Bantuan ‘askar-askar’ yang ramai di media sosial. Buah mulut atau pemasaran dari mulut ke mulut teramat penting dalam setiap strategi pemasaran. Strategi ini digunapakai sejak berzaman lagi dan walaupun kita kini berada di tahun 2016, namun ia tetap menjadi senjata utama setiap pemasar tidak kira digital atapun tradisional. Jadi anda perlu mempunyai beberapa orang atau seramai mungkin ‘askar’ atau duta-duta yang yakin dan percaya dengan produk anda yang mereka akan ceritakan kepada orang lain tanpa disuruh. “Engkau kena cuba benda ini. Aku dah guna dan memang hebat.” Ini yang ayat yang paling diidam-idamkan oleh setiap pemasar. Apabila jenama anda menjadi viral dan diketahui ramai, secara tidak langsung jualan anda juga akan lebih baik.