Apakah Itu Pengaruh Mikro?

Oleh Azleen Abdul Rahim

ANDA pasti akan mempunyai beberapa orang kawan dalam rangkaian media sosial anda yang agak terkenal. Tidak kira sama ada di Facebook, Twitter, Instagram mahupun LinkedIn, akan ada 2-3 orang yang seolah-olah seperti selebriti di situ. Mereka mempunyai beribu-ribu rakan dan pengikut di sana. Ada yang menganggap mereka ini idola mereka. Apa sahaja yang mereka tulis, cerita dan kongsikan di status mereka setiap hari, akan mempunyai beratus-ratus Like, Comment ataupun akan dikongsi oleh rakan-rakannya selepas itu.

Sebenarnya mereka juga orang biasa seperti anda. Bezanya ialah personaliti. Mereka yakin dengan personaliti yang mereka sendiri dan tahu dimana kelebihan mereka yang orang lain tidak miliki. Dengan menggunakan kelebihan ini ia membuatkan setiap kali mereka memuatnaik status terbaru di media sosial, ada sahaja orang yang akan suka, komen dan juga kongsi. Padahal apa yang mereka muatnaik itu hanyalah gambar dan video biasa sahaja.

Mereka ini dikenali sebagai individu yang mempunyai pengaruh mikro atau micro influencer. Mereka mampu untuk mempengaruhi rakan-rakan dan pengikut mereka berfikir, dan secara tidak langsung mempengaruhi mereka membuat keputusan tentang sesuatu. Mereka ini mempunyai pengikut seramai 2-3 ribu orang dan ada yang sampai mencecah 50,000 orang.

Ini membuka mata jenama-jenama besar untuk bekerjasama dengan individu-individu ini. Selain dapat menjimatkan kos untuk membayar iklan di Facebook atau Instagram misalnya, mereka hanya membayar sedikit kepada individu-individu ini untuk menaikkan status tentang produk tertentu dan cuba untuk mempengaruhi rakan-rakan secara dalam talian sahaja untuk membeli. Taktik ini kelihatan mudah, tidak terlalu memujuk dan bersahaja. Cara mereka menulis status, memuatnaik poster atau video juga berlainan daripada iklan-iklan biasa kita lihat. Ia akan kelihatan lebih peribadi dan tidak komersil. Jenama-jenama ini tidak memberikan ayat tetapi hanya memberikan beberapa panduan sahaja. Ayat perlu ditulis sendiri oleh individu-individu yang mempunyai pengaruh mikro ini agar nampak lebih bersahaja.

Dari aspek algoritma media sosial pula, status yang tidak bersifat komersil tidak akan dilarang dan sentiasa dipaparkan di newsfeed. Facebook terutamanya mempunyai peraturan yang amat ketat berkenaan ini kerana mereka lebih menggalakkan para jenama untuk mempunyai Halaman Facebook atau Facebook Page daripada berniaga di akaun persendirian. Mereka tidak akan teragak-agak untuk menyenarai hitamkan mana-mana individu yang cuba berniaga di akaun peribadi sendiri.

Sekiranya anda mempunyai jenama, dan ingin membuat sebaran tentangnya di media sosial, cara terbaik ialah dengan menggunakan taktik ini. Cuba anda lihat rakan-rakan anda atau senarai rakan-rakan kepada rakan-rakan anda yang mempunyai ramai kenalan. Dapatkan mereka yang mempunyai kenalan dan pengikut tidak kurang dari 4,000 orang. Sekiranya anda memilih untuk bekerjasama dengan 5 orang contohnya, anda mungkin bakal mempunyai 20,000 orang yang bakal melihat apa yang anda sediakan. Cuma, pastikan yang status, gambar atau video yang diberikan kepada individu-individu ini menarik dan orang tidak jemu melihatnya.

Contoh yang baik ialah selebriti Hollywood Kim Kardashian. Tidak berapa lama dahulu beliau hanyalah salah seorang pengikut Paris Hilton, yang merupakan keluarga pewaris rangkaian hotel Hilton. Kim Kardashian bukan sahaj tidak terkenal, dia juga tidak tahu menyanyi, berlakon dan tiada bakat-bakat seni yang lain. Tetapi dia mempunyai paras rupa, fizikal dan personaliti yang menarik. Dia bijak, kerana tahu yang orang memang suka menjaga tepi kain orang lain, satu sikap yang memang tidak akan dapat diubah. Jadi apa yang dia lakukan ialah dengan berkongsi kehidupan sehariannya dan keluarganya, dari pagi sampailah ke tengah malam tentang apa sahaja yang mereka buat, makan, dengan siapa mereka berjumpa dan sebagainya secara langsung di media sosial.

Apabila Kim dedahkan personalitinya keluar, orang mula tertarik untuk mengikutnya. Bukan itu sahaja, para jenama yang besar cuba mengambil kesempatan atas status selebriti beliau tadi. Mereka mula menaja pakaian, kasut, kosmetik dan apa sahaja yang dapat Kim tonjolkan. Kini, beliau bukan sahaja berstatus selebriti dan mempunyai beberapa kontrak dengan pihak MTV untuk rancangan-rancangan Keep Up With The Kardashian beliau, dia juga telahpun berumahtangga dengan penyanyi terkenal dan berkeluarga.

Individu yang mempunyai pengaruh mikro ini adalah salah satu trend pemasaran digital terbaharu.

2 Replies to “Apakah Itu Pengaruh Mikro?”

Comments are closed.