Trafik Internet: Teknologi Lama Masih Kalahkan Facebook

Oleh Azleen Abdul Rahim

Menurut satu artikel yang diterbitkan oleh The Journal, iaitu majalah teknologi dalam talian yang berpusat di Ireland, trafik atau para pengunjung yang dihantar oleh Facebook ke laman-laman web yang berdaftar di seluruh Ireland sebenarnya tidaklah sebanyak mana seperti yang digembar-gemburkan. Sebenarnya, sumber yang lebih banyak menghantar para pengunjung ke laman-laman web ini ialah e-mel. Bukan itu sahaja, e-mel telah menghantar sejumlah trafik yang jauh lebih besar berbanding semua rangkaian media sosial sekiranya digabungkan seperti Facebook, Twitter, Instagram, LinkedIn dan sebagainya. Ini diketahui setelah mereka mengkaji data-data yang dikutip daripada beberapa puluh juta laman-laman web terkenal di negara itu yang mempunyai ciri e-dagang didalamnya selama setahun. Pelik bukan?

Wolfgang Digital, agensi pemasaran yang membuat kajian ini juga berkata e-mel merupakan sumber ketiga terbesar yang bertindak sebagai agen penghantaran pengunjung selepas enjin pencarian Google dan aliran trafik yang datang secara langsung ke laman-laman web. Ini setelah mereka mengkaji data-data yang dikutip daripada beberapa puluh juta laman-laman web terkenal di negara itu yang mempunyai ciri e-dagang didalamnya selama setahun.

Saya tidak hairan apabila membaca artikel ini kerana memang diketahui umum, para pemasar digital profesional (tetapi sebenarnya amatur) amat gemar menggunakan media sosial yang kononnya bagus tanpa berfikir panjang. Mereka amat jarang membuat rujukan terlebih dahulu tentangnya. Dengan tidak semena-mena ramai pula yang mengatakan yang ia bagus, efektif dan hebat. Mereka kemudiannya terus membuka akaun, menggunakan aplikasi itu dan mengeluarkan wang yang begitu banyak untuk membeli iklan di dalamnya. Akhirnya mereka hanya akan membuang masa dan wang ringgit apabila hasil yang diidam-idamkan itu tidak muncul.

Contoh yang baik ialah Facebook. Ramai yang masih lagi belum sedar dari mimpi yang mana apabila anda memuatnaik satu status baru yang dibiarkan berada di situ secara organik, yang tidak berbayar untuk dapatkan trafik, berkemungkinan besar status anda itu tadi akan hanya mempunyai 5-7 peratus sahaja orang yang akan membacanya. Tetapi, sekiranya status itu tadi dihantar melalui e-mel ke seribu orang, hampir pasti mereka akan mendapat e-mel tersebut akan membukanya. Paling tidak pun, mereka akan membaca tajuk dan sedikit mukadimah di ruangan kandungannya. Pemasaran melalui e-mel sering digunakan secara diam-diam oleh jenama-jenama besar. Tidak seperti para pemasar digital yang kononnya profesional tadi, jenama-jenama ini lebih berhati-hati dalam menggunakan kaedah pemasaran yang lebih efektif.

E-mel yang dihantar ini dikenali sebagai newsletter atau berita berkala, yang disediakan secara berterusan. Mereka menghantar berita berkala ini setiap minggu biasanya. Kandungan e-mel yang dihantar kepada setiap individu yang melanggan itu tadi biasanya berbentuk berita, cerita dan pendapat. Ia diselitkan dengan beberapa promosi dan tawaran mengenai produk atau perkhidmatan yang dijual.

Apabila e-mel seperti ini dihantar dengan kerap, ia secara tidak langsung mengulangi mesej yang cuba disampaikan oleh para jenama ini kepada para pelanggan mereka. Mereka akan terus ulang dan ulang sehinggalah mesej yang cuba disampaikan akan melekat di minda para pelanggan dengan sempurna. Apabila ia melekat, pembelian akan dibuat. Cuma masa sahaja yang akan menentukannya.

Cuba anda lihat betul-betul berita berkala atau newsletter dari AirAsia yang diterima setiap minggu di e-mel anda. Tanpa gagal, e-mel mereka sentiasa sampai. Sehingga pada satu ketika apabila fikiran anda teringat tentang percutian sahaja, perkara pertama sekali yang anda fikirkan ialah AirAsia kerana faktor tambang murah. Ini bermakna mereka telah berjaya ‘membasuh’ fikiran anda untuk berbuat demikian walaupun hakikatnya harga yang ditawarkan tidaklah semurah mana.  

Wolfgang Digital juga menyatakan, faktor kelajuan laman web juga memainkan peranan penting dalam memastikan para pengunjung akan kekal lebih lama dan tidak keluar dalam masa yang singkat. Sekiranya masa yang diambil oleh para pengunjung lebih singkat atau pemilik laman web itu melakukan sesuatu untuk menyediakan kepantasan yang lebih, kebarangkalian untuk para pengunjung itu tadi untuk membuat pembelian akan meningkat sebanyak 8 peratus. Selain kelajuan, kualiti kandungan dan visual yang disediakan juga amat penting bagi memastikan para pengunjung akan terus datang dan datang lagi ke laman web itu serta berada lama didalamnya.

2 Replies to “Trafik Internet: Teknologi Lama Masih Kalahkan Facebook”

Comments are closed.