Rancangan Perniagaan Anda Perlu Ada 9 Kriteria Ini

Oleh Azleen Abdul Rahim

APABILA anda bercakap tentang perniagaan dalam talian, anda tidak dapat lari daripada merancangnya terlebih dahulu. Kalau dahulu, anda perlukan satu perancangan yang baik, tetapi sekarang perancangan anda perlu baik dan juga kreatif. Tanpa kedua-dua ini, anda pasti tidak terlawan dengan persaingan yang gila di luar sana. Jadi, sebaik-baik rancangan ia perlu ditulis dengan baik, tidak statik dan sentiasa dikemaskini mengikut masa. Tidak kisah jika ia disediakan untuk pelabur yang ingin melabur dalam perniagaan anda atau hanya sebagai garis panduan dalaman, ia tetap penting dalam menjayakan perniagaan itu sendiri.

Menurut kaedah yang dikenali sebagai Lean Canvas, sekiranya anda mampu menjawab soalan-soalan strategik ini, anda bakal mempunyai rancangan perniagaan dalam talian yang bakal menggegar dunia.

Apakah masalah yang anda ingin selesaikan? Persoalan ini nampak mudah tapi jawapannya tidak semudah yang disangkakan. Perniagaan dalam talian anda perlu menyelesaikan satu atau dua masalah yang dihadapi oleh para pengguna di luar sana. Jika masalah yang anda selesaikan itu amat membantu dalam kehidupan seharian mereka, maka dengan sendirinya perniagaan anda ini akan menjadi relevan. Para pengguna akan mencari anda, dan bukan sebaliknya.

Siapakah segmen pelanggan anda? Anda perlu tahu golongan pengguna yang bagaimana yang akan menjadi sasaran anda. Adakah golongan muda di bandar yang baru bekerja, atau pengguna anda ialah wanita yang berumur 40-an dan ke atas yang berada di luar bandar? Ambil sedikit masa untuk anda kenalpasti betul-betul siapakah yang bakal menggunakan produk atau perkhidmatan anda. Sasaran yang tepat akan menentukan jualan yang baik.   

Kenapa anda? Apabila anda memulakan perniagaan dalam, hampir pasti anda akan ada pesaing. Para pengguna mempunyai pilihan di tangan mereka. Jadi, kenapa mereka perlu memilih anda dan bukan jenama yang lagi satu itu? Cuba cari jawapan yang paling baik untuk soalan ini dan saya pasti selepas ini anda tidak akan menghadapi masalah walaupun mempunyai persaingan sengit.

Apakah penyelesaian yang anda sediakan? Produk atau perkhidmatan yang anda sediakan itu perlu mempunyai ciri-ciri yang menjawab soalan yang pertama tadi. Senaraikan ciri-ciri tersebut? Pastikan ia ringkas dan mudah difahami oleh para pengguna.

Saluran apakah yang anda gunakan? Saluran disini bermaksud bagaimanakah cara anda membuat penjualan kepada para pengguna. Adakah melalui wakil jualan di seluruh negeri, atau secara langsung, secara dalam talian atau tradisional, atau anda menggunakan agen-agen dropship atau bagaimana. Ceritakan.

Dari mana sumber pendapatan anda? Anda perlu tahu siapakah yang bakal menjadi pelanggan berbayar anda. Adakah para pengguna itu sendiri secara langsung, atau wakil jualan anda? Adakah anda perlu membayar komisen kepada agen-agen dropship anda, atau bagaimana?

Bagaimanakah struktur kos anda? Senaraikan kos-kos yang wujud di sini. Anda perlu tahu dengan terperinci setiap kos tetap, kos semasa dan perbelanjaan-perbelanjaan lain agar anda dapat membuat bajet yang tepat.

Apakah ukuran metrik yang digunakan untuk mengukur kemajuan anda? Contoh-contoh ukuran metrik yang boleh anda gunakan ialah seperti jumlah trafik yang datang ke laman web anda, berapa lama mereka berada di laman web anda, jumlah pengikut anda yang melanggani blog anda, jumlah pengikut anda di media sosial tertentu, berapa ramai pelanggan berbayar anda dan lain-lain lagi. Ukuran metrik ini perlu diukur berdasarkan jangkamasa tertentu agar kita tahu sama ada strategi anda ini efektif ataupun perlu diubah.

Apakah kelebihan anda yang orang lain tidak ada? Pasti anda mempunyai sesuatu kelebihan yang pesaing anda tidak ada. Dapatkan kelebihan itu, dan pengguna perlu tahu yang anda mempunyai kelebihan itu dan perlu memilih untuk membeli dengan anda, dan bukan dengan orang lain.

Dengan terjawabnya soalan-soalan ini, anda akan ‘nampak’ ke mana halatuju, kekuatan dan kelemahan yang ada. Ketika saya menyiapkan rancangan perniagaan saya dahulu, sasaran saya adalah benua Asia. Saya ingin mengubah cara bagaimana anda mampu mendapatkan kandungan untuk media sosial, laman web dan blog dengan lebih berkualiti dan murah. Jawapan yang ada pada pelan perancangan Lean Canvas saya sentiasa berubah mengikut masa. Lama kelamaan, ia menjadi lebih kuat dan jitu.