Taktik Kenal Pasti Sasaran Pelanggan

Oleh Azleen Abdul Rahim

SASARAN pelanggan yang tepat akan menjamin pulangan jualan yang baik dan berterusan. Terdapat beberapa jenama yang mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk mencari di mana para pelanggan mereka berada dan memahami cara mereka membuat pembelian. Ini penting kerana jenama anda perlu berada di hadapan mata mereka ketika anda membuat iklan. Kita lihat dahulu bagaimana cara mereka membuat keputusan untuk membeli.

Individu yang ingin mudah. Mereka ini amat cenderung dan gemar kepada pembelian, pembayaran dan penghantaran produk secara dalam talian. Ia amat mudah, dan tidak perlu membuang masa. Biasanya mereka ini mempunyai pendapatan yang sederhana dan tinggi, yang menggunakan kad debit atau kredit setiap masa. Individu yang ingin jenama. Mereka ini terdiri daripada golongan yang berpendapatan tinggi yang membeli produk berdasarkan jenama. Mereka amat setia kepada jenama terpilih sahaja. Biasanya mereka tidak begitu peka kepada harga. Individu yang membeli secara biasa. Tidak begitu terjebak dengan jenama, harga atau penggunaan internet dalam membuat pembelian. Seimbang dalam membuat keputusan. Individu yang membeli berdasarkan perhubungan. Mereka ini membeli berdasarkan perhubungan sama ada persahabatan, kenalan, saudara-mara ataupun pelanggan tetap di kedai tersebut. Mereka akan terpengaruh dengan setiap apa yang ditawarkan oleh kedai dan peniaga tersebut kerana pertalian tadi. Individu yang gilakan diskaun atau promosi. Mereka ini pantang mendengar perkataan Diskaun atau melihat gambar tertulis Promosi di mana-mana. Mereka amat sensitif kepada harga dan biasanya akan terpengaruh dengan harga runtuh. Individu-individu ini secara dasarnya berpendapatan rendah.  

Kumpulan umur pula terbahagi kepada tiga, iaitu Baby Boomer, Generasi X dan Generasi Y ataupun dikenali juga sebagai Millennial. Siapakah mereka ini?

Baby Boomer ialah kumpulan umur bagi individu yang dilahirkan di selepas Perang Dunia Kedua iaitu diantara tahun 1940 hingga 1960. Kumpulan umur yang agak senior ini kini berada dalam lingkungan umur di antara 50 hingga 70an pada tahun 2016 ini. Kemampuan mereka berbelanja amat tinggi. Masa yang diperuntukkan mereka di media tradisional adalah jauh lebih tinggi berbanding di internet. Kaedah terbaik untuk mendapatkan perhatian mereka ialah penggunaan media tradisional, pemasaran melalui e-mel dan penulisan artikel di blog.

Generasi X pula ialah kumpulan umur bagi mereka yang dilahirkan sekitar awal tahun 1961 hingga 1980. Majoriti mereka ini kini berada dalam peringkat umur 40an yang amat produktif ketika ini. Mempunyai kuasa membeli yang tinggi juga, mereka terdedah kepada internet yang seimbang dengan media tradisional. Malah ada diantara mereka yang memiliki lebih dari satu telefon pintar. Menghabiskan banyak masa dan gemar berada di laman Facebook, blog, Twitter, e-mel dan media-media tradisional.  

Generasi Y pula terdiri daripada mereka yang dilahirkan sekitar tahun 1981 dan 2000. Kumpulan ini agak menarik kerana terdapat nama lain yang diberikan kepada mereka iaitu Millennial. Ketika ini, mereka kini berada diantara alam persekolahan peringkat menengah sehinggalah kepada peringkat awal pekerjaan. Lebih gemar menghabiskan masa di internet berbanding dunia sebenar, iaitu dengan bermain permainan video dalam talian. Masing-masing mempunyai telefon pintar. Cara mendekati mereka ialah dengan menggunakan kaedah Pesanan Mesej Pantas atau Instant Messagging seperti WhatsApp, Telegram, Facebook Messenger atau berbual secara chat di dalam setiap permainan video. Amat jarang menggunakan e-mel kecuali ketika ingin mendaftar untuk mana-mana permainan video.

Dengan kefahaman di mana mereka berada dan bagaimana cara mereka berfikir ini akan memudahkan strategi pemasaran digital anda mencari dengan tepat dimana bakal pelanggan anda berada.