Yang Penting Bukan Banyak Like, Tetapi Banyak Pembeli

Oleh Azleen Abdul Rahim

MENGAJAR seseorang yang baru hendak menceburi media sosial profesional LinkedIn bukan satu kerja yang mudah. Saya mengambil masa hampir seminggu lebih untuk mengajar seorang penasihat kewangan tentang bagaimana cara yang paling efektif menggunakan LinkedIn minggu yang lalu, dan itu baru pengenalan. Seminggu! Jadi, anda janganlah ambil mudah tentang bagaimana memasarkan jenama anda dan produk yang anda jual di internet kerana walaupun ia nampak mudah namun hakikatnya tidak.

Sebagai usahawan yang mempunyai pelanggan runcit tetapi profesional, dan juga pelanggan korporat, setiap penasihat kewangan tidak boleh tidak mesti menggunakan LinkedIn kerana di rangkaian media sosial ini sahaja pasaran anda berada. Ya betul, mereka juga berada di Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya tetapi di sana mereka hanya ingin bersantai dan tidak ingin mendengar apa-apa benda yang serius seperti pengurusan wasiat, simpanan persaraan, pelaburan dan sebagainya. Mereka ingin bersantai, berbual-bual dan juga berkongsi cerita-cerita yang ringan dengan kenalan masing-masing.

Ramai yang mencari banyak Like, menyuruh seberapa ramai orang menekan butang Like ataupun membayar rangkaian media sosial tertentu untuk mendapatkan Like. Betul, ia akan membantu impresi pertama anda kerana ramai orang yang akan membuka mata besar-besar apabila mereka melihat anda mempunyai berpuluh ribu Like tetapi kenyataannya ia tidak langsung membantu anda dari segi mendapatkan pelanggan berbayar. Anda boleh teruskan usaha mendapatkan Like tetapi pada masa yang sama anda perlu tahu bagaimana untuk menjadikan pengguna yang telah Like ataupun yang belum lagi Like untuk membeli apa yang anda jual. Jom kita lihat apa yang patut anda lakukan.

Pastikan Mereka Percayakan Anda Dengan Melihat Latar Belakang Profil Anda. Membuat orang percaya dalam masa beberapa saat pertama amat sukar, tetapi tidak mustahil. Perkara yang penting ialah gambar anda di profil. Ia perlu kelihatan profesional tetapi tidak terlalu formal. Jangan kelihatan terlalu formal dan skema kerana orang tidak suka berurusniaga dengan orang yang terlalu skema. Sama ada anda ingin berdiri atau duduk ketika bergambar untuk profil anda, anda perlu kelihatan yakin, mimik muka yang seolah-olah anda seorang penasihat kewangan yang paling hebat di dunia tetapi mesra dan yang penting sekali pakaian formal yang sesuai.

Image Header Yang Unik. Selain faktor gambar profil yang profesional tetapi tidak terlalu formal, gambar header juga memainkan peranan penting dalam membina penjualan yang tidak terlalu menjual. Jangan meletakkan gambar-gambar yang mudah dijumpai di Google, tetapi pastikan gambar yang unik kepada jenama anda. Contoh yang baik ialah logo, gambar yang berkait rapat dengan agensi anda ataupun gambar beramai-ramai dengan rakan niaga anda ketika di majlis-majlis formal. Pengguna suka dan ingin mengambil tahu tentang orang lain, jadi dengan gambar header yang menarik, ia akan membuatkan mereka lebih ingin mengambil tahu tentang anda.

Gantikan Pengalaman Anda Yang Kurang Itu Dengan Menulis Artikel. Anda perlu tahu, orang tidak suka dijual atau dipujuk-pujuk untuk membeli sesuatu lebih-lebih lagi produk kewangan. Bagi sesetengah orang, ia tidak perlu dan lebih kepada nice to have atau kalau-ada-baguslah-tetapi-kalau-tidak-ada-pun-tidak-apa. Lagi satu, ada sesetengah individu juga yang berpendapat anda tidak layak memberi nasihat kepada mereka kerana mungkin faktor umur anda yang muda atau individu tersebut beranggapan mereka lebih ‘berduit’ dari anda. Dengan berpandukan kepada tingkahlaku pengguna yang pelik tetapi benar sebegini, anda perlu menjual kepada mereka dengan cara lain. Jual dengan cara tidak menjual, tetapi bercerita. Oleh kerana mereka tidak faham tentang bagaimana menguruskan kewangan dengan lebih baik, berikan kefahaman anda kepada mereka dengan cara menulis artikel tentang senario tertentu, tentang pengalaman para pelanggan anda, tentang apa yang anda baca, tentang apa yang anda dengar, dan sebagainya. Di ayat-ayat tertentu, masukkan pautan ke produk-produk yang anda jual yang terdapat di laman web anda. Biar mereka ‘terjerat’ dan klik di pautan-pautan tersebut.

Berinteraksi Dengan Aktif. Anda perlu berkawan di media sosial seperti LinkedIn ini. Lakukan secara profesional dan tidak terlalu over. Dari berkawan biasa, berikan sedikit masa untuk mereka mengenali anda dan lama-kelamaan mereka akan lebih rapat dan akan membeli apa yang anda jual.