Guna Taktik Ini Untuk Status Media Sosial Yang Kreatif

Oleh Azleen Abdul Rahim

IA mungkin nampak remeh, tapi status media sosial yang anda muatnaik untuk tatapan orang ramai perlu mempunyai ‘uummmpphh’ untuk menarik perhatian mereka datang dan melihat apa yang anda tawarkan. Dengan perhatian yang hanya beberapa saat ini, ia mungkin akan berubah menjadi satu pembelian.

Untuk membuatkan sesiapa sahaja datang menjenguk apa yang anda tawarkan, ia tidak sukar. Namun masih ramai yang tidak tahu cara yang sesuai. Jom kita lihat cara-cara yang kreatif untuk menulis status yang terbaik, yang bukan sahaja dapat menarik perhatian mereka, tetapi juga rakan-rakan mereka. Ini caranya.

Jangan samakan status anda di semua media sosial yang ada. Cara anda menulis di Facebook tidak boleh sama dengan cara penulisan anda di LinkedIn, Twitter ataupun Instagram. Ini kerana setiap saluran ini mempunyai pendekatan dan teknik yang berbeza. Lengguk ayat, penyampaian mesej dan perkataan yang digunakan perlu sesuai dengan media sosial tersebut. Di Twitter, ayat anda perlu ringkas, tepat dan menggunakan ejaan yang pendek kerana ia terhad kepada 140 perkataan sahaja. LinkedIn perlu lebih profesional manakala Instagram pula lebih menitikberatkan imej, gambar ataupun video pendek. Facebook pula agak seimbang dan fleksibel.

Guna taktik 80/20. Jual jual dan jual. Status sebegini yang perlu anda elakkan untuk menarik perhatian pembeli. Bukan tidak boleh, tetapi kurangkan menjual dan lebihkan bercerita. Guna kaedah bercerita sebanyak 80 peratus untuk status-status yang dimuatnaik manakala menjual pula hanya sebanyak 20 peratus sahaja. Kenapa? Semua orang tidak suka dijual, termasuk anda juga. Tetapi kita semua suka dengan cerita-cerita yang masuk akal, yang kita boleh belajar darinya. Masukkan elemen kebaikan produk anda (bukan produk anda) di dalam cerita tadi dan pastikan mereka dapat hubungkan moral cerita tadi dengan kebaikan produk atau perkhidmatan yang anda sediakan itu. Dengan kebaikan produk itu tadi mereka dengan sendirinya akan kaitkan dengan produk anda.

Kaji selidik yang santai. Selain daripada menulis status-status yang sama sahaja setiap hari, anda boleh juga lakukan kaji selidik. Bina satu soalan yang mereka boleh gunakan butang Like dan Comment sebagai tindakbalas dan jawapan. Sekiranya mereka suka sila tekan butang Like contohnya, dan sekiranya mereka tidak suka, mereka perlu memberikan komen mereka di ruangan komentar. Cara ini akan membuatkan bukan sahaja status anda sentiasa ‘hidup’ di ruangan Newsfeed, tetapi ia juga akan membuatkan rakan-rakan individu yang memberikan komen itu dapat melihat status anda juga. Berkemungkinan besar golongan ini akan turut menjawab kaji selidik anda tadi.

Sentuh perasaan mereka dengan cerita yang tergantung. Apabila anda memuatnaik status yang menyentuh perasaan di laman media sosial anda, pastikan ianya tergantung. Kemudian masukkan pautan ke laman blog atau web anda. Di sini mereka akan dapat membaca kisah tersebut sepenuhnya. Cara ini juga sering dibuat oleh jenama-jenama besar untuk menarik trafik ke laman web mereka.

Provokasi dan pendapat yang berat sebelah. Dengan sengaja, cuba bermain dengan sedikit provokasi ataupun memberikan pendapat yang berat sebelah. Cuba pecah-belahkan pendapat yang bakal wujud di kalangan pengikut anda. Di sini, anda bakal menerima pelbagai reaksi berbeza dan ini amat efektif untuk membina perhatian yang anda cari-cari selama ini.

Minta pendapat. Salah satu cara yang paling efektif juga ialah dengan secara jujur meminta pertolongan dari sudut pendapat. Manusia secara dasarnya memang suka menolong terutama sekali bab-bab pemberian idea dan pandangan. Guna taktik ini, anda tentu akan terpesona dengan jawapan-jawapan yang diberikan.

Pendapat dan pandangan mereka ini sebenarnya tidak penting. Yang penting ialah mereka akan melihat profil anda, syarikat dimana anda bekerja dan apakah produk yang anda jual. Mereka pasti akan ke sini dan kesemua cadangan penulisan status-status ini akan mengundang para pengguna untuk datang ke sini. Apabila status anda menarik, sesiapa sahaja yang memberikan reaksi mereka akan melibatkan juga rakan-rakan mereka secara automatik dimana mereka juga dapat melihat status siapakah yang kawan mereka yang seorang ini komen, sukai atau yang kongsi itu.