Tiada Laman Web? Gantikan Dengan Ini

Oleh Azleen Abdul Rahim

ANDA tidak perlu risau sekiranya pelan perniagaan anda tidak mempunyai laman web sebagai sesuatu yang kritikal buat masa ini. Mungkin kerana faktor kos yang agak tinggi untuk itu, ataupun mungkin kerana anda masih belum lagi bersedia untuk ini. Namun, anda tahu yang anda perlu mempunyai ‘rumah’ untuk menempatkan semua maklumat tentang syarikat anda, senarai produk dan perkhidmatan yang anda jual, bagaimana untuk menghubungi anda dan yang paling penting sekali untuk terus menjalinkan hubungan yang rapat dengan komuniti anda.

Bagi menggantikan laman web, anda boleh menggunakan Halaman Facebook atau Facebook Page dan juga Halaman LinkedIn atau LinkedIn Page sebagai ganti. Permulaan ini hanyalah sementara sehingga anda betul-betul kukuh dan bersedia untuk mempunyai laman web anda sendiri. Kedua-dua halaman ini percuma untuk dibina. Apa yang anda perlu sekarang ialah akaun Facebook dan LinkedIn.

Kenapa Halaman Facebook? Ia penting kerana terdapat lebih dari satu billion pengguna yang menggunakan Facebook pada satu-satu masa. Malaysia merupakan salah satu negara yang tertinggi yang mempunyai pengguna yang aktif dan hampir kesemua orang yang anda kenal dan tidak kenal mempunyai akaun Facebook.

Facebook melarang penggunanya mengambil kesempatan ke atas akaun peribadi yang dibuat bagi tujuan perniagaan. Dengan pengenalan algoritma terbaru mereka tahun lalu, mereka secara diam-diam tidak akan memaparkan status anda sekiranya anda menjual di akaun peribadi. Terdapat ramai pengguna yang tidak sedar tentang perkara ini dan mereka hanya membuat kerja yang sia-sia. Oleh itu, anda perlu membuka satu Halaman Facebook yang khas dibuat untuk perniagaan. Apabila anda menyediakan Halaman Facebook anda, pastikan gambar-gambar yang dipilih adalah sesuai, unik dan mempunyai resolusi yang tinggi serta tidak meniru mana-mana jenama lain. Kemudian masukkan segala maklumat tentang perniagaan anda. Setelah semuanya selesai, masukkan semua senarai produk atau perkhidmatan anda di bahagian Kedai atau Shop. Ya betul, anda boleh ada kedai di sini yang memaparkan kesemua produk yang anda jual. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mempromosikannya nanti. Setiap apa yang anda masukkan akan mempunyai pautan masing-masing yang membolehkan anda berkongsi tentang benda tersebut di mana-mana laman media sosial. Sama ada benda itu berbentuk produk, perkhidmatan, status yang dimuat naik, gambar dan juga artikel-artikel yang dikongsi. Apabila pautan yang dikongsi tadi di klik, maka mereka akan dihantar terus ke status Halaman Facebook itu tadi tidak kira dari mana mereka datang. Halaman Facebook ini amat sesuai sekiranya perniagaan anda bersifat runcit, iaitu yang mempunyai pelanggan yang terdiri dari individu.

Kenapa Halaman LinkedIn? LinkedIn ialah satu rangkaian media sosial yang amat penting sekiranya perniagaan anda lebih ke arah profesional yang mempunyai pelanggan yang terdiri dari syarikat-syarikat. Anda juga perlu mempunyai akaun di LinkedIn sekiranya anda memerlukan pelabur, atau ingin mempunyai hubungan terus dengan ketua-ketua pegawai eksekutif, individu-individu yang mempunyai peranan yang penting dalam sesuatu industri dan juga profesional dari luar negara. Di sini, syarikat anda bakal didedahkan dengan komuniti yang amat profesional. LinkedIn juga mempunyai halaman perniagaannya sendiri yang dikenali sebagai Halaman LinkedIn atau LinkedIn Page. Ia seakan-akan Halaman Facebook tetapi khusus kepada komuniti LinkedIn sahaja. Di sini juga anda perlu membina profil syarikat anda. Kelebihan yang ada di LinkedIn yang tidak ada di Facebook ialah anda boleh menulis dan menerbitkan artikel anda sendiri secara dalam talian. Sebaik sahaja diterbitkan LinkedIn akan menghantar notifikasi kepada seluruh pengikut kita tentang artikel yang baru diterbitkan tadi. Dengan kelebihan ini, anda boleh secara tidak langsung mempromosikan jenama anda melalui artikel-artikel anda kepada komuniti dan pengikut anda di sini. Lama kelamaan berkemungkinan yang besar, beberapa orang pengikut anda akan tertarik dengan pendapat, pendirian dan pandangan anda, dan selepas itu mengajak anda untuk membuat kerjasama.

Halaman Facebook mempunyai kelebihan dari aspek kedai yang tidak dimiliki oleh LinkedIn. Jadi anda boleh menggunakan pautan kedai anda di Halaman Facebook untuk dipromosikan di LinkedIn. Begitu juga dengan Halaman LinkedIn yang mempunyai kelebihan dari segi penulisan dan penerbitan artikel yang boleh dikongsikan di Halaman Facebook.

Ini adalah langkah alternatif yang boleh diambil sekiranya jenama anda masih lagi baru dan sedang berkembang pesat. Apabila sampai di satu tahap dimana jenama anda berada pada paras tertentu, memiliki satu laman web amat penting untuk diadakan kerana ia bakal melonjak jenama anda lebih jauh lagi.