8 Perniagaan Yang Anda Boleh Mulakan Dari Rumah

Oleh Azleen Abdul Rahim

DALAM satu forum baru-baru ini, saya ditanya oleh beberapa peserta tentang apakah bentuk perniagaan dalam talian yang sesuai untuk mereka mulakan. Soalan yang mudah tetapi amat sukar untuk dijawab.

Untuk memulakan apa jua perniagaan memang senang, tetapi untuk memastikan yang perniagaan itu bakal menguntungkan, tidak bermasalah dan tidak menggunakan modal yang besar agak sukar difikirkan dalam masa yang singkat kerana ia memerlukan sedikit kreativiti dan perancangan yang teliti. Ciri-ciri perniagaan dalam talian yang efektif hendaklah benar-benar unik.

Pertama, sasaran pasaran hendaklah dari golongan yang mampu membayarnya, yang bakal membeli berulang kali. Kedua, ia mampu menarik minat para pengguna apabila mereka melihat atau mendengarnya. Ketiga, produk atau perkhidmatan yang disediakan itu hendaklah berkualiti tinggi. Keempat, harga yang ditawarkan hendaklah kelihatan mampu milik dan akhir sekali syarikat atau individu yang menjualnya hendaklah kelihatan gah dan boleh dipercayai.

Faktor yang perlu diutamakan dalam memilih perniagaan yang sesuai ialah faktor tidak meniru orang lain. Apabila perniagaan anda sama dengan orang lain, menjual apa yang mereka jual, mempunyai sasaran pasaran yang sama dan mempunyai modus operandi yang juga sama seperti mereka, rasanya baik anda hentikan niat anda itu. Besar kemungkinan, ia akan gagal. Hentikan dari menjual produk yang beribu-ribu orang sedang menjualnya sebab pelanggan sukar untuk bezakan antara anda dan orang lain. Jadi perniagaan seperti minyak wangi, kad prabayar, baju dan tudung terutamanya perlulah dielakkan.  Cuba anda lihat senarai di bawah, mungkin salah satu dari perniagaan-perniagaan ini sesuai dengan anda.

Perniagaan berbentuk kreatif. Sekiranya anda seorang yang kreatif dan mahir dengan dunia rekabentuk, anda boleh sediakan perkhidmatan membuat laman web, blog, rekabentuk logo, poster, infografik, karikatur, fotografi dan juga video.

Juruperunding. Anda amat mahir tentang sesuatu subjek. Jadi gunakan kepakaran anda ini untuk membantu sesiapa yang mempunyai keperluan. Sebagai contoh, sekiranya anda mahir dalam subjek media sosial misalnya, anda boleh membantu syarikat-syarikat di luar sana yang mempunyai masalah tentang ini.

Penulisan. Penulis mampu menjana pendapatan yang amat baik sekiranya hasil kerja mereka berkualiti tinggi. Syarikat-syarikat berjenama besar selalu mengupah mereka untuk menulis blog sebagai penulis bayang ataupun shadow writer.

Bantuan teknikal. Anda mempunyai lulusan atau pengetahuan meluas tentang teknikal, dan boleh membaiki televisyen, radio, telefon pintar dan beberapa peralatan elektronik rumah. Jadi gunakan kebolehan yang anda ada untuk tujuan ini.

Kraftangan. Hasil kerja tangan anda amat mengagumkan. Gunakan kelebihan ini untuk menjualnya kepada sesiapa atau syarikat yang ingin membeli hasil kreativiti anda. Salah satu produk yang syarikat-syarikat besar mencari ialah gubahan bunga untuk majlis-majlis tertentu, lukisan yang abstrak atau beberapa bentuk kraftangan yang lain yang bersesuaian.

Buka ‘kedai’ anda di direktori jualan. Direktori-direktori yang dimaksudkan di sini ialah seperti Lazada, Zalora, eBay, Lelong, Mudah, Taobao, Alibaba dan lain-lain. Memandangkan pasaran yang anda masuk ini berbentuk global, anda perlu tahu, bersedia dengan produk yang sesuai, bagaimana untuk membuat penghantaran dan akhir sekali bagaimana proses pembayaran yang harus dibuat. Direktori-direktori ini sudah pasti akan membantu dari aspek pemasaran jenama anda dan juga proses menyebaran maklumat secara lebih besar dan dinamik tentang produk-produk anda.

Perkhidmatan am. Orang semakin sibuk dan ramai berfikir yang masa semakin suntuk untuk apa sahaja sekarang ini. Sekiranya anda tidak mempunyai kemahiran tertentu tetapi mempunyai motosikal, atau basikal sekalipun, anda boleh menyediakan perkhidmatan am atau dikenali juga sebagai runner kepada para pengguna. Anda boleh membantu mereka untuk mengambil anak dari sekolah, menghantar surat atau barang, menghantar kereta ke bengkel untuk diselenggara, mengambil sesuatu dari seseorang, malah untuk membeli makanan sekalipun.

Kulinari dan pastri. Gunakan kemahiran anda untuk menjual hasil tangan atau kulinari yang dimasak kepada para pelanggan. Dengan memastikan ia sedap dan enak dimakan, hampir pasti masakan dan pastri anda akan menjadi buah mulut orang. Mereka akan terus memesan dan menjadi pelanggan tetap anda.

Dengan kombinasi model perniagaan anda yang unik ini, yang lain dari yang lain dan dibantu oleh rangkaian media sosial anda, tunggu hasilnya nanti.