4 Soalan Pemasaran Ini Akan Tentukan Pelanggan Akan Beli Atau Tidak

Oleh Azleen Abdul Rahim

SEBAGAI seorang pakar di bidang anda, sudah semestinya anda mempunyai semua pengetahuan, pengalaman dan kepakaran yang ada tentang subjek anda. Bukan itu sahaja, anda juga tahu bagaimana caranya untuk membantu orang lain menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka. Anda juga tahu yang harga yang anda tawarkan ini amat murah berbanding dengan kualiti produk atau perkhidmatan yang anda sediakan. Namun yang peliknya, kenapa masih belum ada seorang pun yang datang membeli atau sekurang-kurangnya bertanya tentang produk atau perkhidmatan anda ini?

Terlalu ramai usahawan dan profesional yang tidak sedar yang mereka sebenarnya tidaklah begitu mahir dalam menerangkan tentang perniagaan mereka, apatah lagi tentang produk dan perkhidmatan yang ada. Contohnya, apabila anda membuka mulut sahaja, terus orang yang mendengarnya akan terkedu, menguap ataupun akan membelek telefon bimbit mereka kerana tidak faham apa yang diterangkan itu. Di samping itu juga, katalog dan bahan-bahan pemasaran yang ada juga tidak membantu kerana terlalu kompleks ataupun ia memerlukan penjelasan lanjut untuk difahami. Oleh kerana mereka terlalu keliru dan tidak jelas tentang tadi, perlahan-lahan mereka akan menjauhkan diri dari perbualan tadi.

Apabila beberapa orang usahawan tertentu datang menemui saya dan meminta bantuan untuk meningkatkan jualan produk mereka dari aspek kualiti pemasaran yang ada, pertama sekali saya akan mendengar apa yang diceritakan itu. Dari sini, kebanyakannya saya lihat mempunyai asas strategi pemasaran yang tidak begitu kuat. Mereka kurang terdedah kepada pemasaran dalam erti kata sebenar, tidak praktikal dan terlalu mengikut teori. Mempelajari sesuatu dari teori memang bagus tetapi kita perlu ingat yang penulis itu ialah seorang akademik yang tidak pernah beraksi di gelanggang usahawan dan mempraktikkan teori yang ditulis. Malah, bahan-bahan pemasaran yang dibuat juga tidak begitu mudah difahami, terlalu mengikut orang lain dan kebanyakan gambar-gambar yang ada banyak menggunakan gambar dari Google yang membuatkan orang tidak yakin.

Dengan empat persoalan di bawah, ia bakal membantu anda agar tidak syok sendiri dalam menjalankan aktiviti pemasaran dan jualan.

Adakah bahan-bahan pemasaran anda mudah, ringkas dan senang difahami dalam 30-saat yang pertama apabila dilihat tanpa perlu sebarang penjelasan? Masa itu emas dan ramai orang tidak suka membuang masa dengan sesuatu yang mereka tidak faham. Jadi apabila mereka diberi sesuatu katalog, poster atau bahan-bahan pemasaran tertentu, mereka cuba menghadamkannya dalam beberapa saat sahaja. Sekiranya masih lagi tidak faham, mereka akan terus buang di tong sampah yang berada beberapa tiang di hadapan.

Apakah para pengguna akan mendapati produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan ini bakal membantu mereka dalam kehidupan, pekerjaan atau menyelesaikan masalah mereka? Mereka akan tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut sekiranya apa yang ditawarkan ini akan membantu mereka untuk mengurangkan perbelanjaan harian contohnya, atau membantu mereka menambah pendapatan misalnya. Produk atau perkhidmatan anda ini perlu dikaitkan dengan kehidupan para pengguna tidak kira sama ada berbentuk personal ataupun profesional.

Senangkah para pengguna menggambarkan di minda mereka apa yang bakal mereka nikmati apabila menggunakan produk atau perkhidmatan anda ini? Anda perlu faham bagaimana minda manusia berfikir. Apabila mereka melihat sesuatu benda, mereka akan menggambarkan yang mereka berada pada masa tersebut atau berada di tempat itu. Apabila mereka melihat poster AirAsia yang menunjukkan keindahan pantai di Pulau Langkawi contohnya, mereka akan menggambarkan diri mereka berada di pantai tersebut di Pulau Langkawi. Jadi, sekiranya anda tidak mampu membuatkan para pengguna menggambarkan bagaimana mereka menggunakan produk atau perkhidmatan anda, anda akan gagal menarik mereka membeli.

Adakah para pengguna sedar yang mereka sekarang ini sedang menghadapi masalah tertentu dan amat-amat memerlukan produk atau perkhidmatan anda sekarang juga? Agak sukar bagi anda untuk menyedarkan atau memberitahu para pengguna yang mereka bakal menghadapi masalah tertentu, tetapi amat mudah sekiranya mereka sedang menghadapi masalah itu ataupun kenalan dan saudara mereka sedang bergelut dengan masalah itu. Penjualan akan senang dilakukan apabila mereka sedar, dan apabila ini berlaku mereka akan membeli produk atau perkhidmatan anda sekarang-sekarang juga.