2017: Ke Mana Arah Tuju Perniagaan Anda?

Oleh Azleen Abdul Rahim

RAMAI yang berpendapat, tahun 2017 yang akan menjelang tidak berapa lama lagi ini akan jauh lebih mencabar berbanding 2016 dan juga tahun-tahun yang sebelumnya. Betul, cabaran di tahun 2017 akan menjadi semakin getir. Malah, tidak dinafikan juga ia bakal menentukan kedudukan ekonomi perniagaan kita dan juga secara individu sama ada pendapatan kita akan terus meningkat naik ataupun menurun akibat kenaikan kos sara hidup yang tiada penghujungnya.   

Jika kita halusi perkembangan ini, kita akan sedar yang apa yang kita hadapi ini sebenarnya berlaku setiap tahun. Dan pada setiap tahun juga kita pasti akan merungut kerana kita masih tercari-cari formula untuk mengatasi ketidaktentuan ini. Adakah kali ini berbeza? Secara individu dan sebagai pemasar dalam talian, saya rasa kali ini tidak ada bezanya kerana formula yang kita tercari-cari selama ini masih belum ditemui. Bagaimana untuk mendapatkan formula untuk menukar ketidaktentuan ini menjadi sesuatu yang lebih mudah diramal. Jom kita lihat faktor-faktor ini yang mampu memudahkan anda menyediakan strategi perniagaan dengan lebih jitu untuk tahun hadapan.

Teknologi internet yang semakin canggih. Ramai diantara kita yang jarang mengambil tahu tentang perkembangan teknologi internet. Mulai hari ini, anda perlu mengambil tahu tentangnya. Kita kini menikmati kemajuan internet yang tidak pernah dialami oleh dunia. Semuanya telah diletakkan dihujung jari kita melalui internet dan telefon pintar. Perkembangan berita terkini, pembelian barangan sehinggalah kepada urusan kewangan pun boleh dilakukan tanpa perlu berada di tempat-tempat urusniaga tersebut secara fizikal. Ia mudah, murah dan efektif. Dengan perkembangan sebegini, anda harus mengambil kesempatan yang ada untuk memudahkan apa jua urusniaga yang dilakukan oleh para pelanggan anda apabila mereka ingin mendapatkan atau ingin membeli dari anda. Ini dinamakan e-dagang.

E-Dagang. Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini telah menyarankan agar kita mempertimbangkan teknik e-dagang untuk merancakkan kemajuan perniagaan anda mulai sekarang. Saya percaya saranan beliau dibuat berdasarkan perkembangan-perkembangan di atas yang beliau lihat sendiri di negara-negara luar yang sememangnya jelas sekiranya tidak diambil kesempatan ke atas teknologi dalam talian ini, perniagaan kita pasti akan berada ditakuk yang sama dan lama-kelamaan tidak akan mampu bersaing lagi di pasaran.

Ekonomi perkongsian yang anda perlu ambil tahu. Saya pernah menulis tentang sharing economy atau ekonomi perkongsian ini dan bagaimana ia semakin mendapat tempat dikalangan penduduk dunia termasuklah di Malaysia. Contoh yang baik ialah dengan penggunaan kepakaran freelancer dalam membantu anda untuk menyelesaikan sesuatu benda. Anda tidak perlu lagi mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi setiap bulan untuk membayar gaji para pekerja yang tidak produktif, malas atau yang ingin mengambil kesempatan ke atas kebaikan anda. Golongan usahawan mikro yang dikenali sebagai freelancer ini, mereka hanya mengenakan caj yang amat berpatutan ke atas perkhidmatan yang disediakan kerana mereka juga ‘bekerja’ untuk syarikat-syarikat lain. Contoh yang lain yang perlu saya sebutkan disini ialah penggunaan taktik user generated content, atau kandungan yang disediakan oleh orang ramai. Ia juga kini semakin digunakan oleh jenama-jenama besar seperti Coca-Cola, Airbnb dan Utusan Malaysia. Secara perlahan-lahan strategi kandungan mereka dibantu oleh artikel, gambar dan video yang disediakan oleh pelanggan-pelanggan mereka. Dan yang paling menarik sekali ialah, ia percuma.

Guna strategi pemasaran yang lebih efektif. Tukar dan guna kaedah pemasaran secara dalam talian yang lebih efektif dan murah. Penggunaan media-media sosial dan blog pasti mampu membantu anda menaikkan kembali penjenamaan anda di mata pelanggan.

Ekonomi kini bersifat global. Tiada lagi istilah pemasaran untuk kawasan anda sahaja. Kini, setiap apa yang anda jual akan tersebar jauh keluar ke seluruh dunia sama ada anda suka ataupun tidak. Terima kasih kepada kemajuan teknologi internet dan media sosial, anda kini boleh memasarkan produk dan perkhidmatan anda hanya dihujung jari sahaja tanpa perlu secara fizikal merantau jauh. Malah di sini juga anda boleh mengenalpasti rakan-rakan kongsi yang berpotensi menjadi pengedar produk anda di negara tersebut.

Dengan senarai di atas, anda cuma perlu tahu bagaimana menyediakan satu strategi yang kuat dan praktikal untuk dalam menjayakan tahun 2017 anda.