Pemasaran Dalam Talian: Pencarian Pelanggan Dalam 6 Langkah

Oleh Azleen Abdul Rahim

APABILA anda berjumpa dengan seseorang, amat mudah untuk anda membuatkan orang itu untuk percayakan anda dan apa yang anda perkatakan. Hanya dengan berdasarkan bentuk fizikal anda yang profesional dan kemas, paras rupa yang menarik, apa yang diperkatakan itu masuk akal dan logik dan bahasa tubuh anda yang konsisten, anda pasti akan dapat membuatkan orang itu terus yakin dan percaya dengan apa yang anda cakap. Orang itu akan tetap percaya kepada anda walaupun cerita yang anda kongsikan itu tidak benar, tidak wujud ataupun sengaja dibuat-buat untuk sesuatu objektif tertentu. Elemen-elemen yang anda tunjukkan tadi telah berjaya mengaburi mata orang itu untuk mempercayai anda, dan biasanya ia tidak mengambil masa yang lama.

Tetapi untuk meyakinkan para pengguna dengan menggunakan kaedah pemasaran dalam talian tidak semudah ini. Oleh kerana para pengguna tidak dapat melihat anda secara langsung, mereka perlukan sesuatu untuk sama ada percaya dengan jenama anda ataupun tidak. Jadi, ia perlu melalui beberapa peringkat yang anda perlu sediakan terlebih dahulu. Dengan peringkat-peringkat ini, barulah para pengguna akan mempertimbangkan sama ada hendak percaya dengan jenama anda ataupun tidak. Jangka masa untuk mempercayakan apa yang anda katakan itu, ia amat bergantung kepada kekuatan setiap peringkat tadi.

Penjenamaan. Di sini anda perlu jadikan ia seolah-olah sebagai rupa paras jenama anda yang menarik dan bentuk fizikal anda yang profesional dan kemas. Jadi amat perlu untuk anda mempunyai nama yang senang diingati, logo yang cantik dan senang diingati, slogan atau mantra yang menceritakan tentang mesej perniagaan anda hanya dalam satu ayat yang pendek dan senang diingati serta warna korporat yang membuatkan para pengguna tertarik dan senang mengingati anda.

Kandungan. Poster, video, infografik, penulisan artikel dan GIF merupakan diantara kandungan-kandungan yang direkabentuk dan disediakan oleh jenama-jenama untuk penyampaian mesej mereka kepada para pengguna. Mereka akan cepat lupa tentang jenama anda, jadi anda perlu mengingatkan mereka setiap masa dan ketika. Jadi dengan penyediaan kandungan yang berbeza dan pelbagai, proses mengingatkan mereka akan menjadi lebih berkesan dan tidak membosankan. Kebanyakan jenama kini lebih fokus kepada penyediaan video dan infografik kerana ia mampu menceritakan mesej anda kepada para pengguna dengan hanya tidak sampai satu minit. Disamping itu, penulisan artikel juga tidak kurang pentingnya untuk para pengguna yang gemar membaca.

Kesedaran. Di sini proses penyebaran kepada pasaran tentang jenama anda melalui saluran media sosial yang ada. Tidak semua rangkaian media sosial yang ada sesuai dengan jenama anda, jadi anda perlu pilih yang mana satu bakal para pelanggan anda melepak. Yang paling penting di sini ialah objektif untuk menarik perhatian para pengguna dengan kandungan anda. Strategi pemasaran dalam talian sahaja tidak akan mencukupi, anda perlu juga menggunakan media-media tradisional untuk membantu mencapai kepada pasaran di sana.

Kepercayaan. Peringkat ini merupakan peringkat yang paling sukar untuk dicapai dan mengambil sedikit masa. Rahsia untuk membuatkan para pengguna untuk sampai ke peringkat ini ialah dengan anda memberikan tumpuan kepada peringkat kesedaran di atas. Kemas-kini status anda dengan teratur dan konsisten tetapi tidak terlalu kerap. Status yang anda masukkan itu perlu mewujudkan dalam diri para pembaca rasa ingin komen, suka atau kongsikan. Apabila terdapat komen di status tersebut, anda juga perlu rajin berinteraksi dengan mereka. Bina pertalian sahabat di sini, dan sebanyak mungkin rakan-rakan dalam talian anda.

Komuniti. Akan wujud para pengguna yang mula yakin dan percaya kepada jenama anda, tetapi lagi bersedia untuk membeli. Mereka ini dinamakan komuniti. Golongan ini telah mula yakin kepada jenama anda, yakin dengan perjalanan jenama anda, yakin dengan kemampuan anda dan yakin dengan wawasan anda. Dengan faktor-faktor ini mereka mengikuti anda melalui laman web dan blog, media-media sosial anda, e-mel dan juga di mana sahaja jenama anda berada. Ada yang mengikuti jenama anda secara terang-terangan dan ada juga secara senyap.

Pelanggan Berbayar. Ia adalah peringkat terakhir, para pengguna telah pun menjadi pelanggan berbayar anda. Mereka telah pun menggunakan produk anda dalam kehidupan harian mereka di rumah ataupun di pejabat.